Soalan:

Saya ingin bertanya apakah hukum jika kucing membuang najis dalam tandas dan bukan dalam pasir di luar rumah? Apabila pemilik ingin menggunakan tandas, baru didapati ada najis kucing sebelum dibersihkan dan kucing telah berkeliaran di dalam rumah. Adakah sah wuduk dan solat pemilik, selepas dibersihkan najis dalam tandas tersebut? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kucing merupakan haiwan yang suci dan selalu berkeliaran di sekeliling manusia. Kabsyah binti Ka‘ab bin Malik ada melaporkan bahawa pada suatu hari Abu Qatadah berada di dalam rumah, lalu dia telah menyediakan baginya sebekas air untuk dijadikan sebagai air wuduk. Kemudian, datang seekor kucing meminum air tersebut. Abu Qatadah membiarkan sahaja kucing itu meminum air daripada bekas tersebut. Kemudian, Abu Qatadah perasan yang Kabsyah memandang kepadanya lalu dia bertanya: “Adakah kamu merasa pelik wahai anak saudaraku?” Kabsyah menjawab: “Ya.”  Lalu Abu Qatadah menjelaskan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

إِنَّهَا لَيْسَتْ بِنَجَسٍ، إِنَّمَا هِيَ مِنَ الطَّوَّافِينَ عَلَيْكُمْ، أَوِ الطَّوَّافَاتِ

Maksudnya: “Sesungguhnya kucing itu tidak najis kerana ia ialah haiwan yang berkeliaran di sekeliling kamu.”

Riwayat al-Tirmizi (92)

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan jika sekiranya pemilik berwuduk dan solat di tempat yang bersih, maka hukumnya adalah sah solatnya. Hal ini kerana secara umumnya di antara syarat sah solat ialah bersih daripada najis pada badan, pakaian dan tempat solat. Difahami bahawa najis itu perlu dibersihkan daripada pakaian melalui perintah Rasulullah SAW kepada Khaulah binti Yasar. Khaulah bertanya kepada Baginda SAW:

يَا رَسُولَ اللهِ إِنَّهُ لَيْسَ لِي إِلاَّ ثَوْبٌ وَاحِدٌ وَأَنَا أَحِيضُ فِيهِ فَكَيْفَ أَصْنَعُ ؟ قَالَ : إِذَا طَهُرْتِ فَاغْسِلِيهِ، ثُمَّ صَلِّي فِيهِ

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku tiada pakaian lain melainkan sehelai ini sahaja, dan sekarang aku sedang haid mengenakan pakaian tersebut. Apakah yang perlu aku buat?” Baginda SAW menjawab: “Apabila engkau telah suci daripada haid engkau, maka basuhlah pakaian itu (yang terkena haid), kemudian solatlah dengan menggunakan pakaian itu.”

Riwayat Abu Dawud (365)

Kami juga telah membahaskan hukum berkenaan kucing:

#1292: Status Solat Orang yang Dinaiki oleh Kucing[1]

#826: Kucing Melintas Dan Bermain-Main Di Kaki Orang Solat[2]

#3 Bulu Kucing yang Tertanggal[3]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen. Wallahua‘lam.

[1] https://maktabahalbakri.com/1292-status-solat-orang-yang-dinaiki-oleh-kucing/

[2] https://maktabahalbakri.com/826-kucing-melintas-dan-bermain-main-di-kaki-orang-solat/

[3] https://maktabahalbakri.com/bulu-kucing-yang-tertanggal/

Bertarikh: 23 Jun 2023 bersamaan 4 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply