Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya jika orang yang bekerja sebagai penjawat awam dapat elaun baju dan kasut, tetapi duit itu digunakan untuk beli benda lain. Apakah hukumnya?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Elaun menurut Kamus Dewan bahasa dan Pustaka Edisi Keempat bermaksud bayaran yang diberikan kepada seseorang oleh sesebuah organisasi secara tetap untuk melaksanakan sesuatu tugas.

Melihat pada konteks persoalan yang dikemukakan, terdapat sejumlah elaun yang diberikan kepada penjawat awam untuk membeli kelengkapan seragam untuk bekerja seperti baju dan kasut.

Akan tetapi, perlu dipastikan terlebih dahulu perjanjian kontrak yang dilakukan antara organisasi dan penjawat awam berkenaan elaun tersebut.

Sekiranya elaun yang diberikan telah dikhususkan oleh organisasi tersebut hanya untuk kelengkapan seragam sahaja di dalam kontrak mereka, maka wajib digunakan untuk membeli kelengkapan tersebut dan tidak boleh menggunakannya untuk membeli benda lain. Hal ini kerana Islam mewajibkan untuk menunaikan janji yang telah dimeterai antara dua pihak dalam apa jua bentuk kontrak.

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَوْفُوا بِالْعُقُودِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.”

(Surah al-Ma’idah: 1)

Mematuhi perjanjian juga merupakan antara sifat seorang mukmin seperti yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ

Maksudnya: “(Orang mukmin itu ialah) yang menunaikan amanah dan perjanjian mereka.”

(Surah al-Mu’minin: 8)

Adapun jika organisasi tersebut memberikan kebebasan kepada penjawat awam untuk menggunakan elaun tersebut pada benda lain kalau mereka telah mempunyai seragam seperti baju dan kasut, maka hukumnya adalah harus.

Kaedah fiqhiyyah ada menyebutkan:

الْأَصْلُ فِي الْعُقُودِ رِضَا الْمُتَعَاقِدَيْنِ

Maksudnya: “Asal bagi setiap akad (kontrak) adalah redha antara dua orang yang melakukan akad.”

Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili mengatakan bahawa yang diambil kira dan harusnya sesebuah kontrak (dianggap termeterai kontrak itu dan lazimnya setiap perkara yang ditetapkan di dalamnya) adalah redha antara dua pihak yang melakukan akad.  Hal ini kerana syara’ menetapkan halalnya suatu muamalat apabila kedua-dua pihak redha dan berkeinginan untuk melaksanakan kontrak, serta melazimi setiap ketetapan yang disebutkan di dalam kontrak tersebut. (Lihat al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah wa Tatbiqatuha fi al-Mazahib al-Arba‘ah, 2/818)

Kami menasihatkan supaya berpeganglah dengan perjanjian kontrak yang telah dipersetujui antara mana-mana pihak, kerana tanda orang munafiq adalah mereka yang mengkhianati janji yang telah dibuat.

Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

آيَةُ المُنافِقِ ثَلاثٌ: إذا حَدَّثَ كَذَبَ، وإذا وعَدَ أخْلَفَ، وإذا اؤْتُمِنَ خانَ

Maksudnya: “(Antara) tanda orang munafiq itu ada tiga; jika bercakap dia berdusta, jika berjanji dia mungkiri, dan jika dia diberikan kepercayaan dia khianati.”

Riwayat al-Bukhari (6059) dan Muslim (59)

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 21 Jun 2023 bersamaan 2 Zulhijjah 1444H

Leave a Reply