Soalan:

Hi, saya ingin bertanya satu soalan, sebagai Non-Muslim saya selalu tertanya-tanya, kenapa muslim kena cium/pegang hajar aswad masa melakukan umrah/haji? Sedangkan Muslim tidak boleh sembah barang selain Allah.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Al-Hajar al-Aswad merupakan batu yang diletakkan oleh Nabi Ibrahim AS di salah satu daripada penjuru Ka’bah (sudut Timur Ka’bah dan sebelah kiri multazam) dan Allah SWT menurunkannya dari Syurga. Sabda Nabi SAW:

نَزَلَ الحَجَرُ الأَسْوَدُ مِنَ الجَنَّةِ، وَهُوَ أَشَدُّ بَيَاضًا مِنَ اللَّبَنِ فَسَوَّدَتْهُ خَطَايَا بَنِي آدَمَ

Maksudnya: “Al-Hajar al-Aswad diturunkan dari Syurga. Warna lebih putih daripada putihnya susu tetapi ia telah dihitamkan oleh sebab dosa-dosa anak Adam.”

Riwayat al-Tirmizi (877) dan beliau nyatakan hadith ini dinilai sebagai hasan sahih

Berbalik kepada soalan yang diajukan, hukum mencium/ memegang batu Hajar Aswad adalah sunat. Perbuatan mencium Hajar Aswad bukanlah bererti menyembah batu tersebut, namun sebagai  salah satu sunnah Nabi. Sebagaimana dalam hadith menyebut:

إِنِّي أَعْلَمُ أَنَّكَ حَجَرٌ مَا تَنْفَعُ وَلاَ تَضُرُّ، ولَوْلا أنِّي رأَيْتُ رسولَ اللَّه صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم، يُقَبِّلُكَ مَا قَبَّلْتُكَ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku (Saidina Umar al-Khattab) mengetahui, engkau hanyalah batu yang tidak memberi manfaat dan mudarat. Jika tidak kerana aku melihat Rasulullah SAW menciummu, nescaya aku tidak akan menciummu.”

Riwayat Al-Bukhari (167)

Kami katakan Allah SWT mengecualikan mengikut apa yang Dia kehendaki. Kami patuh dan taat kepada perintah Allah SWT. Bila mana Allah SWT mensyariatkan kami agar mencium Hajar al-Aswad dan beristilam dengannya, begitu juga mencegah kami dari bertabarruk (mengambil berkat) dengan batu dan pohon kayu. Maka, ini termasuk dalam perkara pengecualian. Kami lakukannya semata-mata mentaati Allah SWT dan mengikut Rasulullah SAW.

Begitu juga, untuk pengetahuan saudara, ibadat dalam Islam, ada yang bersifat tawaqqufi dan ta’abbudi yang memberi maksud kerana itulah perbuatan Rasulullah SAW yang sewajarnya kita ikuti. Boleh jadi kita tidak mengetahui matlamat atau hikmah di sebaliknya, tetapi kita tetap yakin akan ada hikmah di sebaliknya. Dengan sebab itulah, hikmah yang sebenarnya dariapda mencium Hajar al-Aswad adalah semata-mata mengikut perbuatan Rasulullah SAW di samping menzahirkan ubudiyyah kepada Allah SWT iaitu dengan cara mentakzimkan syiar-Nya sebagai mana yang ditunjukkan oleh sunnah.

Semoga perbahasan ini sedikit sebanyak dapat memberi penjelasan kepada saudara dalam memahami lebih mendalam berkenaan agama Islam. Amin. 

Bertarikh: 22 Jun 2023 bersamaan 3 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply