Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada terbaca mengenai perbezaan pendapat mengenai hukum penggunaan serbuk buah pala. Ada yang mengharamkan kerana kesan halusinasi, dan ada yang menghalalkan selagi diguna dalam kuantiti minimal. Memandangkan serbuk buah pala digunakan secara meluas dalam masakan, bakeri dan pastri, mohon diberi penjelasan mengenai hukum penggunaan bahan tersebut.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Pertamanya, kami katakan terlebih dahulu bahawa asal kepada setiap sesuatu itu adalah harus selagi mana ia tidak termasuk di dalam perkara yang diharamkan atau ditegah oleh syara’ seperti najis dan sebagainya. Ini berdasarkan umum kaedah fiqhiyyah:
الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ
Maksudnya: “Asal pada sesuatu perkara adalah harus.”
Melihat kepada persoalan yang ditanyakan, sebaiknya kita ketahui terlebih dahulu apa itu buah pala dan manfaatnya pada pengguna. Buah pala boleh diperoleh daripada benih pokok pala, dan nama saintifiknya adalah Myristica fragrans.
Antara proses yang dilakukan sebelum mengisarnya dan menggunakannya dalam bentuk serbuk, bijinya dikeringkan terlebih dahulu secara perlahan-lahan di bawah cahaya matahari dalam tempoh selama enam hingga lapan minggu. ia mengecut daripada biji benih yang keras sehinggalah lapisan kernel di dalamnya boleh menghasilkan bunyi apabila digoncang kerana telah kering sepenuhnya.
Buah pala mempunyai manfaatnya yang tersendiri, antara adalah ia mengandungi antioksidan yang baik, mempunyai sifat anti-radang, mempunyai sifat anti-bakteria, minyaknya mampu berfungsi sebagai analgesik dan memberikan kelegaan, boleh melegakan insomnia, dan lain-lain.[1]
Sekalipun buah pala mempunyai manfaat dan khasiat yang tertentu, perlu juga merujuk kepada pakar perubatan jika pengambilannya adalah untuk tujuan rawatan atau melegakan penyakit yang dialami.
Manakala penggunaannya dalam pastri dan bakeri seperti yang dinyatakan di dalam persoalan, jika kuantitinya adalah bersesuaian dan tidak mendatangkan kesan yang buruk pada orang lain, maka hukumnya adalah diharuskan.
Dikatakan bahawa buah pala ini mengandungi myristicin. Jika kuantiti kandungan ini diambil secara berlebihan, ia boleh mengakibatkan keracunan toksin. Antara kesannya boleh menyebabkan simptom yang serius, seperti degupan jantung yang pantas, mual, muntah-muntah, dan fikiran yang terganggu.[2]
Kesimpulan
Kami katakan, jika diketahui bahawa buah pala akan mendatangkan kemudharatan dalam kuantiti yang banyak, maka perlu dijauhi. Allah SWT berfirman:
وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”
(Surah al-Baqarah: 195)
Jika ia digunakan dengan kuantiti yang banyak di dalam masakan, yang diyakini mampu mendatangkan mudharat pada orang lain, maka ia ditegah oleh syara‘ berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak ada kemudaratan dan tidak boleh membuat kemudaratan.”
Riwayat Ahmad (2865) dan Ibn Majah (2340)
Wallahu a‘lam
[1] Lihat https://hellodoktor.com/pemakanan/fakta-nutrisi/buah-pala-rempah-berharga/. Disemak pada 12 Jun 2023.
[2] Lihat https://hellodoktor.com/pemakanan/fakta-nutrisi/buah-pala-rempah-berharga/. Disemak pada 12 Jun 2023.
Bertarikh: 22 Jun 2023 bersamaan 3 Zulhijjah 1444 H