Soalan

Adakah boleh menangkap ikan di dalam kawasan sawah padi milik orang lain?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Di Malaysia, aktiviti menangkap ikan seperti memancing dan memasang pukat adalah salah satu daripada kaedah memburu binatang yang dibenarkan oleh Hukum Syarak, apabila ia dilakukan dengan ihsan. Tujuannya adalah untuk menikmati rezeki yang telah Allah SWT kurniakan kepada kita sebagai nafkah dan bekalan kehidupan agar dapat beribadat dengan sempurna. Bahkan di dalam Al-Quran ِAllah SWT berfirman:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ

Maksudnya: Dihalalkan bagimu binatang buruan laut dan makanan (yang berasal) dari laut sebagai makanan yang lazat bagimu dan bagi orang-orang yang dalam permusafiran.”

(Surah al-Ma’idah: 96)

Berdasarkan soalan yang diajukan di atas, memancing ikan di sawah padi milik orang lain atau di mana-mana kawasan yang bertuan tanpa kebenaran adalah dilarang di dalam Islam. Larangan ini jelas dinyatakan di dalam Al-Quran bahawa memakai atau menggunakan barang orang lain tanpa izin adalah satu kesalahan yang menyalahi hak kepemilikan orang lain.

Firman Allah SWT:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya:Janganlah kamu makan harta sesama kamu dengan jalan yang batil, dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, dengan maksud agar kamu dapat memakan sebahagian harta orang lain itu dengan jalan berbuat dosa, padahal kamu mengetahui”.

(Surah al-Baqarah: 188)

Sheikh Ahmad Mustafa Al-Maraghiy menyatakan di dalam tafsirnya, “mereka yang berani dan bebas mengambil harta orang lain yang di mana perlakuan itu mendorong orang lain melakukan perkara yang sama, golongan ini merupakan orang yang melakukan kejahatan terhadap harta dan ia merupakan satu jenayah”. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 1/374)

Jelas daripada ayat tersebut, Allah SWT melarang kepada mereka yang menggunakan, mengambil, memindahkan sesuatu yang dimiliki daripada orang lain tanpa meminta kebenaran dan keizinan tuannya.

Adapun begitu, terdapat perbahasan di antara para ulama’ berkenaan isu ini. Imam Nawawi menyatakan di dalam bab makanan berkenaan buah-buahan yang jatuh dari pokok, bahawa hukum buah-buahan yang gugur daripada pokok di dalam pagar adalah sama seperti hukum buah-buahan yang berada di atas pokok (iaitu haram kepada orang lain untuk mengambil buah-buahan tersebut tanpa kebenaran tuannya).

Manakala terdapat dua hukum bagi buah-buahan yang gugur di luar pagar. Pertama, jika sememangnya bukan dari adat kebiasaan tempat tersebut pemilik pokok buah-buahan itu membenarkan buah-buahan yang gugur di luar pagar diambil oleh orang lain, maka hukumnya adalah haram diambil. Kedua, jika ia adalah adat  tempat tersebut dan merasa yakin bahawa pemilik pokok buah-buahan tersebut mengizinkan maka hukumnya adalah halal dan dibolehkan. Ini adalah pendapat yang lebih asah. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/54).

Begitu jugakes buah-buahan yang jatuh di luar pagar, para ulama menyebut sekiranya buah-buahan tersebut adalah kepunyaan kaum kerabat atau teman rapat, kemudian orang yang ingin mengambil itu berasa ragu atau tidak pasti bahawa pemilik akan redha terhadap buah-buahannya yang diambil, maka hukumnya adalah haram. Namun begitu, jika orang itu (dzan) kuat sangkaannya bahawa pemilik akan mengizinkan untuk mengambil buah-buahan tersebut, maka hukumnya adalah halal dengan syarat pengambilannya pada kadar yang dirasai bahawa pemilik kebun tersebut redha atas apa yang diambil. (Lihat Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, hlm. 565).

Melalui perbahasan ini, maka diqiaskan kepada isu memancing di sawah padi milik orang lain tanpa izin. Jika mengikut adat setempat perbuatan itu bukanlah satu kesalahan bahkan ditambahkan pula dengan sangkaan yang kuat bahawa pemilik sawah tersebut redha, maka dalam situasi ini ia dibenarkan. Ini adalah kerana pada kebiasaannya ikan yang terdapat di dalam sawah padi tersebut bukanlah ikan yang dipelihara oleh pemiliknya sebaliknya ia adalah ikan yang datang daripada talian air yang bersambung diantara terusan atau sungai dan dialirkan terus kepada sawah-sawah padi yang lain. Ini berbeza dengan keadaan sawah padi yang telah diubah oleh pemiliknya untuk dijadikan sebagai tempat ternakan ikan secara khusus. Begitu juga haram sekiranya pemilik dengan jelas mempamerkan papan tanda larangan menceroboh ke kawasan sawah padinya. Dalam hal ini, maka haram kepada pemancing untuk menceroboh masuk bahkan jika ditangkap boleh dikenakan tindakan undang-undang jika didapati bersalah.

Wallahua`lam.

Bertarikh 5 Januari 2022 bersamaan 2 Jamadil Akhir 1443 H

Leave a Reply