Soalan:

Assalamualaikum Daro’ Seri. Saya ada penyakit mental yang mungkin tidak membolehkan saya menunaikan haji. Bolehkah saya menunaikan badal haji ketika masih hidup?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan takrifan penyakit mental. Penyakit mental adalah penyakit yang melibatkan gangguan pada fungsi otak yang boleh menyebabkan perubahan kepada proses pemikiran, perasaan dan tingkah-laku seseorang yang mengakibatkan gangguan untuk menjalani aktiviti seharian dengan baik.

Kajian pemantauan penyakit yang dijalankan di Malaysia pada tahun 1996 mendapati hampir 11.1% daripada golongan dewasa Malaysia dikesan mengalami penyakit mental.

Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan penyakit mental adalah antara 5 penyakit utama yang menyebabkan hilang upaya di seluruh dunia dan dijangkakan pada tahun 2020 penyakit ini akan menjadi penyebab kedua tertinggi.

Jenis-jenis penyakit mental

Penyakit mental bukanlah hanya sejenis penyakit sahaja. Ia terdiri dari berbagai kategori penyakit. Secara umumnya penyakit mental boleh dibahagikan kepada 3 kumpulan utama:

Neurosis

Mereka yang tergolong di dalam kumpulan ini lazimnya mengalami perubahan dan gangguan di dalam pemikiran, perasaan dan kelakuan tanpa menjejaskan kewarasan mereka. 

Individu yang mengalami penyakit neurosis selalunya sedar akan keadaan kesihatan mereka. Fungsi harian mereka mungkin terganggu sedikit. Antara contoh penyakit neurosis adalah seperti berikut:

  • Kemurungan: Kemurungan adalah perasaan sedih yang melampau dan berpanjangan. Sedih adalah perasaan yang sering kita alami. Akan tetapi jika perasaan sedih itu terlalu berat untuk ditanggung dan berpanjangan melebihi tempoh 2 minggu serta mengganggu fungsi kehidupan seharian maka ia bukanlah sedih lazim tetapi penyakit kemurungan.
  • Kebimbangan: Penyakit ini digejalai oleh perasaan bimbang, resah dan gelisah. Seseorang itu akan berasa tertekan, tegang, berpeluh, berdebar-debar dan berasa takut melampau akan bahaya yang mereka tidak ketahui puncanya

Psikosis 

Mereka yang mengalami penyakit psikosis mengalami perubahan yang amat ketara di dalam pemikiran, perasaan dan tingkah laku mereka. Kewarasan mereka juga terjejas. 

Penderita akan berasa keliru dengan mengalami suara-suara ghaib berkomunikasi dengan mereka. Ia dikenali sebagai halusinasi. Mereka juga mempunyai kepercayaan pelik yang tidak dikongsi oleh orang lain dan menyebabkan reaksi melampau dari pesakit berkenaan. Ia dipanggil delusi. Antara contoh delusi ialah – ada orang mahu menganiaya atau berbuat jahat kepada mereka menyebabkan mereka bertindak menyerang orang yang disyakinya secara membahayakan. 

Mereka mungkin bercakap dengan merapu / mengarut; berkelakuan aneh seperti bercakap seorang, ketawa atau marah dengan tiada bersebab. Contoh psikosis yang sering dialami adalah:

  • Schizophrenia: Antara ciri utama ialah: halusinasi; delusi; kecelaruan pemikiran, kecelaruan pertuturan dan tingkah laku. Prestasi kerja mereka juga merosot dengan ketara.
  • Kecelaruan manik-depresif (dwikutub): Penyakit ini mengakibatkan mereka mengalami perubahan ketara dari segi emosi. Mereka sering hilang kawalan dan menjadi terlalu gembira (fasa manik) atau terlalu sedih (fasa kemurungan).

Kecelaruan Personaliti

Secara asasnya kecelaruan ini membuat seseorang itu mengalami kecacatan perwatakan atau karakter. Masalah yang dialami ini boleh memberi kesan kepada perhubungan interpersonal dengan orang di sekelilingnya.

Adapun bagi ibadah seseorang yang menghidap penyakit mental berdasarkan kepada hadith Rasulullah SAW.

Diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib R.A, sabda Rasulullah SAW:

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ: عَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَحْتَلِمَ، وَعَنِ الْمَجْنُونِ حَتَّى يَعْقِلَ

Maksudnya: “Diangkat pena daripada tiga golongan, iaitu orang yang tidur sehingga dia terjaga, kanak-kanak sehingga dia bermimpi, dan orang yang gila sehingga dia berakal.”

Riwayat Abu Dawud (4403), Ahmad (1183), Tirmizi (1423), Nasa‘ie (3432), dan Ibn Majah (2041)

Imam al-San’ani telah mensyarahkan, yang dimaksudkan dengan sabda Nabi SAW “dan orang gila sehingga dia berakal atau sedar” adalah tidak diambil tindakan ke atasnya.” (Lihat Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram, 16/20). Syeikh Abdullah al-Tayyar menyatakan: “Yang dimaksudkan dalam hadis tersebut ialah tidak ditulis baginya dosa. Ini kerana pada ketika itu, dia tidak dianggap sebagai mukallaf.” (Lihat Wabal al-Ghumamah Syarh Umdah al-Fiqh Li Ibn al-Qudamah, 9/9)

Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah disebut: Para fuqaha’ telah bersepakat bahawa gila termasuk daripada ‘awaridh al-ahliyyah iaitu perkara yang menghalang daripada beban hukum dijatuhkan ke atas seseorang dalam keadaan gila yang berterusan. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah, 17/92)

Jawapan kami adalah seperti berikut:

  • Jika saudara termasuk dalam jenis pesakit mental yang mungkin boleh mencederakan orang lain dan sukar dikawal serta menepati sejenis gila, maka kewajipan haji terhadap saudara adalah tergugur. 
  • Sebaliknya, jika saudara sekali-sekala sahaja didatangi dan dalam bentuk terkawal serta mempunyai ubat yang khas yang perlu diambil dan lebih banyak keadaan saudara tenang dan ingat. Maka, ketika itu, saudara boleh pergi ke Mekah untuk menunaikan haji. Seingatan saya dahulu terdapatnya hospital khas yang disediakan oleh Tabung Haji jika berlaku pesakit yang bersifat gangguan mental.

Justeru, saya katakan saudara berhak untuk melakukan badal haji bagi pihak saudara dengan mengupah kepada seseorang sama ada kaum keluarga atau orang lain. 

Saya doakan semoga saudara diberi kesembuhan dan selamat daripada ujian seperti ini dan mampu untuk menunaikan ibadat haji pada satu hari nanti. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

Maksudnya: “Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”

Bertarikh: 22 Jun 2023 bersamaan 3 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply