Soalan:     

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum makan tikus buluh atau dikenali juga sebagai bamboo rat kerana tikus ini adalah herbivor yang hanya makan tebu, ubi kayu dan buluh? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “Dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

(Surah al-A‘raf: 157)

Ayat ini menunjukkan bahawa dihalalkan segala benda-benda yang berasa elok pada jiwa dan enak pada tabiat manusia, melainkan terdapat dalil lain yang menyatakan bahawa ia adalah haram. Begitu juga diharamkan segala apa yang jijik pada jiwa seperti bangkai dan darah, serta orang yang memakannya dianggap fasik.  Dalam kata lain, semua benda yang dianggap kotor pada tabiat manusia dan dirasakan jijik pada jiwa adalah diharamkan kerana ia menjadi sebab kepada sakit. Lalu apa sahaja yang memudaratkan hukum asalnya adalah haram. Justeru setiap yang jijik pada tabiat manusia pada asalnya adalah haram, melainkan terdapat dalil yang menyatakan hukum sebaliknya. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 15/381).

Definisi Tikus Buluh (Bamboo Rat)

Secara umumnya, tikus mempunyai spesies-spesies dan jenis-jenis yang banyak. Telah disebutkan pada sebahagian penelitian bahawa tikus mempunyai 86 jenis dan terdiri daripada 720 spesies. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan di dalam kitab al-Qawaridh fi al-Wathni al-‘Arabi karya ‘Adil Muhammad Ali, (hlm. 75).

Gambar di atas: Lesser bamboo rat

Tikus buluh (bamboo rat), mana-mana daripada empat spesies tikus Asia yang menggali lubang, bergerak perlahan, dan haiwan rodensia nokturnal (aktif pada waktu malam). Tikus buluh mempunyai badan yang kuat, berbentuk silinder, telinga dan mata yang kecil, dan kaki yang pendek dan gempal. Tiga spesies Rhizomys ini berukuran 23 hingga 50 cm (9.1 hingga 19.7 inci) panjang dengan ekor pendek dan botak atau mempunyai bulu yang jarang (5 hingga 20 cm). Bulu di bahagian atasnya lembut dan padat atau kasar dan sedikit, berwarna kelabu sabak hingga kelabu coklat dengan bulu di bahagian bawah yang lebih pucat.

Tikus buluh yang lebih kecil (genus Cannomys) lebih kecil — berukuran 15 hingga 27 cm panjang, tidak termasuk ekor yang berukuran 6 hingga 8 cm. Bulunya yang panjang dan padat terdiri daripada warna coklat berangan hingga kelabu pucat terang.

Genus Rhizomys ditemui di bukit dan gunung yang dilitupi dengan pokok buluh dari Indochina ke Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera, di mana tikus-tikus ini mampu melahirkan tiga hingga lima anak. Sebaliknya, untuk tikus buluh yang lebih kecil, ia mendiami tanah tinggi dari tenggara Nepal melalui selatan China dan Myanmar (Burma) ke barat laut Vietnam dan Thailand; anak-anaknya adalah hanya satu atau dua. Semua tikus buluh adalah sumber makanan untuk penduduk asli negara-negara ini.

Tikus buluh menggali dengan gigi kacipnya, menggunakan kepala dan kuku untuk mengalihkan tanah yang longgar. Spesies Rhizomys membina sistem liang lubang bawah tanah yang luas di antara akar dirian buluh tebal, di mana makanan utama mereka adalah akar buluh. Pada waktu malam mereka mencari makanan di atas tanah seperti buah-buahan, biji, dan ranting nipis atau bahagian tumbuhan yang digunakan untuk membuat sarang, malah memanjat pohon buluh dan memotong bahagian pohon-pohon buluh ini yang mereka bawa ke lubang mereka dan makan kemudian. Mereka juga telah dilaporkan pernah masuk ke kawasan ladang untuk memakan akar tebu dan ubi kayu. Tikus buluh yang lebih kecil menggali terowong dalam di tanah berbatu padang rumput gunung, hutan, dan juga taman; dietnya terdiri daripada pelbagai jenis bahan tumbuhan. Ia juga ditemui di ladang teh, tetapi sejauh mana kerosakan yang ditimbulkannya tidak diketahui.

Tambahan kepada spesies tunggal tikus buluh kecil (C. badius), tiga tikus buluh Rhizomys ialah tikus buluh Cina (R. sinensis), tikus buluh kelabu putih (R. pruinosus), dan tikus buluh besar (R. sumatrensis). Semua tikus buluh tergolong dalam subfamili Rhyzomyinae, yang termasuk saudara terdekat mereka yang masih hidup, tikus mol Afrika (genus Tachyoryctes). Subfamili Rhyzomyinae dikelaskan dalam keluarga Muridae (tikus dan tikus) dari order Rodentia. Keturunan spesies Rhizomys hari ini boleh dikesan kepada genera yang telah pupus yang diwakili oleh fosil yang ditemui di Pakistan, India, dan China yang bertarikh 10,000,000 hingga 500,000 tahun dahulu (Miosen akhir hingga Zaman Pleistosen).[1]

Gambar di atas: Tikus Buluh

Hukum Makan Tikus Buluh (Bamboo Rat)

Pada asasnya, tikus buluh termasuk dalam jenis haiwan hasyarat al-ardh (حَشَرَاتِ الْأَرْضِ) sepertimana kala jengking, kumbang, lipas, ular, cicak dan seumpamanya. Dalam bahasa mudahnya, hasyarat ialah haiwan kecil yang melata di bumi dan haiwan kecil perosak. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 17/278).

Oleh kerana tikus buluh (bamboo rat) berkait rapat dan dikelaskan dalam keluarga Muridae (rat dan mice) dari order Rodentia, maka hukum memakannya adalah kembali kepada asal perbincangan kehalalan tikus itu sendiri.

Ulama mazhab Hanafi, Syafi‘i dan Hanbali berpendapat, tidak halal untuk memakan tikus. Al-Mahalli dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i menyatakan, pengharamannya adalah disebabkan oleh terdapatnya larangan untuk memakannya dan perintah untuk membunuhnya. Manakala di sisi ulama mazhab Maliki pula terdapat dua pendapat. Pendapat pertama menyatakan ia adalah haram untuk dimakan seperti mana mazhab jumhur ulama. Pendapat kedua menyatakan, hukum memakannya adalah makruh. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyyah al-Kuwaitiyyah, 6/32).

Selain daripada itu, ulama mazhab Maliki juga ada menyatakan berkenaan tikus bahawa sekiranya diketahui ia telah sampai ke najis, maka hukum memakannya adalah makruh, dan sekiranya tidak diketahui ia telah sampai ke najis, maka hukum memakannya adalah diharuskan. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyyah al-Kuwaitiyyah, 5/144).

Al-Syeikh al-Dardir dalam al-Syarh al-Kabir menyatakan, dihukumkan sebagai makruh untuk memakan tikus dan ia adalah pendapat yang masyhur dalam mazhab Maliki. Namun, al-Dusuki dalam hasyiahnya bagi kitab ini menyebutkan, pendapat itu perlu diperhalusi lagi. Hal ini kerana dinyatakan dalam kitab al-Taharah daripada al-Taudhih bahawa mengenai tikus dan kelawar terdapat tiga pendapat. Pendapat yang menyatakan keharamannya adalah pendapat yang masyhur, dan dia menukilkannya. Begitu juga disebutkan daripada Ibn Rusyd bahawa dia menghafal pendapat yang menyatakan keharamannya. (Lihat Hasyiah al-Dusuki ‘ala al-Syarh al-Kabir, 2/115).

Tidak syak lagi bahawasanya tikus termasuk dalam haiwan fawasiq yang diperintahkan untuk dibunuh. Nabi SAW bersabda:

خَمْسٌ فَوَاسِقُ، يُقْتَلْنَ فِي الحَرَمِ: الفَأْرَةُ، وَالعَقْرَبُ، وَالحُدَيَّا، وَالغُرَابُ، وَالكَلْبُ العَقُورُ

Maksudnya: “Lima binatang fawasiq (yang mendatangkan kerosakan) boleh dibunuh di Tanah Haram: Tikus, kala jengking, helang, gagak, dan anjing yang ganas.”

Riwayat al-Bukhari (3314; 1826) dan Muslim (1198)

Imam al-Nawawi menyebutkan dalam al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab (9/22) bahawa para ashab kami (ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i) menyebutkan, apa-apa haiwan yang diperintahkan untuk dibunuh, maka ia adalah haram untuk dimakan kerana Nabi SAW memerintahkan untuk membunuh lima binatang fawasiq (yang mendatangkan kerosakan)[2] dalam Tanah Haram dan ketika dalam keadaan berihram. Sekiranya ia adalah halal untuk dimakan, sudah tentu Baginda SAW tidak memerintahkan untuk membunuhnya. Apatah lagi terdapat firman Allah SWT:

لَا تَقْتُلُوا الصَّيْدَ وَأَنتُمْ حُرُمٌ

Maksudnya:Janganlah kamu membunuh binatang-binatang buruan ketika kamu sedang berihram.”

(Surah al-Ma’idah: 95)

Apatah lagi, tikus adalah haiwan yang dianggap jijik dan kotor. Firman Allah SWT:

وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “Dan dia mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

(Surah al-A‘raf: 157)

Menurut al-Maraghi perkataan “الْخَبَائِثَ” bermaksud diharamkan buat mereka daripada memakan makanan yang hati sesiapa pun akan berasa jijik untuk memakannya seperti bangkai dan darah yang mengalir. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/82-83). Imam al-Syafi‘i dan para ashabnya pula menyatakan, makna ayat ini ialah apa-apa yang dianggap jijik dan kotor oleh orang Arab. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/16).

Malah Fakhruddin al-Razi ada menyebutkan bahawa semua benda yang dianggap kotor pada tabiat manusia dan dirasakan jijik pada jiwa adalah diharamkan kerana ia menjadi sebab kepada sakit, sedangkan apa sahaja yang memudaratkan hukum asalnya adalah haram. Oleh itu, setiap yang jijik pada tabiat manusia pada asalnya adalah haram, melainkan terdapat dalil lain yang menyatakan hukumnya yang berbeza. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 15/381).

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa tikus buluh (bamboo rat) sekalipun ia herbivor tetapi ia tetap termasuk dalam jenis haiwan yang haram untuk dimakan seperti mana jenis tikus-tikus yang lain. Pendapat yang menyatakan bahawa tikus haram untuk dimakan merupakan pendapat jumhur ulama dan salah satu pendapat dalam mazhab Maliki. Malah, al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari (4/39) turut menyatakan, tikus mempunyai pelbagai jenis, seperti al-Juraz (rat), al-khuld (tikus gurun), tikus unta, tikus ikan, dan banyak lagi. Semua jenis tikus ini hukumnya sama, iaitu haram dimakan dan boleh dibunuh.

Selain itu, ini juga kerana kebiasaannya tikus dianggap sebagai haiwan yang jijik, dan termasuk dalam jenis haiwan perosak yang diperintahkan untuk dibunuh. Begitu jugalah halnya dengan tikus buluh yang dikenali sebagai perosak pertanian kerana ia memakan akar tanaman.  Justeru, inilah pendapat yang dilihat lebih selamat dan tepat (أقرب إلى الصواب).

Lebih-lebih lagi, Islam menganjurkan umatnya untuk memakan makanan yang halal lagi baik berdasarkan firman Allah SWT:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya:Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.

(Surah al-A‘raf: 157)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat https://www.britannica.com/animal/bamboo-rat. Diakses pada 13 Jun 2023.

[2] Lima haiwan perosak itu ialah tikus, kala jengking, helang, gagak, dan anjing yang ganas.

Bertarikh: 23 Jun 2023 bersamaan 4 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply