Soalan:

Adakah tawaf sunat dilakukan berulang kali lebih afdhal berbanding umrah berulang kali sekiranya berada di Mekah untuk tempoh yang lama seperti 40 hari?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Abu Hurairah R.Anhu, Rasulullah SAW bersabda:

الْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا

Maksudnya: “Ibadah umrah kepada umrah berikutnya adalah kaffarah (penghapusan dosa) di antara kedua-duanya.

Riwayat Bukhari (1773) dan Muslim (1449)

Menurut Imam al-Nawawi pula, tidak dimakruhkan melakukan umrah dua kali, tiga atau lebih dalam tempoh setahun atau sehari, bahkan disunatkan memperbanyakkan umrah disisi ulama Syafi’iyyah. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 7/147-148)

Sementara Ibn ‘Abd al-Barr pula menyatakan bahawa jumhur ulama berpandangan harus hukumnya memperbanyakkan umrah dalam masa sehari semalam, kerana ianya amalan kebajikan. Tidak wajib menghalangnya melainkan dengan dalil, dan tiada dalil yang menghalang memperbanyakkan umrah. (Rujuk Al-Istizkar, 4/113)

Imam Ibn Qudamah menyebut bahawa menurut mazhab Syafi’e dan Hanbali, tiada halangan untuk melakukan umrah berulang kali dalam tempoh setahun. (Rujuk Al-Mughni, 3/220)

Berkaitan dengan tawaf pula  ia merupakan salah satu daripada rukun haji dan umrah. Terdapat pelbagai jenis tawaf seperti Tawaf Ifadhah, Tawaf Umrah, Tawaf Wida’ dan tawaf sunat.

Menurut istilah syara’ tawaf melakukan pusingan mengelilingi al-bait al-haram. Ibadah tawaf dilakukan dengan mengelilingi kaabah sebanyak tujuh pusingan berserta rukun dan wajibnya. Perkara ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ

Maksudnya: dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu

(Surah al-Hajj, 29)

Diriwayatkan daripada Ibnu Umar R.Anhuma bahawa nabi Muhammad SAW bersabda:

مَن طافَ بِهذا البيتِ أُسْبُوعًا فأَحْصاهُ كان كَعِتْقِ رَقَبَةٍ وسَمِعْتُهُ يَقولُ لا يَضَعُ قَدَمًا ولا يَرْفَعُ أُخْرى إلّا حَطَّ اللهُ عنْهُ خَطِيئَتَهُ وكُتِبَ له بِها حَسنةٌ

Maksdunya :Barangsiapa yang tawaf tujuk keliling  lalu dia menghitungnya, maka pahalanya seperti memerdekakan hamba. Aku juga mendengar beliau bersabda, ‘Tidaklah seorang meletakkan satu kaki dan mengangkat yang lainnya kecuali Allah akan menghapus kesalahannya dan menulisnya menjadi satu kebaikan.’

Riwayat Tarmizi (959)

Menjawab bagi persoalan ditujukan di atas masalah ini merupakan masalah yang ada perselisihan pendapat dikalangan para ulama.Dalam masalah ini saya bahagikan kepada dua kerana meraikan beberapa nas dan hujah-hujah para fuqaha. Kami katakan jika sekiranya seseorang itu adalah penduduk yang bermastautin atau bermukim dalam tempoh yang lama  contohnya pelajar Umm al-Qura di Mekah yang mana mereka bermukim di sana lebih kurang 4 atau 5 tahun. 

Pada masa itu sekiranya mereka berada di Masjid al-Haram maka bagi mereka lebih afdal melakukan tawaf berulang kali. Jika sekiranya seseorang itu ke Mekah sekali sekala contohnya orang yang tinggal berjauhan dengan Mekah dan boleh jadi itulah kali pertama dan terakhir dia ke Mekah, maka saya berpendapat baginya lebih utama  melakukan umrah berulang kali kerana inilah peluang yang ada padanya.

Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita kefahaman yang baik dalam ibadat umrah dan juga haji akhirnya meraih haji dan umrah yang mabrur dan mabrurah. Amin.

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنا حجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ

Maksudnya: “Ya Allah! jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Bertarikh: 22 Jun 2023 bersamaan 3 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply