Soalan:

Assalamualaikum dato, saya buntu nak cari jawapan, saya pelajar yang tinggal di rumah kongsi yang ramai non-Muslim. Apa hukum kita simpan daging dalam peti yang ada disimpankan babi, daging yang disimpan tersebut pula diletakkan dalam bekas bertutup dan tidak bersentuh dengan bekas bersimpan babi itu, bolehkah dimasak dan dimakan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Khinzir termasuk dalam kategori najis mughallazah (berat) dan wajib dicuci mengikut kaedah yang ditetapkan oleh syarak. Hal ini adalah sebagaimana firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya).”

 Surah al-Ma’idah (3)

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan bahawa pengharamkan babi itu meliputi semua bahagiannya sehingga pada lemak dan kulitnya. Adapun dikhususkan dengan menyebut dagingnya sahaja kerana ia merupakan tujuan yang terpenting — yakni untuk dimakan. Sesungguhnya syarak telah melarang untuk mengambil manfaat daripada semua bahagian babi. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/77)

 Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ

Maksudnya: “atau daging babi kerana sesungguhnya ia adalah kotor.”

Surah al-An‘am (145)

Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami nyatakan perbuatan saudara meletakkan daging di dalam bekas yang tertutup adalah suatu perbuatan yang sewajarnya. Hal ini bagi mengelakkan tercampurnya daging tersebut dengan daging khinzir tersebut. Kami juga nyatakan daging yang telah disimpan rapi oleh saudara tidak menjadi masalah untuk saudara masak dan memakannya. Namun, kami nasihatkan bagi mengelakkan tercampurnya daging-daging tersebut, sebaiknya ia dibuat label seperti “daging lembu” bagi tujuan berjaga-jaga.

Bagi memahami isu-isu semasa berkenaan hukum berkaitan khinzir:

#419 Menghidu Bau Masakan Babi[1]

Semoga kita mempunyai sedikit sifat warak dalam meniti kehidupan yang penuh mencabar ini. Marilah sama-sama kita berdoa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.” 

[1] https://maktabahalbakri.com/419-menghidu-bau-masakan-babi/#_ftn4

Bertarikh: 22 Jun 2023 bersamaan 3 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply