Soalan:     

Assalamualaikum w.b.t. Saya nak bertanya berkenaan nama anak. Bolehkah saya namakan anak lelaki saya Faqih?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Antara keunikan bagi manusia adalah mereka diberi nama. Hal ini tidak sepertimana makhluk yang lain, yang hanya diberi nama umum seperti pokok, haiwan, kambing, lembu dan lain-lain.

Nama yang dipilih pula hendaklah nama yang diredhai dan disukai oleh Allah. Itulah yang sepatutnya. Sabda Rasulullah SAW:

تَسَمَّوْا بأسماءِ الأنبياءِ، وأَحَبُّ الأسماءِ إلى اللهِ تعالى عبدُ اللهِ وعبدُ الرحمنِ، وأَصْدَقُها حارثٌ وهَمّامٌ، وأَقْبَحُها حَرْبٌ ومُرَّةٌ.

Maksudnya: “Namakan anak-anakmu dengan nama para Nabi dan nama yang paling disukai Allah ialah Abdullah dan Abdul Rahman. Dan nama yang paling benar ialah Haris dan Hammam. Dan nama yang paling buruk Harb dan Murrah.”

Riwayat Abu Daud (4950) dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (814)

Di dalam sebuah hadith daripada Samurah bin Jundub RA, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

لا تُسَمِّينَّ غُلامَكَ يَسارًا ولا رَباحًا ولا نَجيحًا، ولا أفلَحَ؛ فإنَّك تقولُ: أثَمَّ هو؟ فيقول: لا، إنَّما هنَّ أربَعٌ؛ فلا تَزيدُنَّ عَلَيَّ

Maksudnya: “Jangan kamu menamakan anak-anakmu dengan nama Yasar, Rabah, Najih, Aflah. Kerana sesungguhnya apabila kamu berkata, adakah dia di sana? Maka jika tiada, kamu akan jawab: ‘Tiada.’ Sesungguhnya mereka adalah nama yang empat, maka jangan kamu tambah ke atasku.”

Riwayat Muslim (2137) Abu Daud (4958) al-Tirmizi (2836) dan Ahmad  (20078)

Dr Aidh al-Qarni berkata: Makna hadis ini adalah apabila kamu menamakan dengan nama-nama ini, sebagai contoh, kamu kata, adakah di rumah terdapat Yasar (memberi maksud mudah), lantas dijawab: ‘Tiada.’ Maka di situ, boleh membawa kepada maksud berlaku kesusahan atau kesukaran. Atau kamu tanya, adakah Rabah (memberi maksud keuntungan) ada di rumah? Lalu dijawab: ‘Tiada,’ maka bertukarlah tempat rabah (keuntungan) kepada kerugian. Begitulah juga yang seumpamanya. (Lihat Mulhim al-‘Alam, hlm. 166-167)

Ini menggambarkan betapa Rasulullah SAW mengambil sikap tafa’ul iaitu berharap ke arah kebaikan dan menutup segala pintu yang membawa kepada kejatuhan, kehinaan, dan ketidakbaikan. Itulah sebab kenapa nama-nama tersebut tidak digalakkan walaupun kita dapati sebahagian ulama’ atau sesetengah orang menamakan anak-anak mereka dengan nama di atas.

Saya katakan nama Faqih juga seakan-akan nama seperti hadith di atas yang tidak digalakkan. Ini kerana, makna Faqih seseorang yang benar-benar faqih dan alim dalam bahagian agama. Sedangkan doa nabi kepada Ibnu Abbas:

اللهُمَّ فَقِّهْهُ فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada Ibn Abbas kefahaman di dalam agama serta ajarkanlah kepadanya takwilan-takwilan.”

Riwayat al-Bukhari (143) dan Muslim (2645)

Merupakan doa dan harapan agar Ibnu Abbas menjadi seorang yang faqih dan berkat doa Rasulullah SAW, akhirnya, Ibnu Abbas benar-benar faqih. Jadinya, ia merupakan sifat yang dimiliki oleh Ibnu Abbas dengan kefaqihan. Justeru, saya lebih cenderung agar kita tidak menamakan anak kita dengan faqih tetapi berdoa kepada Allah SWT agar anak kita menjadi faqih.

Tanapa dinafikan ada sesetengah ulama atau seseorang digelar dengan nama Faqih. Seperti Ba Faqih iaitu nama sebenarnya Husain Muhammad Alawi Ba Faqih yang lahir pada tahun 1964 di Jeddah. Ini biasanya digelar kepada ulama-ulama Yaman. 

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Bertarikh: 22 Jun 2023 bersamaan 3 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply