Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya berkenaan status kitab al-Rahmah fi al-Tibb wa al-Hikmah (الرحمة في الطب والحكمة). Adakah betul kitab ini ditulis oleh Imam Jalal al-Din al-Suyuti?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW sehingga ke Hari Kiamat.

Alhamdulillah, terima kasih kepada yang bertanya. Sejujurnya, soalan seperti ini amat nadir dan jarang saya perolehi. Justeru, saya merujuk kepada beberapa sumber dan saya katakan seperti berikut.

Kitab ini telah dicetak oleh beberapa pencetak antaranya:

  • Dar Ihya’ al-Kutub al-Arabiyyah
  • Maktabah al-Thaqafiyah Beirut

Ada yang menyatakan sebenarnya kitab ini dinisbahkan kepada Syeikh al-Mahdi al-Yamani. Kitab ini telah diringkaskan oleh al-Allamah Abi Bakrin ibn Mulla al-Ahsa’i yang berkata, “Kitab ini aku ringkaskan daripada kitab al-Rahmah fi al-Tibbi wa al-Rahmah yang dinisbahkan kepada al-Imam Jamaluddin Muhammad al-Mahdi ibn Ibrahim al-Yamani Rahimahullah.”   

Kitab ini penuh dengan gambar-gambar rajah dan hadith-hadith yang maudhu’ (dusta) yang amat tidak sesuai dengan kedudukan Imam al-Suyuti sebagai tokoh dan imam mujaddid yang masyhur.

Menurut Dr. Abd al-Hakim al-Anis dalam tulisannya bertajuk Kitab al-Rahmah fi al-Tibb wa al-Hikmah Laisa li al-Suyuti, katanya:

Hakikatnya tiada bukti untuk menyokong penisbahan ini (kepada al-Suyuti). Sebaliknya, terdapat perkara yang bercanggahan. Penulis biografi Imam al-Suyuti yang awal seperti al-Sakhawi dalam al-Dhau’ al-Lami’, Ibn ‘Imad al-Hanbali dalam Syazarat al-Zahab, al-‘Izzi dalam al-Kawakib al-Sa’irah dan selain mereka, tidak pernah menyebut berkenaan kitab ini.

Prof. Ahmad al-Syarqawi berkata dalam bukunya Maktabah al-Jalal al-Suyuti (hlm. 202) berkenaan kitab ini:

وَلَا يَرْتَابُ قَارِئُهُ العَارِفُ بِقَدْرِ السُّيُوطِي فِي كَوْنِهِ مَكْذُوباً عَلَيْهِ وَمَنْسُوْباً إِلَيْهِ افْتِرَاءٌ.

Maksudnya: “Pembaca yang berpengetahuan luas tidak akan meragui sama sekali akan kemuliaan Imam al-Suyuti dan taraf darjatnya, di mana ia yang didusta ke atasnya, dan penisbahan kepadanya adalah satu fitnah.”

Oleh itu, saya yakin bahawa kitab ini tidak betul untuk disandarkan kepada al-Suyuti sama sekali. (Lihat tulisannya bertajuk Kitab al-Rahmah fi al-Tibb wa al-Hikmah Laisa li al-Suyuti)

Justeru, saya katakan mengikut pendapat yang sahih, nisbah kitab tersebut kepada Imam Suyuti adalah tidak sahih. Saya juga ingin menambah tiada di kalangan muhaqqiq yang thiqah menyatakan dapatan kajian mereka yang bahawa kitab ini dinisbahkan kepada Imam al-Suyuti. 

Kaedah yang masyhur menyebut:

إنْ كُنْتَ نَاقِلاً فالصِّحة، أوْ مُدّعِياً فالدَّلِيل 

Maksudnya: “Jika sekiranya menukilkan sesuatu, maka sahkan terlebih dahulu. Atau jika membuat sesuatu dakwaan, maka hendaklah mengemukakan bukti.” (Lihat Dhawabit al-Ma’rifah, hlm. 368)

Semoga kita boleh mencari kitab-kitab yang sahih dinisbahkan kepada penulisnya yang cukup banyak dalam maktabah Islam. Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir Ibn Kathir, 3/75)

Bertarikh: 22 Jun 2023 bersamaan 3 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply