Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada satu kemusykilan berkaitan ibadah korban. Saya ingin membeli seekor lembu, lembu tersebut saya upah orang pelihara. Selepas itu, untuk ibadah korban saya upah juga orang untuk kerja-kerja penyembelihan dan melapah dan membahagi daging kepada peserta korban 7 bahagian. 

Bolehkah saya akad jual beli harga lembu dengan peserta korban meliputi harga lembu, harga upah pelihara dan harga upah proses sembelih? Atau saya kena akad harga lembu sahaja dan yang lain-lain saya kena urus lain. Terima kasih

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW sehingga ke Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya: Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).

Begitu juga, hadith yang diriwayatkan oleh Anas Ibn Malik RA:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُضَحِّي بِكَبْشَيْنِ وَأَنَا أُضَحِّي بِكَبْشَيْنِ

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW melaksanakan korban dengan dua ekor kambing dan aku sendiri (Saidina Anas RA) juga melaksanakan korban dengan dua ekor kambing.

Hadith riwayat al-Bukhari (5233)

Hukum melaksanakan ibadah korban bagi mazhab Syafi’ie ialah sunat muakkad. Ini kerana ia merupakan syiar Islam yang wajib ke atas orang muslim yang berkemampuan demi untuk menjaga terhadap syiar tersebut. (Lihat al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafie, 2/478)

Berkenaan pelaksanaan yang tuan ceritakan, kami berpendapat seperti berikut:

  • Ibadat korban amat dituntut dan menjadi syiar agama yang mesti ditegakkan seupaya mungkin di satu-satu tempat kediaman, kawasan, kampung, taman atau sebagainya.
  • Pelaksanaan secara bersama adalah amat mulia dan baik kerana ia menyatukan atas asas ketaqwaan dan kebajikan.

Melihat isu lembu atau kerbau yang ingin dijadikan bahan korban amat perlu diselesaikan dengan cara yang hikmah serta menepati realiti semasa. Dalam erti kata lain, apabila seseekor lembu ingin dikorbankan segala bentuk urusan termasuk beri makan kepada lembu, urusan membawa ke satu-satu tempat, kos pengangkutan dan semuanya, termasuk lesen sembelihan perlu diambil kira. Justeru, berdasarkan adat semasa serta realitinya, perkara tersebut boleh diperkirakan termasuk dalam kos korban. 

Apa yang kurang sesuai dan tidak boleh apabila kita memberi daging kepada seseorang yang menyertai sebagai upah. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW daripada ‘Ali bin Abi Talib RA iaitu:

أَمَرَنِي النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَنْ أَقُومَ عَلَى الْبُدْنِ، وَلاَ أُعْطِيَ عَلَيْهَا شَيْئًا فِي جِزَارَتِهَا

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah mengarahkan aku untuk melakukan sembelihan terhadap unta dan mengarahkan juga kepadaku agar tidak memberi daging daripadanya sebagai upah kepada penyembelih dan juga pelapahnya.”

Riwayat Al-Bukhari (1716) & Muslim (1317)

Manakala di dalam riwayat Muslim terdapat tambahan daripada ‘Ali bin Abi Talib RA yang mengatakan: “Kami memberikan kepada penyembelih dan pelapah upah daripada (harta) kami sendiri.”

Berkenaan hadith di atas, al-Imam al-Son’ani Rahimahullah di dalam kitabnya Subul al-Salam ada memberikan komentar terhadapnya dengan mengatakan:  

“Hadith ini menunjukkan bahawa disedekahkan kulit dan apa yang menutupi binatang korban sepertimana disedekahkan dagingnya. Ianya tidak boleh diberikan kepada penyembelih atau pelapah sedikitpun darinya. Ini kerana termasuk dalam hukum jualan sebabkan kedudukannya sebagai upah. Hukum sembelihan korban sama seperti hukum sembelihan haji di mana daging dan kulitnya tidak boleh dijual juga tidak boleh diberikan kepada penyembelih dan pelapah sedikitpun daripadanya.”(Lihat Subul al-Salam, Dar al-Hadith, 2/537)

Seterusnya, al-Imam al-Nawawi Rahimahullah juga ada menyebutkan di dalam kitabnya al-Minhaj iaitu syarah kepada hadith-hadith di dalam Sahih Muslim dengan mengatakan:

“Tidak dibenarkan untuk memberikan sesuatu daripada bahagian korban kepada al-Jazzar (tukang sembelih) dan inilah mazhab kami dan dengannya juga adalah pendapat ‘Atho, al-Nakha’ie, Malik, Ahmad, Ishak dan dihikayatkan daripada Ibn al-Munzir daripada Ibn Umar daripada Ahmad dan Ishak bahawa dibolehkan untuk menjual kulit sembelihan hadyu dan bersedekah dengan harganya.” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, 9/65)

Pendapat yang sama juga diulangi oleh al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya yang lain iaitu al-Majmu Syarh al-Muhazzab.

Justeru, kami katakan cuba selesaikan isu dalaman terkait isu ibadat korban ini yang cita-cita kita semua untuk meraih ketaqwaan. Pemberian duit kepada mereka dari kerelaan rakan-rakan sebagai penghargaan atas usaha dan penat-lelah dalam kadar yang munasabah boleh dilakukan. Hal ini berdasarkan hadith yang sama di atas, tetapi dengan lafaz yang berbeza serta sedikit tambahan dan pada hujung hadith tersebut menyebut perihal upah ini. 

Diriwayatkan oleh Abdurrahman bin Abi Laila bahawa Saidina Ali berkata:

‌أَمَرَنِي ‌رَسُولُ ‌اللهِ ‌صَلَّى ‌اللهُ ‌عَلَيْهِ ‌وَسَلَّمَ ‌أَنْ ‌أَقُومَ ‌عَلَى ‌بُدْنِهِ، وَأَنْ أَتَصَدَّقَ بِلَحْمِهَا وَجُلُودِهَا وَأَجِلَّتِهَا، وَأَنْ لَا أُعْطِيَ الْجَزَّارَ مِنْهَا، قَالَ: نَحْنُ نُعْطِيهِ مِنْ عِنْدِنَا

Maksudnya: “Aku disuruh Rasulullah SAW mengurus penyembelihan haiwan korban, menyedekahkan daging dan kulitnya, serta mengurus segala sesuatu yang berhubungan dengan kesempurnaan korban. Dan aku dilarang supaya tidak memberi upah kepada penyembelih daripadanya (haiwan korban). Maka untuk upahnya kami ambilkan dari wang kami sendiri.”

Riwayat Muslim (1317)

Oleh itu, hadis di atas menjadi dalil kepada haram untuk seorang penyembelih mengambil upah daripada haiwan korban tersebut. Namun begitu, upah atau saguhati  boleh diberikan kepada penyembelih dengan syarat mesti daripada harta penganjur atau orang yang melakukan korban sendiri. (Lihat Ma’alim al-Sunan 158/2; al-Minhaj Syarh Sahih Muslim 65/9)

Amat kurang sesuai korban sudah berlangsung tetapi cakap-cakap tidak puas hati dengan pengurusan sehingga membawa kepada keitdakharmonian dalam masyarakat tersebar yang akhirnya sindrom prejudis yang amat tinggi kepada pihak masjid atau surau atau yang mengendalikan ibadat korban. 

Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita kebaikan dan korban yang kita lakukan diterima oleh Allah SWT dengan sebab taqwa. Amin.

Bertarikh: 22 Jun 2023 bersamaan 3 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply