Soalan:

Assalamualaikum wrt. wbt. Dato’ Seri. Saya selalu amal solat sunat dalam keadaan duduk, akan tetapi dipandang serong atau sesat dengan perbuatan itu. Adakah patut saya hentikan untuk mengelakkan fitnah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat merupakan salah satu ibadah penting dalam kehidupan seorang Muslim. Dalam rukun Islam, solat berada pada kedudukan kedua setelah mengucapkan dua kalimah syahadah. Dalam satu riwayat daripada Abdullah Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَحَجِّ الْبَيْتِ وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya:  Islam dibina di atas lima iaitu kalimah “bahawa tiada tuhan selain Allah dan sesungguhnya Muhammad itu adalah hamba dan Rasul-Nya”, mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji di baitullah, dan berpuasa pada bulan Ramadan.

Riwayat Muslim (16)

Kami mulakan perbincangan ini dengan salah satu rukun solat iaitu qiyam. Disebut dalam al-Fiqh al-Manhaji :

Berdiri Sekiranya Mampu Ketika Solat Fardhu

Wajib berdiri bagi mereka yang mampu melakukannya. Hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Imran bin Husain R.Anhu katanya: aku menghidap penyakit buasir lalu aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang solat. Baginda bersabda:

صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

Maksudnya: Bersolatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring.

Riwayat al-Bukhari (1066)

Seseorang itu dianggap berdiri apabila dia berdiri tegak. Sekiranya dia membongkok tanpa sebab yang dimaafkan (عُذرٌ) hingga tapak tangannya menyentuh lutut, solatnya batal disebabkan tiada rukun berdiri pada satu bahagian solat tersebut. (Lihat Fiqh al-Manhaji, 1/129-130)

Orang yang mampu berdiri pada sebahagian solatnya dan tidak berdaya pada sebahagian yang lain, hendaklah berdiri setakat yang termampu dan bolehlah duduk pada semua bahagian yang lainnya.

Menjawab bagi persoalan di atas, solat dalam keadaan duduk ketika melakukan solat sunat adalah diharuskan.Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Imran Bin Husain bahawa nabi SAW bersabda :

من صَلَّى قَائِمًا فهو أَفْضَل ومَنْ صَلَّى قَاعِدًا فَلَهُ نِصْفُ أَجْرِ الْقَائِمِ، وَمَنْ صَلَّى نَائِمًا فَلَهُ نِصْفُ أَجْرِ الْقَاعِدِ

Maksudnya: Sesiapa yang bersolat secara berdiri itulah yang afdhal, dan sesiapa yang bersolat secara duduk dia mendapat separuh pahala solat berdiri dan sesiapa yang bersolat secara mengiring dia mendapat separuh pahala solat duduk.

Riwayat al-Bukhari (1065)

Hadis ini menunjukkan bahawa berdiri dalam solat salah satu rukun dari rukun-rukun solat fardhu(tidak termasuk solat-solat sunnah). Seorang Muslim diperbolehkan untuk mengerjakan solat sunnah dalam keadaan duduk, namun pahala yang diterima bergantung pada kesulitan yang dihadapi. Orang yang melakukan solat sunnah dalam keadaan duduk dengan keadaanya yang mampu melaksanakan solat secara berdiri akan mendapat pahala yang lebih sedikit berbanding dengan orang yang mengerjakan solat dalam keadaan berdiri.

Hal ini dijelaskan dalam hadith yang mengisahkan bahawa Imran bin Husain bertanya kepada Nabi Muhammad SAW mengenai solat sunnah yang dikerjakan dalam keadaan duduk dalam keadaan dia mampu untuk berdiri. Nabi SAW menjelaskan kepadanya bahawa orang yang melaksanakan solat dalam keadaan berdiri adalah yang terbaik, kerana berdiri dalam solat lebih sulit dan lebih tinggi pahalanya . Solat yang dilaksanakan dalam keadaan duduk akan mendapatkan setengah pahala dari yang melaksanakannya dalam keadaan berdiri.Manakala, orang yang mengerjakan solat dalam keadaan berbaring mendapatkan setengah pahala orang yang mengerjakan  dalam keadaan duduk.

Hukum ini berlaku bagi seseorang yang mampu melaksanakan solat dalam keadaan berdiri, namun dia melaksanakannya dalam keadaan duduk atau berbaring, maka pahalanya akan berkurang. Namun, bagi orang yang tidak mampu berdiri, maka pahalanya tetap penuh.”[1]

Al-Nawawi menyatakan: Berdiri merupakan kefardhuan dalam  solat fardhu, adapun pada solat sunat ia tidak diwajibkan kerana Nabi SAW mengerjakan solat sunat dalam keadaan duduk ketika dalam kenderaan. Selain itu,solat sunat ini ada banyak, sekiranya diwajibkan untuk berdiri maka ia akan menjadi sulit dan boleh jadi orang akan berhenti melakukannya. ( Lihat Majmu’ Syarh al-Muhazzab,3/256)

Menjawab bagi persoalan di atas solat sunat boleh dilakukan secara duduk kerana ia mempunyai sandaran yang kukuh daripada Nabi Muhammad SAW. Namun mengerjakannya dalam keadaan berdiri adalah yang terbaik dan pahala ganjarannya lebih besar dari orang yang melaksanakannya dalam keadaan duduk.Berkaitan dengan isu pandangan orang terhadap perbuatan tersebut,kami menasihati supaya menjelaskan kepadanya hukum yang  berkaitan dengan isu ini supaya dia mengetahui apa yang sebenar dan abaikan pandangan orang lain terhadap kita selagi mana kita di jalan yang benar.

Akhir kalam, kami berdoa semoga Allah SWT sentiasa memuliakan kita semua dengan ilmu dan menjauhkan diri kita dari bersikap sombong terhadap kebenaran. Amin.

[1] https://dorar.net/hadith/sharh/24766

Bertarikh: 19 Jun 2023 bersamaan 30 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply