Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada satu soalan. Adakah haiwan yang ditebuk sedikit telinganya untuk diletakkan tag telinga atau ditindik sebagai tanda tetap sah untuk dijadikan sebagai haiwan korban? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya: “Maka dirikanlah sembahyang kerana Tuhanmu dan berkorbanlah (sebagai bersyukur).”

Surah al-Kauthar (2)

Maksud ‘berkorbanlah’ di dalam ayat tersebut mengikut pendapat yang paling sahih ialah mengorbankan atau menyembelih binatang-binatang korban. Hal ini sepertimana yang disebut di dalam tafsir Imam Ibn Kathir: “Yang benar bahawa yang dimaksudkan dengan al-Nahr adalah menyembelih korban, iaitu menyembelih unta dan sejenisnya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/556).

Pada asasnya, di antara syarat haiwan korban ialah haiwan tersebut tidak mengalami kecacatan yang menyebabkan kurang dagingnya. Dr. Muhammad al-Zuhaili menjelaskan, disyaratkan pada haiwan korban itu untuk selamat daripada kecacatan yang menyebabkan dagingnya kurang pada masa tersebut ataupun akan datang. Hal ini kerana tujuan atau maksud haiwan korban itu adalah bagi mendapatkan dagingnya. Justeru, tidak sah haiwan korban yang buta sebelah mahupun buta kedua-dua matanya. Begitu juga tidak sah haiwan korban yang tempang jika ketempangannya sangat parah sehingga haiwan ternak yang lain mendahuluinya ke padang rumput yang baik. Begitu juga tidak sah haiwan korban yang terlalu kurus sehingga hilang isinya disebabkan oleh kurus yang keterlaluan. Begitu juga tidak sah haiwan yang gila yang berputar-putar di padang ragut dan tidak meragut rumput melainkan hanya sedikit, lalu menjadi kurus.

Begitu juga tidak sah haiwan korban yang hilang semua giginya. Begitu juga tidak sah haiwan korban yang terpotong sebahagian telinganya sekalipun sedikit kerana telah hilang sebahagian bahagian daging yang dimakan, begitu juga yang terpotong keseluruhan telinganya, dan yang dilahirkan tanpa telinga. Begitu juga tidak sah haiwan korban yang terpotong sebahagian lidahnya kerana ia akan memberi kesan. Hal itu adalah disebabkan berlakunya sesuatu yang akan memberi kesan kepada kekurangan daging. Begitu juga tidak sah haiwan korban yang sakit dan mempunyai kudis yang jelas kelihatan sama ada sedikit atau banyak.

Semua ini adalah berdasarkan kepada hadith, daripada riwayat al-Barra’ bin ‘Azib R.A, daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda:

أَرْبَعٌ لاَ تُجْزِيْ فِي الأَضَاحِي: الْعَوْرَاءُ بَيِّنٌ عَوَرُهَا وَالْمَرِيضَةُ بَيِّنٌ مَرَضُهَا وَالْعَرْجَاءِ بَيِّنٌ عَرَجُهَا وَلاَ الْعَجْفَاءُ الَّتِى لاَ تُنْقِ

Maksudnya: Empat perkara yang menyebabkan binatang tidak sah dijadikan qurban ialah binatang yang jelas buta sebelah matanya, penyakit yang nyata, jelas tempangnya, dan terlalu kurus hingga menampakkan tulang.

Riwayat al-Tirmizi (1497); riwayat Abu Daud (2802)

Seterusnya, kecacatan dan aib yang menyebabkan kurangnya daging haiwan itu diqiaskan kepada empat kecacatan tersebut (yang dinyatakan dalam hadith).

Menurut Dr. Muhammad al-Zuhaili lagi, jika semua aib atau kecacatan yang telah disebutkan di atas sangat sedikit, maka ia tidak memberi kesan kepada kesahan haiwan korban tersebut kerana ia tidak menjejaskan daging. Begitu juga memadai (sah) haiwan korban yang dikasi, haiwan jantan (yang menjadi baka) sekalipun telah banyak mengeluarkan mani, haiwan betina sekalipun telah banyak melahirkan dan tidak baik dagingnya. Melainkan apabila kedua-duanya berakhir dengan kurus yang jelas dan ketara. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/481-482).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, Imam al-Nawawi menyebutkan, disyaratkan pada haiwan korban itu mestilah selamat daripada kecacatan yang boleh mengurangkan dagingnya. Justeru, tidak sah haiwan yang sangat kurus, gila, terpotong sebahagian telinga, tempang, buta sebelah mata, sakit dan kudis yang jelas kelihatan. Kemudian, beliau menyebutkan, tidak memberi kesan (kepada kesahan haiwan korban itu) jika kecacatan yang disebutkan tadi sangat sedikit, begitu juga ketiadaan tanduk-tanduknya, koyak telinga, dan tebukan pada telinga mengikut pendapat yang paling sahih. (Lihat Minhaj al-Talibin, hlm. 320).

Begitu juga dalam Da’irah al-Ifta’ al-Urduniyyah, Mufti Dr. Nidhal Sultan menyebutkan, tidak sah kambing yang terpotong telinganya untuk dijadikan sebagai haiwan korban kerana ia termasuk dalam kecacatan (yang mengurangkan dagingnya). Namun, jika telinga haiwan itu terdapatnya koyakan atau tebukan, maka ia masih sah untuk dijadikan sebagai haiwan korban kerana tidak berlaku padanya kecacatan (yang mengurangkan dagingnya).[1]

Selain itu, Dar al-Ifta’ al-Misriyyah juga pernah ditanya berkenaan haiwan yang mempunyai aib atau kecacatan tetapi tetap sah untuk dijadikan sebagai haiwan korban. Di antara yang disebutkan ialah haiwan yang terkoyak telinganya sekalipun melebihi satu pertiga dan haiwan yang ditebuk telinganya.[2]

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat haiwan yang ditebuk untuk diletakkan tag telinga atau ditindik telinganya sebagai tanda tetap sah untuk dijadikan sebagai haiwan korban. Hal ini kerana kecacatan kerana tebukan itu sangatlah sedikit dan kecil sehingga tidak menjejaskan pengurangan pada dagingnya. Apatah lagi kadang-kadang tanda atau tag telinga tersebut penting bagi membezakan antara haiwan-haiwan tersebut milik siapa, atau membezakan antara haiwan yang sudah divaksin dengan yang belum divaksin, atau menjejakinya jika hilang atau kerana tujuan-tujuan yang lain.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat https://www.aliftaa.jo/Article.aspx?ArticleId=307. Diakses pada 9 Jun 2023.

[2] Lihat https://www.youm7.com/story/2021/7/5/5374696/ أهم-55-سؤالاً-وإجابة-شرعية-عن-الأضحية-المصريون-سألوا-دار. Diakses pada 9 Jun 2023.

Bertarikh: 22 Jun 2023 bersamaan 3 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply