Soalan:

Bolehkah non-muslim diberi minum air zam zam? Mohon pencerahan dari Ustaz. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sabda Nabi SAW:

خَيْرُ مَاءٍ عَلَى وَجْهِ الْأَرْضِ مَاءُ زَمْزَمَ فِيهِ طَعَامٌ مِنَ الطُّعْمِ وَشِفَاءٌ مِنَ السُّقْمِ

Maksudnya:Sebaik-baik air di atas muka bumi ialah air zamzam, padanya terdapat makanan yang mengenyangkan dan penawar daripada penyakit.

Riwayat al-Fakihi dalam Akhbar Makkah (1106); al-Tabarani (11167); al-Dhiya’ dalam al-Ahadith al-Mukhtarah (137); Lihat juga Majma‘ al-Zawaid wa Manba‘ al-Fawaid, 3/286; Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, 3/44-45.

Air zamzam merupakan penghulu bagi segala air dan sebaik-baik air di atas muka bumi ini. Zamzam adalah nama bagi sebuah telaga yang berada di dalam Masjidil Haram di Makkah. Kemunculan telaga ini adalah pada zaman Nabi Ismail bin Ibrahim A.S, apabila Allah SWT telah sediakan air dari telaga ini bagi menghilangkan kelaparan dan dahaga buat dirinya dan ibunya, apabila mereka sudah kehabisan bekalan air di Makkah yang tandus pada ketika itu.

Hadith di atas menunjukkan secara umum di mana air zam-zam boleh diminum oleh orang Islam dan kafir. Justeru, tidak menjadi kesalahan jika dihadiahkan kepada jiran kita yang bukan Islam air zam-zam. 

Alasan yang paling kuat di mana ketika pembukaan kota Mekah masih terdapat sebahagian jemaah Quraisy Mekah yang belum memeluk Islam dan tiada sabit menunjukkan bahawa Nabi SAW menghalang mereka dari meminum air zam-zam. 

Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami nyatakan harus hukumnya memberi minum air zam-zam kepada mereka yang bukan Islam. Hal ini kerana tiada sebarang larangan oleh syarak dalam hal tersebut. Moga dengan perbuatan baik tersebut, sedikit sebanyak menzahirkan akhlak Islam yang baik.

Isu berkenaan Air Zam-Zam telah kami bincangkan dalam artikel-artikel di bawah:

#463 Memberi Air Zamzam kepada Non-Muslim[1]

#369 Keberkatan Air Zamzam Tidak Terikat dengan Tanah Haram[2]

 

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen. Wallahua‘lam.

 

[1] https://maktabahalbakri.com/463-memberi-air-zamzam-kepada-non-muslim/

[2] https://maktabahalbakri.com/369-keberkatan-air-zamzam-tidak-terikat-dengan-tanah-haram/

Bertarikh: 22 Jun 2023 bersamaan 3 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply