Soalan:     

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu persoalan. Sahkah solat seseorang lelaki yang didirikan dengan memakai seluar tiga suku? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ

Maksudnya:Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.”

(Surah al-Muddatthir: 4)

Al-Syaukani menyatakan bahawa ayat di atas bermaksud Allah SWT memerintahkannya untuk membersihkan pakaiannya dan memelihara pakaian tersebut daripada najis. Manakala Qatadah pula menyatakan bahawa maknanya adalah bersihkanlah dirimu daripada dosa-dosa. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, oleh Sulaiman al-Asyqar, hlm. 776).

Al-Sa‘di dalam tafsirnya menyebutkan bahawa berkemungkinan lafaz ‘pakaian’ dalam ayat ini bermaksud  seluruh perbuatan Rasulullah SAW dan makna ‘membersihkannya’ pula adalah dengan tulus dan ikhlas serta melaksanakannya dengan sebaik-baik pelaksanaan  dan memurnikannya daripada sebarang perkara yang membatalkan, merosakan dan mengurangkan pahalanya seperti syirik, riyak, nifak, ujub, takbur, lalai dan sebagainya yang diperintahkan kepada hamba-Nya untuk ditinggalkan ketika peribadatan kepada-Nya. Termasuk juga dalam perkara itu, perintah untuk membersihkan pakaian daripada najis. Hal ini kerana perkara tersebut merupakan sebahagian daripada kesempurnaan penyucian amalan khususnya di dalam solat, sebagaimana dinyatakan oleh para ulama bahawa menghilangkan najis daripadanya termasuk dalam syarat sah solat.  

Selain itu, berkemungkinan juga lafaz ‘pakaian’ itu adalah dengan makna pakaian sebagaimana yang kita ketahui. Dalam erti kata lain, Rasulullah SAW diperintahkan untuk membersihkan pakaiannya daripada segala jenis najis pada setiap waktu khususnya ketika masuknya waktu solat. Sekiranya Baginda diperintahkan dengan penyucian secara zahir, maka sesungguhnya penyucian secara zahir itu merupakan sebahagian daripada kesempurnaan penyucian secara batin. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/895). 

Syarat sah solat

Di antara syarat sah solat ialah bersih daripada najis pada badan, pakaian dan tempat solat. Difahami bahawa najis itu perlu dibersihkan daripada pakaian melalui perintah Rasulullah SAW kepada Khaulah binti Yasar. Khaulah bertanya kepada Baginda SAW:

يَا رَسُولَ اللهِ إِنَّهُ لَيْسَ لِي إِلاَّ ثَوْبٌ وَاحِدٌ وَأَنَا أَحِيضُ فِيهِ فَكَيْفَ أَصْنَعُ ؟ قَالَ : إِذَا طَهُرْتِ فَاغْسِلِيهِ، ثُمَّ صَلِّي فِيهِ

Maksudnya:Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku tiada pakaian lain melainkan sehelai ini sahaja, dan sekarang aku sedang haid mengenakan pakaian tersebut. Apakah yang perlu aku buat?” Baginda SAW menjawab: “Apabila engkau telah suci daripada haid engkau, maka basuhlah pakaian itu (yang terkena haid), kemudian solatlah dengan menggunakan pakaian itu.

Riwayat Abu Daud (365)

Hadith di atas menunjukkan bahawa Nabi SAW memerintahkan agar pakaian yang dipakai untuk solat perlu dibersihkan terlebih dahulu daripada segala jenis najis.

Begitu juga di antara syarat sah solat ialah menutup aurat dengan sempurna. Batasan aurat lelaki ketika solat ialah bahagian badan antara pusat hingga lutut. Oleh itu wajib menutupnya dan tidak boleh kelihatan sedikitpun anggota tersebut ketika bersolat. Manakala batasan aurat perempuan ketika solat pula ialah seluruh badan selain muka dan dua tapak tangan. Oleh itu wajib menutupnya dan tidak boleh kelihatan sedikitpun ketika bersolat selain anggota yang dikecualikan tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/124).

Imam al-Nawawi juga ada menyatakan, para ashab kami (ulama mazhab Syafi‘i) berpendapat bahawa wajib menutup kawasan aurat daripada pandangan orang lain dengan pakaian yang tidak tembus pandang kerana pakaian nipis sehingga orang yang lalu di belakangnya boleh mengetahui warna putih atau hitam kulitnya tidaklah dianggap menutup aurat. Begitu juga tidak cukup (yakni tidak dikira menutup aurat) pakaian tebal yang bercompang-camping yang dapat dilihat sebahagian aurat melalui celah-celah yang terkoyak itu. Jikalau warna kulit dan bentuk tubuh badan seperti lutut dan punggung dan seumpamanya sudah tertutup, maka sah solat seseorang itu disebabkan sudah menepati syarat asas menutup aurat. Namun, al-Darimi dan pengarang al-Bayan menukilkan pendapat lain (dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i) yang menyatakan bahawa tidak sah solat jika menampakkan bentuk tubuh badan. Akan tetapi pendapat ini jelas tersilap. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/170).

Selain itu juga, Imam al-Nawawi menjelaskan lagi bahawa menutup aurat ialah syarat sah solat. Jika mana-mana bahagian aurat seseorang yang mendirikan solat terdedah, maka tidak sah solatnya. Tidak kiralah yang terdedah itu sedikit atau banyak, sama ada lelaki atau perempuan, sama ada solat secara berjemaah atau bersendirian, sama ada solat fardhu, solat sunat, solat jenazah, tawaf, sujud tilawah atau sujud syukur. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/172).

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa solat seseorang lelaki yang didirikan dengan memakai seluar tiga suku adalah sah kerana kebiasaannya seluar tiga suku melepasi lutut dan berada di tengah-tengah betis. Justeru, ia telah memenuhi syarat menutup aurat bagi batasan aurat lelaki ketika solat iaitu menutup bahagian badan antara pusat hingga lutut.

Walau bagaimanapun, memakai seluar yang lebih panjang dan elok serta sesuai adalah lebih baik dan afdhal. Ini kerana ketika solat kita sebenarnya sedang menghadap dan bermunajat kepada Tuhan yang menciptakan kita iaitu Allah SWT. Alangkah baiknya jika kita dapat memakai pakaian yang lebih elok dan sesuai sebagaimana halnya kita ketika hendak bertemu dengan orang besar dan dihormati kedudukannya. Maka, memakai pakaian yang sesuai dan elok ketika bermunajat kepada Allah SWT dalam solat adalah lebih-lebih lagi utama. Hayatilah firman Allah SWT:

يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ

Maksudnya:Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang).

(Surah al-A‘raf: 31)

Dalam Audhah al-Tafasir (hlm. 182) disebutkan bahawa makna ayat di atas adalah pakailah pakaian-pakaian kamu yang terbaik dan paling bersih. Selain itu, terdapat pendapat yang menyatakan, mereka dahulunya melakukan tawaf di Baitullah dalam keadaan telanjang. Oleh sebab itu, turunlah ayat ini.

Selain daripada itu, al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat ini, menjelaskannya dengan lebih terperinci bahawa maksudnya adalah tutuplah aurat-aurat kamu ketika mendirikan semua solat, tidak kira solat fardhu mahupun solat sunat. Hal ini kerana menutup aurat itu merupakan perhiasan bagi badan, sebagaimana mendedahkannya pula meninggalkan badan dalam keadaan buruk dan hodoh. Selain itu, boleh jadi yang dimaksudkan dengan ‘perhiasan’ dalam ayat ini juga merujuk kepada apa yang atas daripada perkara tersebut yang terdiri daripada pakaian-pakaian yang bersih dan baik.

Justeru, dalam ayat di atas merangkumi perintah untuk menutup aurat ketika mendirikan solat, dan penggunaan perhiasan dan alat-alat kecantikan ketika mendirikannya — seperti memakai pakaian yang cantik dan baik serta berwangi-wangian. Begitu juga kebersihan pakaian yang digunakan untuk menutup aurat daripada segala kotoran dan najis. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/287). 

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 22 Jun 2023 bersamaan 3 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply