Soalan
Adakah jual beli membuat emas dengan jualan secara online atau akaun dibenarkan? Syarikat emas itu membuat sistem akaun pada emas yang dibeli. Apabila emas itu dibayar dan dibeli, emas itu dimasukkan dalam akaun kepunyaan pembeli. Bila emas itu ingin dikeluarkan, ianya boleh dikeluarkan di mana-mana cawangan mereka. Adakah dibolehkan? Sebab setahu saya urusan jual beli emas mesti dengan serahan terus. Mohon pencerahan.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Semua urusan jual beli dan muamalat adalah diharuskan di dalam syara’, namun terdapat urusniaga yang harus diberi perhatian yang melibatkan item ribawi (barang-barang yang dikira hukum riba jika tidak mengikut panduan syara’) supaya tidak terjerumus ke dalam kancah riba.
Emas merupakan item ribawi yang wajib kita waspada dalam urusan jual belinya sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada ‘Ubadah Bin al-Somit RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
الذَّهَبُ بالذَّهَبِ، والْفِضَّةُ بالفِضَّةِ، والْبُرُّ بالبُرِّ، والشَّعِيرُ بالشَّعِيرِ، والتَّمْرُ بالتَّمْرِ، والْمِلْحُ بالمِلْحِ، مِثْلًا بمِثْلٍ، سَواءً بسَواءٍ، يَدًا بيَدٍ، فإذا اخْتَلَفَتْ هذِه الأصْنافُ، فَبِيعُوا كيفَ شِئْتُمْ، إذا كانَ يَدًا بيَدٍ
Maksudnya: “Emas dijual dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, timbangan dan beratnya mesti sama, dibayar secara serta-merta (bukan bertangguh). Namun, jika jenis dan kategori barangnya berbeza, maka berjual belilah mengikut yang kamu kehendaki dengan syarat mesti dibayar secara serta-merta “
Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (6/72) menyatakan: Apabila jual beli tersebut membabitkan dua jenis barangan berunsur riba yang berlainan jenis tetapi mempunyai illah riba yang sama (contohnya kedua-duanya dalam bentuk mata wang atau makanan), jual beli ini perlu memenuhi dua syarat bagi menjadikan jual beli tersebut sah dan bersih daripada unsur riba:
- Akad berlaku secara lani. Akad tersebut mestilah tunai atau serta-merta, yakni akad tersebut tidak menyebut tempoh tertentu bagi penyerahan mana-mana barangan walaupun untuk tempoh yang singkat.
- Penyerahan barangan berlaku di tempat memeterai akad.
Dalam keadaan ini, kedua-dua barangan tidak perlu mempunyai kadar yang sama. Bahkan dibenarkan jual beli secupak gandum dengan dua cupak barli, atau satu gram emas dengan lima gram perak.
Akad ini dan segala proses berikutnya adalah sah. Namun dengan syarat, tidak dinyatakan sebarang tempoh tertentu bagi penyerahan barangan dan penerimaan berlaku pada ketika itu.
Dalil bagi kes ini ialah hadith daripada Ubadah RA yang dinyatakan sebelum ini:
فَإِذَا اخْتَلَفَتْ هَذِهِ الأَصْنَافُ فَبِيعُوا كَيْفَ شِئْتُمْ إِذَا كَانَ يَدًا بِيَدٍ
Maksudnya: “Jika barang-barang ini berbeza, juallah mengikut kehendak kamu selagimana ia dilakukan dengan tangan dengan tangan.”
Riwayat Muslim (1587)
Apa yang dimaksudkan dengan barang-barang dalam hadith ini ialah barangan berunsur riba yang dinyatakan oleh hadith-hadith dan yang seumpama dengannya. Apa yang dimaksudkan dengan berbeza dalam hadith ini ialah barangan yang digunakan sebagai bayaran dalam jual beli ini tidak sama dengan barangan yang dijual.
Apa yang dimaksudkan dengan “juallah mengikut kehendak kamu” ialah kamu dibenarkan berurusniaga dengan barangan ini jika ia bukan barangan yang sama dan tidak disyaratkan barangan tersebut mestilah sama.
Berdasarkan persoalan di atas, kami berpendapat hukum penyerahan melalui akaun dan atas talian boleh dianggap sebagai satu bentuk penyerahan yang diterima. Hal ini berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011 telah membincangkan mengenai Parameter Pelaburan Emas, dan membuat keputusan, antara lain seperti berikut:
“Penyerahan barang belian (emas) hendaklah berlaku secara penyerahan hakiki ataupun kaedah muktabar yang boleh menggantikan penyerahan hakiki. Penyerahan barang belian yang muktabar akan membawa kesan sama seperti penyerahan hakiki, iaitu:
Berpindah dhaman (tanggungjawab jaminan) daripada penjual kepada pembeli.
Kemampuan pembeli untuk mendapatkan barang beliannya pada bila-bila masa tanpa ada halangan.” (Lihat Kompilasi Pandangan Hukum Mesyuarat Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, hlm. 81)
Majlis Majma’ al-Fiqh al-Islami bagi Rabitah al-Alam al-Islami kali ke-11 yang bersidang di Makkah pada tahun 19-26 Februari 1989H membincangkan isu taqabudh hakiki dan hukmi memutuskan bahawa dokumentasi transaksi dalam bentuk resit dan rekod akaun boleh diterima sebagai salah satu bentuk taqabudh yang sah dan diterima dalam Islam.
Justeru, apabila emas tersebut sudah didepositkan ke dalam akaun pembeli dan direkodkan di dalam sistem dan resit, yang mana pembeli boleh bila-bila masa, mengeluarkan emas tersebut dengan kuantiti berdasarkan dalam majlis akad atau kontrak, maka penyerahan sudah dianggap sempurna. Maka sah akad jual beli emas secara atas talian jika meraikan syarat ini.
Wallahua`lam.
Bertarikh 5 Januari 2022 bersamaan 2 Jamadil Akhir 1443 H