Soalan:     

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada soalan berkenaan latte art. Apakah hukum kita menulis latte art dengan perkataan ‘bismillah’ dan hukum bagi pelanggan minum coffee dengan latte art ‘bismillah’? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, basmalah atau ‘bismillah’ termasuk dalam ayat-ayat suci al-Quran. Ayat-ayat suci al-Quran hendaklah dihormati dan tidak dijadikan mahupun diletakkan pada tempat yang menjadikannya rendah atau hina. Bahkan sebahagian ulama meletakkan hukuman yang keras terhadap mereka yang mempermainkan dan menghina al-Quran. Al-Khatib al-Syirbini menyebutkan, di antara perbuatan yang boleh menyebabkan seseorang itu jatuh kufur ialah dia dengan sengaja menghina agama secara terang-terangan atau mengingkarinya seperti mencampakkan kotoran kepada mashaf (al-Quran) kerana perbuatan itu jelas menghina kalamullah, dan menghina atau merendah-rendahkan suatu ucapan (kalam) bermaksud dia telah menghina atau merendah-rendahkan Pengucapnya — yakni Allah SWT. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 5/431).

Begitu juga al-Qadhi ‘Iyadh menyatakan, ketahuilah bahawa sesiapa yang (dengan sengaja) merendah-rendahkan al-Quran atau sesuatu daripadanya, atau mencacinya, atau mengingkarinya tidak kira satu huruf atau satu ayat, atau mendustainya atau mendustai sebahagian daripadanya, atau dia mendustai suatu hukum atau berita yang jelas dinyatakan di dalamnya, atau mengisbatkan suatu yang dinafikannya, atau menafikan suatu yang diisbatkannya, dalam keadaan dia mengetahui perkara tersebut atau dia syak pada sesuatu daripada perkara tersebut, maka dia dikira jatuh kafir di sisi ulama secara ijma‘. (Lihat al-Syifa bi Ta‘rif Huquq al-Mustafa, 2/646)

Berbalik kepada soalan yang diajukan, menulis ayat-ayat al-Quran atau nama-nama Allah pada makanan, manisan atau seumpamanya, sebenarnya telah pun wujud sejak dahulu lagi. Sebahagian ulama menghukumkannya sebagai makruh. Hal ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh al-Syawarni yang menyebutkan, dimakruhkan menulis al-Quran di atas dinding dan atap sekalipun milik masjid, begitu juga menulis al-Quran di atas pakaian, makanan dan seumpamanya. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj wa Hawasyi al-Syarwani wa al-‘Abbadi, 1/156).

Manakala hukum memakan makanan yang mengandungi tulisan al-Quran pula, para ulama berpendapat dan menaskan bahawa ia adalah diharuskan. Imam al-Nawawi menyebutkan, al-Baghawi dan selainnya berpendapat, makruh menulis ayat al-Quran dan nama-nama Allah pada dinding dan pakaian. Kemudian, al-Qadhi Husain dan al-Baghawi serta selain mereka berpendapat, jika seseorang menulis ayat al-Quran pada manisan dan makanan, maka tidak mengapa untuk memakannya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/70).

Selain itu, Imam al-Nawawi juga sebelumnya ada menukilkan dua pendapat dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i berkenaan membawa makanan yang ditulis ayat al-Quran. Beliau menyatakan, pendapat yang paling sahih antara kedua-dua pendapat itu menurut kesepakatan ulama adalah ia dibolehkan. Begitu juga dua pendapat dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i berkenaan menyentuh dinding, manisan atau roti yang ditulis padanya ayat al-Quran, di mana beliau menyatakan, pendapat yang sahih, ia adalah diharuskan secara mutlak kerana ia bukanlah mashaf mahupun pada maknanya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/68).

Begitu juga dalam kitabnya yang lain, Imam al-Nawawi menyebutkan, apa-apa yang ditulis padanya ayat al-Quran bukan untuk tujuan dipelajari seperti dirham-dirham, pakaian-pakaian, serban-serban, makanan-makanan, dinding-dinding, kitab-kitab fiqh dan usul, maka tidak haram untuk menyentuhnya mahupun membawanya (tanpa wuduk) mengikut pendapat yang sahih. Begitu juga tidak haram (memegang dan membawa tanpa wuduk) kitab-kitab tafsir mengikut pendapat yang paling sahih. Begitu juga Imam al-Nawawi turut menyatakan, tidak haram memakan makanan dan merobohkan dinding yang ditulis ayat al-Quran. (Lihat Raudhah al-Talibin, 1/80).

Selain daripada itu, Zakaria al-Ansari juga ada menyatakan, tidak haram memakan makanan yang tertulis padanya ayat al-Quran dan tidak mengapa percampurannya dengan apa yang ada dalam perut berbeza halnya dengan menelan kertas yang tertulis padanya nama Allah kerana hukumnya adalah haram sebagaimana ditegaskan dalam al-Anwar. Namun, dalam al-Majmu‘ dinyatakan bahawa tidak makruh menulis sesuatu daripada al-Quran pada bekas untuk diminum airnya bagi tujuan perubatan sebagaimana yang pendapat yang dipegang oleh mazhab (Syafi‘i).

Kemudian, al-Ramli al-Kabir menjelaskan kenyataan Zakaria al-Ansari di atas yang menyatakan berkenaan larangan menelan kertas yang mengandungi nama Allah” kerana ia menjadi najis oleh apa yang ada di dalam perut berbeza dengan hal memakannya sekiranya ia dalam bentuk makanan kerana ia tidak sampai ke dalam perut melainkan gambaran tulisan nama Allah itu sudah pun hilang. (Lihat Asna al-Matalib fi Syarh Raudh al-Talib wa Ma‘ahu Hasyiah al-Ramli al-Kabir, 1/62).

Begitu juga menurut al-Khatib al-Syirbini, tidak makruh menulis sesuatu daripada al-Quran pada bekas untuk diminum airnya bagi tujuan perubatan berbeza pendapat yang dinyatakan oleh Ibn ‘Abd al-Salam dalam fatwanya yang menyatakan ia adalah haram. Demikianlah juga hukum memakan makanan (yang tertulis padanya ayat al-Quran) adalah seperti hukum meminum air (yang tertulis padanya ayat al-Quran), tidak makruh dalam hal tersebut. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/152).

Tambahan lagi, al-Syarwani juga ada menyatakan, tidak makruh meminum air yang digunakan untuk memadamkan apa yang ditulis padanya ayat-ayat al-Quran. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj wa Hawasyi al-Syarwani wa al-‘Abbadi, 1/156).

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat tidak mengapa tetapi makruh hukumnya menulis latte art dengan perkataan ‘bismillah’ dengan syarat ia bukan bertujuan untuk direndah-rendahkan mahupun dihinakan. Hal ini kerana kalimah Allah dan juga ayat-ayat al-Quran hendaklah ditinggikan dan diagungkan serta diletakkan pada tempatnya sesuai dengan kedudukannya dan bukannya pada makanan mahupun minuman. Manakala meminum coffee yang mengandungi tulisan latte art ‘bismillah’ pula adalah diharuskan dan tidak makruh.

Sekalipun begitu, kami mengambil kesempatan di sini menasihatkan, sebaik-baiknya elakkanlah menulis latte art dengan perkataan ‘bismillah’. Hal ini kerana keluar daripada perkara yang dihukumkan sebagai makruh adalah lebih baik berbanding jatuh di dalamnya. Lebih-lebih lagi, dikhuatiri perbuatan menulis perkataan ‘bismillah’ atau nama Allah pada latte art itu termasuk dalam perbuatan merendah-rendahkan keagungan kalimat itu sendiri.

Bagi mendapatkan penjelasan tambahan berkenaan ketinggian dan keagungan kalimat Allah bolehlah merujuk kepada buku terbaru kami yang bertajuk: “Dengan Nama Allah: Bismillah.”

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 22 Jun 2023 bersamaan 3 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply