Soalan:

Assalamualaikum SS Dr Zul, saya membuat perniagaan menjual jersey (EPL, dll) gred copy ori/ tiruan, adakah berkat hasil yang saya terima?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Harta Intelek bermaksud apa-apa yang berkaitan dengan hakcipta, paten, rekabentuk perindustrian, disk optik dan cap dagangan.[1]

Jenis-jenis Harta Intelek :

  • REKABENTUK INDUSTRI: Reka bentuk perindustrian adalah aspek hiasan atau estetik sesuatu artikel. Reka bentuk boleh terdiri daripada tiga dimensi ciri seperti bentuk dan konfigurasi artikel, atau ciri dua dimensi, seperti corak dan hiasan. Ciri-ciri reka bentuk mesti diterapkan pada sesuatu artikel oleh mana-mana proses perindustrian di mana artikel yang tersiap tu menarik perhatian.
  • TANDA DAGANG: Tanda perdagangan adalah tanda yang membezakan barangan dan perkhidmatan dari seorang peniaga dari yang lain. Tanda merangkumi perkataan, logo, gambar, nama, huruf, nombor atau gabungan yang disebutkan tadi.
  • PATEN: Paten adalah hak eksklusif yang diberikan untuk ciptaan, iaitu produk atau proses yang secara umumnya menyediakan kaedah yang baru untuk melakukan sesuatu, atau menawarkan penyelesaian teknikal baru kepada sesuatu permasalahan.
  • PETUNJUK GEOGRAFI: Petunjuk geografi (GI) adalah tanda yang digunakan pada produk yang mempunyai asal geografi tertentu dan memiliki sifat atau reputasi yang disebabkan oleh asal itu.
  • HAKCIPTA: Hak cipta adalah perlindungan yang diberikan kepada pengarang, pemilik hak cipta dan pelaku karya dan persembahan hak cipta sebagaimana ditetapkan di bawah Akta Hak Cipta 1987.
  • REKA BENTUK SUSUN ATUR LITAR BERSEPADU: Reka bentuk susun atur litar bersepadu adalah pelupusan tiga dimensi elemen litar bersepadu dan beberapa atau semua saling litar bersepadu atau pelupusan tiga dimensi yang disediakan untuk litar bersepadu yang ditujukan untuk pembuatan.

Menurut keputusan persidangan Majma’ al-Fiqh al-Islami yang Kelima tahun 1409H/ 1988M. Perbincangan tentang al-Huquq al-Ma’nawiyyah, Harta intelek seperti yang dinyatakan di atas mempunyai nilai ekonomi yang tersendiri dan diakui orang sebagai satu bentuk kekayaan. Justeru harta-harta seperti ini dikira sebagai hak khusus kepada pemiliknya. Oleh kerana itu, hak-hak seperti itu tidak boleh dilanggar[2].

Pencurian hak-hak hak cipta yang mempunyai nilai merupakan pemanfaatan tanpa kebenaran. Ia menyebabkan penurunan nilai dan mungkin juga penurunan dari segi spesifikasi. Pemanfaatan tanpa kebenaran dari pemilik hak cipta tidaklah dianggap sebagai pencurian yang dikenakan hukuman  kerana ia tidak memenuhi syarat-syarat seorang itu dihukum sebagai pencuri akan tetapi, ia merupakan harta yang nilainya mungkin layak dituntut pampasan kewangan oleh pihak yang terjejas. Nilai ini ditentukan oleh pengadilan  berdasarkan tempat dan masa dan hakim perlulah mengenakan tindakan terhadap perbuatan tersebut demi menjaga kemaslahatan. (Lihat Fatawa Wal Istisyarat al-Islam al-Yaum,10/360)

Menjawab bagi persoalan di atas,kami nyatakan disini perlu diketahui terlebih dahulu adakah jersey tersebut telah dicorakkan ataupun tidak. Sekiranya telah dicorakkan maka yang demikian tidak diperbolehkan untuk menjualnya kerana ia mempunyai hak cipta atau hak pemilikan (copyright) yang tersendiri. Semuanya itu terkait dengan undang-undang. Hak-hak ini perlu diambil perhatian sebelum kita  melakukan apa-apa penjualan. Namun, sekiranya pada jersey yang hendak dijual tersebut sekadar ditulis padanya sebagai contoh “livepool”  yang bukan bermakna kelab atau hak pemilikan yang tertentu tetapi hanya sekadar baju biasa sahaja, maka yang demikian itu tidaklah menjadi masalah dan ia tidak termasuk dalam hak pemilikan.Oleh yang demikian, bagi mengelakkan timbulnya masalah yang mendatang kita perlu mera’ikan perundangan dan hak-hak yang tertentu sebelum melakukan apa-apa aktiviti penjualan supaya tidak mengambil hak orang lain secara batil dan yang paling penting adalah hasil yang diperolehi dari apa-apa jualan itu diberkati oleh Allah SWT. Firman Allah SWT :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ ۚ وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.

(Surah al-Nisa:29)

Wallahua’lam

 

[1] Lihat: https://www.myipo.gov.my/ms/kenali-myipo/ 

[2]  Lihat: https://iifa-aifi.org/ar/1757.html

Bertarikh: 22 Jun 2023 bersamaan 3 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply