Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin minta sedikit ulasan tentang menisbahkan sifat manusia kepada Allah. Contohnya, saya pernah dengar apabila kawan saya diuji dengan kehilangan insan tersayang, kemudian ada yang menasihatinya dengan kata-kata seperti: Allah ambil insan yang dia sayangi tersebut kerana Allah cemburu dengan dia. Bolehkah kita menisbahkan rasa cemburu itu dengan maksud Allah cemburu kepada manusia?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Ilmu tentang nama-nama Allah SWT dan sifat-sifat-Nya adalah ilmu yang paling mulia. Hal ini kerana kemuliaan ilmu adalah bergantung kepada topik yang menjadi perbicangan, dan utama dalam ilmu ini adalah mengenali Allah SWT, Maha Suci Allah dengan nama-nama-Nya dan sifat-sifat-Nya.

Perbezaan Sifat al-Ghirah Manusia dan Allah

Sifat cemburu ini disebutkan sebagai al-Ghirah (الغِيرَةُ), tetapi cemburu ini adalah berbeza bagi manusia dan juga Allah.

Telah thabit sebuah hadith daripada al-Mughirah bin Syu‘bah R.A katanya, Sa‘d bin ‘Ubadah R.A telah berkata: “Jika aku nampak seorang lelaki bersama dengan isteri aku, aku akan pukul dia dengan pedang.” Lalu kisah tersebut sampai kepada Rasulullah SAW seraya Baginda bersabda:

أَتَعْجَبُونَ مِنْ غَيْرَةِ سَعْدٍ، وَاللَّهِ لَأَنَا أَغْيَرُ مِنْهُ، وَاللَّهُ أَغْيَرُ مِنِّي، وَمِنْ أَجْلِ غَيْرَةِ اللَّهِ حَرَّمَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ

Maksudnya: “Adakah kamu hairan dengan cemburu Sa’d? Demi Allah, aku lebih cemburu daripada dia, dan Allah lebih cemburu daripada aku. Oleh kerana cemburu Allah itu, Dia mengharamkan perbuatan-perbuatan keji sama ada yang jelas atau yang tersembunyi.”

Riwayat al-Bukhari (6980) dan Muslim (1499)

Terdapat juga riwayat lain daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ يَغَارُ وَغَيْرَةُ اللَّهِ أَنْ يَأْتِيَ الْمُؤْمِنُ مَا حَرَّمَ اللَّهُ

Maksudnya “Sesungguhnya Allah mempunyai sifat cemburu, dan cemburu Allah apabila hamba-Nya yang beriman melakukan perkara yang diharamkan-Nya.”

Riwayat al-Bukhari (4925) dan Muslim (2761)

Diriwayatkan pula daripada Ummul Mukminin ‘Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَا أُمَّةَ مُحَمَّدٍ! وَاللَّهِ مَا مِنْ أَحَدٍ أَغْيَرُ مِنْ اللَّهِ أَنْ يَزْنِيَ عَبْدُهُ أَوْ تَزْنِيَ أَمَتُهُ. يَا أُمَّةَ مُحَمَّدٍ! وَاللَّهِ لَوْ تَعْلَمُونَ مَا أَعْلَمُ لَضَحِكْتُمْ قَلِيلًا وَلبَكَيْتُمْ كَثِيراً

Maksudnya: “Wahai ummat Muhammad! demi Allah tiada seorang pun lebih cemburu daripada Allah apabila hamba-Nya yang lelaki atau perempuan berzina. Wahai ummat Muhammad! demi Allah sekiranya kalian ketahui apa yang aku ketahui, maka kalian akan kurang ketawa dan banyak menangis.”

Riwayat al-Bukhari (1044) dan Muslim (901)

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyyah berkata bahawa sifat al-Ghirah Allah SWT adalah apabila hamba-Nya melakukan apa yang dilarang-Nya, dan apabila ada hamba-Nya yang berzina. (Lihat al-Istiqamah, 2/9-11)

Syeikh Abdul Aziz bin Bazz menyatakan di dalam komentarnya dalam kitab Fath al-Bari bahawa mustahil bagi Allah untuk bersifat dengan sifat cemburu yang serupa dengan cemburu makhluk ciptaan-Nya. Adapun cemburu yang dimaksudkan adalah apa yang selayaknya bagi-Nya. Maka Allah bersifat dengan sifat cemburu menurut Ahlu Sunnah tanpa menyerupai sifat makhluk, dan hanya Allah yang mengetahui bagaimana keadaan sifat itu. (Lihat Fath al-Bari, 2/531)

Manakala cemburu bagi manusia seperti yang dinyatakan di dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka ialah bermaksud iri hati, ia bertitik tolak daripada perasaan tidak puas hati kerana orang lain mempunyai sesuatu yang lebih daripada dirinya.

Menyamakan Sifat Manusia dengan Sifat Allah SWT

Allah SWT tidak boleh disamakan dengan makhluk ciptaan pada apa jua sifat-Nya yang disebutkan oleh syara‘. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ ۖ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Maksudnya: “Tidak ada sesuatu yang semisal dengan Allah. Dia adalah Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”

(Surah Al-Syura: 11)

Imam Ibn Kathir di dalam tafsirnya menyebut: “Iaitu tidak ada bagi Allah yang merupakan Pencipta semua yang berpasangan ini sama seperti sesuatu yang lain kerana Allah adalah satu-satunya tempat bergantung  yang tidak ada tandingan bagi-Nya.” (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 7/194)

Syeikh al-Sya’rawi pula menyebutkan bahawa semua sifat-sifat Allah datang dengan contoh untuk memberikan makna yang hampir sahaja, tetapi bukan dengan tujuan untuk memberikan hakikat makna tersebut, kerana Allah SWT tidak ada sesuatu pun yang sama sepertinya. (Lihat Tafsir al-Sya‘rawi, 9/595)

Kesimpulan

Setelah meneliti hujjah-hujjah dan dalil yang dibawakan di atas, kami katakan bahawa tidaklah sifat al-Ghirah Allah itu menyerupai dengan al-Ghirah manusia. Barangkali, mereka yang tidak mengetahui tafsiran yang benar tentang sifat cemburu Allah tersilap memahaminya, lalu menyamakan sifat tersebut bagi Allah SWT dan manusia.

Sifat cemburu bagi Allah SWT tidak lain adalah meliputi marah atau kebencian terhadap perbuatan maksiat yang dilakukan hambanya.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا زِدْنَا عِلْمًا وَارْزُقْنَا فَهُمَا

Maksudnya: “Wahai tuhan kami, kurniakanlah kami ilmu dan rezekikanlah pada kami kefahaman.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 22 Jun 2023 bersamaan 3 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply