Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada persoalan, adakah sah bernazar untuk tidak melakukan maksiat?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Nazar menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat membawa erti berjanji janji untuk berbuat sesuatu apabila tercapai hajat.
Manakala dari sudut istilah, nazar ditakrifkan sebagai mewajibkan ke atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (ibadah yang mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak diwajibkan oleh syara‘ (ke atas dirinya), sama ada secara mutlak atau pun dengan mengaitkannya dengan suatu perkara. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/501)
Hukum menunaikan nazar adalah wajib, ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ
Maksudnya: “Dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazar mereka.”
(Surah Al-Hajj: 29)
Nazar Meninggalkan Maksiat
Para ulama’ berbeza pendapat berkenaan nazar untuk meninggalkan maksiat, kami membahagikannya kepada dua:
Pandangan Pertama:
Nazar itu tidak sah, kerana meninggalkan maksiat itu sememangnya wajib untuk ditinggalkan oleh semua orang. Diriwayatkan daripada ‘Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ
Maksudnya: “Sesiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia mentaatinya. Dan sesiapa yang bernazar untuk bermaksiat kepadanya maka janganlah dia bermaksiat kepadanya.”
Riwayat Al-Bukhari (6696)
Terdapat banyak dalil yang menyuruh untuk meninggalkan apa-apa perkara yang diharamkan, seperti dalam firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.”
(Surah Ali ‘Imran: 102)
Imam al-Tabari mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan (اتَّقُوا اللَّهَ) adalah bertakwa kepada Allah SWT dengan mentaatinya dan menjauhi larangannya. (Lihat Jami‘ al-Bayan ‘an Ta’wil Ayi al-Quran, 5/636)
Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat (اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ) berkata bahawa sebahagian Salaf mengatakan: “(Bertaqwa itu) dengan mentaati perintahnya dan tidak melakukan larangannya, mengingati-Nya dan tidak melupakan-Nya, serta mensyukuri (nikmat-Nya) dan tidak kufur (nikmat).” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/336)
Dan juga firman Allah SWT:
قُلْ إِنَّمَا حَرَّمَ رَبِّيَ الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ
Maksudnya: “Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi.”
(Surah al-A‘raf: 33)
Imam Ibn Kathir menaqalkan di dalam tafsirnya (3/367) sebuah riwayat Imam Ahmad daripada Abdullah Ibn Mas‘ud R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا أَحَدَ أَغْيَرُ مِنَ اللَّهِ، فَلِذَلِكَ حَرَّم الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطنَ
Maksudnya: “Tidak ada yang lebih cemburu dari Allah, maka kerana itu Allah mengharamkan perbuatan-perbuatan keji yang zahir dan yang tersembunyi.”
Riwayat al-Bukhari (4634) dan Muslim (2760)
Pandangan Kedua:
Nazar itu sah, dan diwajibkan bagi mereka yang melanggar nazar tersebut untuk membayar kaffarah seperti mana kaffarah sumpah. Pelaku tersebut dituntut untuk beristighfar, bertaubat, dan menyesali perbuatannya serta berusaha meninggalkan maksiat yang dilakukannya.
Telah diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma secara mauquf:
مَنْ نَذَرَ نَذْرًا لَمْ يُسَمِّهِ فَكَفَّارَتُهُ كَفَّارَةُ يَمِينٍ، وَمَنْ نَذَرَ نَذْرًا لاَ يُطِيقُهُ فَكَفَّارَتُهُ كَفَّارَةُ يَمِينٍ، وَمَنْ نَذَرَ نَذْرًا أَطَاقَهُ فَلْيَفِ بِهِ
Maksudnya: “Sesiapa yang bernazar suatu nazar yang tidak dinyatakan (jenisnya), maka kaffarahnya ialah kaffarah sumpah. Sesiapa yang bernazar melakukan maksiat, maka kaffarahnya adalah kafarrah sumpah. Sesiapa yang bernazar dengan suatu nazar yang tidak mampu dilaksanakannya maka kaffarahnya ialah kaffarah sumpah, sesiapa yang bernazar dengan nazar yang mampu dilaksanakannya, maka hendaklah dia melaksanakan nazar tersebut.”
Riwayat Abu Dawud (3322) dan Ibn Majah (2128)
Diwajibkan kaffarah tersebut berdasarkan firman Allah SWT:
فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ ۖ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ۚ ذَٰلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ ۚ وَاحْفَظُوا أَيْمَانَكُمْ ۚ
Maksudnya: “Maka kaffarahnya adalah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah – peliharalah sumpah kamu.”
(Surah al-Ma’idah: 89)
Kesimpulan
Melihat kepada perbincangan di atas, kami cenderung mengatakan bahawa nazar untuk meninggalkan maksiat tidak sah hukumnya. Hal ini kerana ia seakan mewajibkan perkara yang sudah sedia wajib pada kita. Ini yang disebutkan oleh ulama’ sebagai tahsil al-hasil (تَحْصِيلُ الْحَاصِلِ).
Akhir kalam, kami menasihatkan supaya tidak sewenang-wenangnya bernazar dengan sesuatu perkara. Hal ini kerana Rasulullah SAW pernah bersabda:
لَا تُنْذِرُوا، فَإِنَّ النَّذْرَ لَا يُغْنِي مِنْ الْقَدَرِ شَيْئًا، وَإِنَّمَا يُسْتَخْرَجُ بِهِ مِنْ الْبَخِيلِ
Maksudnya: “Janganlah kamu untuk bernazar (dengan sesuka hati), kerana sesungguhnya nazar tidak akan mengubah daripada takdir yang telah ditentukan Allah SWT sedikitpun. Hanyasanya ia dikeluarkan daripada orang yang bakhil.”
Riwayat Muslim (1640)
Wallahu a‘lam
Bertarikh: 23 Jun 2023 bersamaan 4 Zulhijjah 1444 H