Soalan:

Adakah menikahi dengan calon isteri pilihan ibu (walaupun hakikatnya saya tiada rasa cinta) itu salah satu cara berbakti kepada ibu saya. Dan jika saya enggan, adakah dikira derhaka?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Islam menggalakkan umatnya supaya berkahwin kerana perbuatan itu merupakan Sunnah Baginda Nabi SAW. Selain itu perkahwinan juga terdapat pelbagai kebaikan dan faedah, sama ada kepada individu mahupun masyarakat. Hal ini seperti yang disebut di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abu Ayyub RA, Sabda Nabi SAW:

أَرْبَعٌ مِنْ سُنَنِ الْمُرْسَلِينَ: الْحَيَاءُ، وَالتَّعَطُّرُ، وَالسِّوَاكُ، وَالنِّكَاحُ

Maksudnya: “Empat perkara yang merupakan sunnah para rasul, iaitu sifat malu, berwangi-wangian, bersugi dan nikah.”

Riwayat al-Tirmizi (1080) dan Ahmad (23628)

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan sebagai ibu bapa, sudah tentu mereka mahukan yang terbaik untuk anaknya. Mereka lebih makan garam dalam menempuh liku-liku kehidupan ini. Oleh itu, sebaiknya selagi mana ia bukan suatu perkara yang dilarang oleh syarak, maka patuhilah saranan ibu bapa saudara. Bahkan, keredhaan Allah juga pada keredhaan ibu bapa dan di situ juga menentukan keberkatan hidup. Sabda Nabi SAW:

رِضَا اَللَّهِ فِي رِضَا اَلْوَالِدَيْنِ, وَسَخَطُ اَللَّهِ فِي سَخَطِ اَلْوَالِدَيْنِ

Maksudnya: “Keredhaan Allah pada keredhaan kedua ibu bapa, kemurkaan Allah pada kemurkaan kedua ibu bapa.”

Riwayat al-Tirmizi (1900), Ibn Hibban (2026)

Oleh itu, secara hukumnya, seorang lelaki itu tidak memerlukan keizinan wali untuk bernikah. Pernikahan juga sah tanpa izin daripada kedua orang tuanya. Namun, kami juga ingin menasihati, agar perbincangan yang baik bersama dengan ibu bapa hendaklah dilakukan sebelum memilih calon. Hal ini kerana hubungan kekeluargaan sangatlah penting untuk dijaga supaya dengan pernikahan tersebut, tidak menimbulkan permasalahan yang rumit dalam hubungan kekeluargaan pada masa akan datang.

Begitu juga nasihat kami kepada ibu bapa di luar sana agar lebih bersifat terbuka dan mementingkan calon yang lebih beragama daripada ciri-ciri lain. Ini sepertimana hadith yang diriwayatkan oleh Abu hatim al-Muzani RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا جَاءَكُمْ مَنْ تَرْضَوْنَ دِينَهُ وَخُلُقَهُ فَأَنْكِحُوهُ إِلاَّ تَفْعَلُوا تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الأَرْضِ وَفَسَادٌ

Maksudnya: Jika datang kepada kalian seorang lelaki yang kamu redha akan agama dan akhlaknya, maka kahwinkanlah dia. Jika tidak, maka akan timbullah fitnah di atas muka bumi dan juga kerosakan.

Riwayat al-Tirmidzi (1085) dan al-Baihaqi (13863)

Kami juga ingin menyeru agar memperbanyakkan doa-doa yang baik, dan salah satu doa yang boleh kita amalkan bersama, agar dikurniakan pasangan yang baik ialah seperti yang diajarkan al-Quran:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 22 Jun 2023 bersamaan 3 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply