#1893: Korban dengan Llama

-25%
Percuma Al-Quran
Out of stock
Original price was: RM440.00.Current price is: RM330.00.
Size Pocket

Buku Fizikal

Dengan Nama Allah

RM15.00

Buku Fizikal

Imam Mahdi

RM13.00

Buku Fizikal

Yajuj dan Majuj

RM13.00

Buku Fizikal

Hakikat Dajjal

RM13.00
-29%
Original price was: RM70.00.Current price is: RM50.00.

Soalan:     

Assalamualaikum w.b.t. Bolehkah seseorang itu melakukan ibadah korban dengan llama? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya: “Maka dirikanlah sembahyang kerana Tuhanmu dan berkorbanlah (sebagai bersyukur).”

(Surah al-Kauthar: 2)

Maksud ‘berkorbanlah’ di dalam ayat tersebut mengikut pendapat yang paling sahih ialah mengorbankan atau menyembelih binatang-binatang korban. Hal ini sepertimana yang disebut di dalam tafsir Imam Ibn Kathir: “Yang benar bahawa yang dimaksudkan dengan al-Nahr adalah menyembelih korban, iaitu menyembelih unta dan sejenisnya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/556).

Definisi llama

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, llama ialah sejenis binatang berbulu tebal daripada genus Lama yang berasal dari Amerika Selatan, rupanya seakan-akan unta tetapi tidak mempunyai bonggol, biasanya digunakan untuk mengangkut barangan.[1] Manakala menurut Britannica, llama (Lama glama) ialah spesies haiwan ternakan yang telah dijinakkan, berasal dari keturunan guanaco (Lama guanicoe) dan salah satu daripada ahli keluarga unta Amerika Selatan, Camelidae. Llama adalah haiwan yang berkumpulan, tetapi ia juga digunakan sebagai sumber makanan, bulu, kulit, lemak untuk lilin, dan tahi kering untuk bahan bakar. Kawanan llama biasanya ditemui di Bolivia, Peru, Colombia, Ecuador, Chile dan Argentina, dan bukan itu sahaja llama juga telah dieksport ke negara-negara lain.[2] Tambahan lagi, llama dan unta, kedua-duanya merupakan ahli dalam famili Camelidae. Terdapat tujuh ahli dalam famili Camelidae iaitu tiga jenis unta, llama, alpaka, vicuna dan guanaco. Pada asasnya, llama dan unta berkongsi nenek moyang yang sama dan mempunyai banyak persamaan.[3]

 

Gambar di atas: Llama

Secara umumnya, llama ialah anggota yang terbesar dalam famili unta di Amerika Selatan. Llama yang lebih kecil dikenali sebagai alpaka, adalah haiwan bela jinak yang berasal daripada keturunan guanaco. Vicuna adalah satu-satunya saudara kepada llama. lama tidak mempunyai bonggol dan tingginya kira-kira 1.2 meter pada paras bahu. Bulunya yang tebal dan panjang berwarna perang, kuning pucat, kelabu, putih atau hitam. Llama betina melahirkan seekor anak pada satu masa. Llama paling berguna sebagai haiwan pengangkut. llama biasanya boleh membawa muatan sehingga kira-kira 60 kilogram, dan bergerak tegap melalui denai di kawasan pergunungan. Ia boleh berjalan lebih daripada 30 kilometer sehari dengan muatan penuh. Sekiranya llama merasakan muatannya terlalu berat atau la berasa penat, ia akan baring dan tidak mahu bergerak. Apabila ia marah atau diserang, ia akan meludahi muka musuhnya dengan air liur yang berbau busuk.

Llama sangat berguna kepada Orang Asli Amerika di Banjaran Andes Amerika Selatan. Apabila penakluk Sepanyol datang ke kawasan ini pada tahun 1500-an, lebih kurang 300 000 llama sangat digunakan untuk mengangkut perak dari lombong. Orang Asli Amerika masih lagi menggunakan llama untuk mengangkut barang. Mereka memakan daging anak llama. Mereka menggunakan bulu llama untuk membuat pakaian dan kulitnya untuk membuat sandal. llama tidak mahal untuk dibela. la tahan lasak dan memakan rumput dan pokok renek yang tumbuh di gunung yang tinggi. Llama tidak perlu meminum banyak air. la boleh memperoleh lembapan daripada tumbuh-tumbuhan. (Lihat Ensiklopedia Dunia, terj. DBP, 12/334-335).

Sekalipun llama, pada asalnya ia berasal dari pergunungan Andes di Amerika Selatan, tetapi kini ia telah pupus di alam liar dan wujud hari ini hanya sebagai haiwan ternakan yang dipelihara. Mereka diperkenalkan sebagai haiwan peliharaan dan haiwan ternakan di Amerika Utara, Eropah, dan Australia. Habitat semula jadi mereka ialah dataran tinggi Andes, terutamanya Altiplano di barat Bolivia dan tenggara Peru, dataran tinggi yang dilitupi dengan tumbuh-tumbuhan rendah, termasuk pelbagai pokok, pohon renek dan rumput yang rendah. Di rantau Altiplano, bahagian utara adalah bergunung-ganang dan agak sesuai (sebagai habitat mereka), manakala bahagian selatan pula kurang sesuai kerana lebih kering dan seperti padang pasir.[4]

Berkenaan hukum memakannya, kami telah membahaskannya dalam artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #813: Memakan Llama.[5]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, pada asasnya, aturan dalam pelaksanaan ibadah korban telah pun ditetapkan oleh syariat dengan jelas. Bagi pelaksanaan ibadah korban, telah diletakkan syarat haiwan-haiwan tertentu dalam melaksanakan ibadah ini iaitu unta, lembu (termasuk kerbau) dan kambing (termasuk biri-biri dan kibasy) serta jenis-jenisnya. Selain daripada tiga jenis haiwan tersebut, tidak pernah dinukilkan pula daripada Nabi SAW dalam melakukan ibadah korban.

Para ulama telah bersepakat menyatakan bahawa binatang-binatang yang boleh dibuat korban ialah binatang-binatang yang termasuk dalam kategori bahimah al-an‘am (haiwan ternakan) yang diwajibkan zakat iaitu unta, lembu (termasuk kerbau) dan kambing (termasuk biri-biri dan kibasy).

Allah SWT berfirman:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنسَكًا لِّيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّـهِ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّن بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ

Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan (korban), supaya mereka menyebut nama Allah terhadap bahimatul an‘am (binatang ternakan) yang telah direzekikan Allah kepada mereka.”

(Surah al-Hajj: 34)

Imam al-Baghawi berkata: Lafaz “بَهِيمَة” (haiwan) diikat dengan lafaz “النَّعَم” (ternakan) kerana ada daripada haiwan yang bukan daripada jenis haiwan ternakan seperti kuda, baghal dan keldai. Oleh itu, tidak boleh menyembelihnya sebagai korban. (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 5/385).

Imam al-Syaukani pula menyebutkan, ini mengisyaratkan bahawa haiwan korban hanya berupa binatang ternakan, tidak yang lain. (Lihat Fath al-Qadir, 3/535). Binatang ternakan (بَهِيمَة الْأَنْعَام) bermaksud unta, lembu dan kambing (termasuk segala jenis-jenisnya). Ini telah diketahui dan masyhur dalam kalangan orang-orang Arab. Selain itu, ini juga merupakan pendapat al-Hasan, Qatadah dan lain-lain. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/9).

Tambahan pula, hal ini telah dinukilkan wujudnya ijma‘ (kesepakatan) dalam perkara ini oleh Imam al-Nawawi, Ibn  ‘Abd al-Bar, Ibn Hazm dan selainnya. Imam al-Nawawi menyebutkan, syarat sah dalam korban ialah haiwan korban hendaklah berasal daripada haiwan ternakan iaitu unta, lembu dan kambing. Termasuk juga pelbagai jenis unta, semua jenis lembu dan semua jenis kambing iaitu kibas, ma‘iz (kambing jantan) dan sejenisnya. Manakala selain haiwan ternakan seperti rusa dan keldai adalah tidak sah sebagai haiwan korban, sama ada daripada yang jantan mahupun yang betina – tanpa ada perselisihan ulama. Tidak ada khilaf sama sekali mengenai hal ini menurut kami. Selain itu, hasil daripada percampuran (perkahwinan) antara rusa dan kambing juga tidaklah sah sebagai haiwan korban kerana ia tidak termasuk dalam kategori haiwan ternakan. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/365).

 

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan di atas, jelaslah bahawa disyaratkan haiwan korban itu berupa ‘haiwan ternakan’, dan haiwan ternakan yang dimaksudkan ialah kambing, lembu dan unta serta termasuklah jenis-jenisnya sahaja. Justeru, kami berpendapat bahawa boleh berkorban dengan llama kerana ia termasuk daripada jenis unta dan tergolong dalam keluarga unta iaitu Camelidae.

Apatah lagi llama juga telah menjadi haiwan ternakan di sebahagian negara dan diambil manfaatnya untuk dijadikan sebagai sumber makanan, bulu, kulit, lemak untuk lilin, dan tahi kering untuk bahan bakar. Jika dahulunya llama hanya ditemui atau berasal dari pergunungan Andes di Amerika Selatan, namun kini kawanan llama boleh ditemui di Bolivia, Peru, Colombia, Ecuador, Chile dan Argentina, dan bukan itu sahaja llama juga telah dieksport ke negara-negara lain.

Semoga Allah SWT memberikan kepada kita kekuatan untuk beribadah kepada-Nya di samping kefahaman yang jelas dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=llama. Diakses pada 30 Mac 2022.

[2] Lihat https://www.britannica.com/animal/llama. Diakses pada 12 Jun 2023.

[3] Lihat https://a-z-animals.com/blog/llama-vs-camel/. Diakses pada 12 Jun 2023.

[4] Lihat https://animalia.bio/llama#. Diakses pada 12 Jun 2023.

[5] Lihat https://maktabahalbakri.com/813-memakan-llama/. Diakses pada 12 Jun 2023.

Bertarikh: 22 Jun 2023 bersamaan 3 Zulhijjah 1444 H

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *