Soalan

Adakah dibenarkan jual beli emas dengan kad kredit?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kad Kredit menurut Bank Negara Malaysia boleh didefinisikan sebagai merujuk instrumen pembayaran yang ditetapkan yang menunjukkan kemudahan kredit atau pembiayaan yang diberikan oleh pengeluar kad kepada pemegang kad dan apabila apa-apa jumlah kredit yang digunakan oleh pemegang kad masih belum diselesaikan sepenuhnya pada atau sebelum tarikh yang ditetapkan, jumlah yang belum diselesaikan akan dikenakan faedah, keuntungan atau caj lain.[1]

Berdasarkan Resolusi No. 63 (1/7) di dalam persidangan Majma’ Fiqh al-Islami al-Duwali, mentakrifkan kad kredit sebagai satu dokumen diberikan oleh pengeluarnya (bank) kepada seseorang individu atau entiti (pemegang kad) dengan ikatan kontrak di antara mereka yang membolehkan pemegang kad membeli barang-barang atau perkhidmatan daripada penjual yang mengiktiraf kad tanpa perlu membuat pembayaran segera kerana jaminan pembayaran yang dibuat oleh pengeluar kad. Pembayaran dibuat melalui akaun  pengeluar kad (bank)  di mana selepas itu caj akan dikenakan ke atas pemegang kad pada selang waktu yang ditentukan. Sebahagian pengeluar mengenakan kadar faedah (riba) pada jumlah baki yang belum dilangsaikan selepas satu tempoh tertentu dari tarikh (hutang tersebut) yang dituntut manakala sebahagian pengeluar tidak mengenakan sebarang kadar faedah.[2]

Emas merupakan item ribawi yang wajib kita waspada dalam urusan jual belinya sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada ‘Ubadah Bin al-Somit RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

الذَّهَبُ بالذَّهَبِ، والْفِضَّةُ بالفِضَّةِ، والْبُرُّ بالبُرِّ، والشَّعِيرُ بالشَّعِيرِ، والتَّمْرُ بالتَّمْرِ، والْمِلْحُ بالمِلْحِ، مِثْلًا بمِثْلٍ، سَواءً بسَواءٍ، يَدًا بيَدٍ، فإذا اخْتَلَفَتْ هذِه الأصْنافُ، فَبِيعُوا كيفَ شِئْتُمْ، إذا كانَ يَدًا بيَدٍ

Maksudnya:Emas dijual dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, timbangan dan beratnya mesti sama, dibayar secara serta-merta (bukan bertangguh). Namun, jika jenis dan kategori barangnya berbeza, maka berjual belilah mengikut yang kamu kehendaki dengan syarat mesti dibayar secara serta-merta.“

Riwayat Muslim (1587)

Dalam Persidangan Majma’ al-Fiqh al-Islami al-Duwali Sesi Ke-12 yang diadakan di Riyadh (Arab Saudi) pada 25 Jamadil Akhir hingga 1 Rejab 1421H (23-28/9/2000), resolusi No.108 (2/12) berkenaan “Kad Kredit”, mereka meletakkan empat resolusi mengenai penggunaan kad kredit, antara resolusinya yang keempat adalah:

Tidak dibenarkan menggunakan kad kredit untuk membeli emas, perak dan mata wang.”[3]

Berdasarkan persoalan di atas, kami berpandangan bahawa tidak boleh membeli emas dengan kad kredit. Hal ini kerana emas itu dibeli dengan cara bertangguh disebabkan oleh ketiadaan duit pada pembelinya dan emas itu diterima secara terus. Ianya berbeza sekiranya dibayar secara tunai ataupun dengan kad debit kerana ianya dibeli dengan tidak bertangguh.

Sekali lagi, kami nyatakan bahawa dalam pembelian emas ini, ia termasuk dalam barangan ribawi. Dua perkara yang penting dalam barangan ribawi ini ialah barangan itu ialah mestilah yadan bi yadin (tangan dengan tangan) , dan mestilah dalam bentuk tunai, segera, berlaku penyerahan dan bukan bertangguh.

Jadi, apabila pembeli membeli emas dengan kad kredit, boleh jadi kad kredit itu masih lagi berada dalam keadaan kosong, lalu ditempohkan transaksi dengan suatu tempoh yang kita tidak tahu. Bagaimana dengan komitmen yang ada dalam hal ini? Justeru, kami dalam hal ini amat-amat menitik-beratkan mengenai belian item ribawi seperti emas dan perak, iaitu:

  • Belian secara tunai,
  • Belian secara terus iaitu tangan dengan tangan.
  • Melakukan akad, ‘Saya jual’, ‘Saya terima’
  • Qabadh (penyerahan) secara hissi (terus)
  • Qabadh (penyerahan) secara hukmi (perwakilan).

Kami juga sarankan supaya mengambil kira juga pandangan pakar-pakar dalam bab ini. Cuma sebaiknya, pilihlah pandangan yang ihtiyati (berhati-hati) agar hati tenang dan tidak ragu-ragu lagi. Kaedah ini hakikatnya menjelaskan bahawa menjadi satu tuntutan kepada setiap individu untuk meninggalkan segala keraguan dan syak dalam kehidupan kepada keyakinan yang menenangkan. Hal ini bertepatan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh al-Hasan bin ‘Ali R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda :

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيبُكَ فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِينَةٌ وَإِنَّ الْكَذِبَ رِيبَةٌ

Maksudnya:Tinggalkanlah perkara yang meragukan kamu kepada perkara yang tidak meragukan kamu. Sesungguhnya kebenaran itu adalah ketenangan dan pembohongan itu suatu yang meragukan.”

Riwayat al-Tirmizi (2518)

Akhir kalam, semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh 5 Januari 2022 bersamaan 2 Jamadil Akhir 1443 H

 

[1] Lihat: https://www.bnm.gov.my/documents/20124/938039/Kad+Kredit.pdf, hlm. 2

[2] Lihat: https://iifa-aifi.org/ar/2055.html

[3] Lihat https://iifa-aifi.org/ar/2055.html

Leave a Reply