Soalan
Adakah dibenarkan mencari barang hilang di masjid?
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Masjid merupakan institusi yang penting dalam membangunkan masyarakat. Peranan masjid termasuklah sebagai agen untuk menyatukan masyarakat dan membantu menyelesaikan urusan mereka. Masjid yang benar-benar berfungsi akan memberikan banyak faedah dan manfaat kepada masyarakat di sekitarnya seperti dalam aspek pembentukan kerohanian, keilmuan dan juga sebagai pusat rujukan dan khidmat kepada masyarakat. Bahkan fungsinya boleh dikembangkan sehingga kepada pengislahan ekonomi dan sosial.
Masjid (مَسْجِد) pada bahasa Arab ialah nama bagi tempat bersujud. Dari sudut syara’nya boleh ditakrifkan kepada dua: Tempat permukaan bumi, ini berdasarkan sabda Nabi SAW:
وَجُعِلَتْ لِيَ الأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا
Maksudnya: “Dijadikan bagiku bumi ini sebagai masjid (tempat bersujud)”
Riwayat al-Bukhari (438)
Manakala dari sudut istilah atau ‘urf masjid itu ialah tempat yang disediakan bagi mengerjakan sembahyang untuk selama-lamanya. (Lihat Mu‘jam Lughat al-Fuqaha, hlm. 428 dan Ahkam al-Sajid, hlm. 26-27).
Larangan mewar-warkan carian barang hilang di dalam masjid sememangnya terdapat nas dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:
مَنْ سَمِعَ رَجُلًا يَنْشُدُ ضَالَّةً فِي الْمَسْجِدِ فَلْيَقُلْ لَا رَدَّهَا اللهُ عَلَيْكَ فَإِنَّ الْمَسَاجِدَ لَمْ تُبْنَ لِهَذَا
Maksudnya: “Barangsiapa yang mendengar seorang lelaki meminta-minta barangnya yang hilang di masjid, maka katakanlah kepadanya,”Semoga Allah tidak memulangkan barang itu kepada-Mu.” Ini kerana sesungguhnya masjid-masjid itu tidak dibina atas tujuan ini.”
Riwayat Muslim (568), Ibn Majah (1321), al-Tirmizi (767), al-Tabarani (480) dan al-Hakim (2339).
Ibn Abd al-Barr menyatakan: Allah telah menyebut bahawa masjid dibina untuk mengangkat dan menyebut Nama-Nya, dan bertasbih dengan-Nya pada setiap pagi dan petang. Ini adalah sebab masjid dibina. Maka kita haruslah menyucikan masjid daripada perkara yang bukan dalam tujuan ianya dibina. (Lihat al-Istizkar, 2/368).
Syeikh Muhammad al-Zuhaili, saudara kepada Syeikh Wahbah al-Zuhaili, menulis dalam kitab Mausu’ah Qadhaya Islamiyyah Mu’asarah (1/217-219) beberapa fungsi masjid. Masjid sebagai rumah Allah bukanlah dibina semata-mata untuk ibadat dan solat tetapi merangkumi pelbagai risalah masjid, antaranya:
- Masjid berperanan sebagai tempat pembinaan ruhiyyah.
- Masjid berperanan sebagai tempat memarakkan sosial masyarakat.
- Masjid sebagai tempat pengajaran dan latihan.
- Masjid sebagai tempat meleraikan kusut kehidupan seperti qadha’ dan lain-lain.
- Masjid sebagai tempat mengatur sistem politik seperti syura, bai’ah dan membuat resolusi serta keputusan yang besar.
Berdasarkan soalan di atas, kami nyatakan bahawa mencari barang hilang bukanlah tempatnya di masjid. Manakala, bagi orang menjumpai barang hilang, dia juga tidak perlu mengangkat suara untuk mewar-warkan barang yang hilang di masjid. Kami cadangkan cukup agar diwar-warkan dengan cara tulisan dipaparkan di papan kenyataan. Sebutkan jenis barang yang hilang dan jika ada orang yang menuntut, minta si pencari itu nyatakan sifat barang yang sebelum diserahkan.
Wallahua`lam.
Bertarikh 5 Januari 2022 bersamaan 2 Jamadil Akhir 1443 H