Soalan:

Apakah hukum mempelajari dan beramal dengan zikir Asma’ Sungai Rajah versi Cirebon?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Terlebih dahulu saya terangkan terlebih berkenaan Asma’ Sungai Rajah versi Cirebon yang telah tersebar. Asma’ Sungai Rajah, siapa yang tidak kenal Asma’ ini di dunia ilmu ghaib. Asma’ Sungai Rajah adalah raja dan mustika aji kesaktian, terbukti bagi orang yang telah mengamalkan Asma’ ini merasakan khasiat yang banyak terutama ilmu kesaktian dan ilmu pengasihan. Banyak yang mencari Asma’ ini untuk mendapatkan khasiat dan manfaatnya yang luar biasa, sehingga sanggup mengeluarkan wang sampai beratus-ratus ribu rupiah bahkan jutaan. Bagi saya untuk mengamalkan Asma’ ini, kita harus memohon izin kepada si empunya Asma’. Dengan cara membaca tasawuf dan mengirimkan al-Fatihah. Ingat “Jika kita tak mampu bersedekah atau beramal dengan ilmu yang kita miliki.”

Asma’ Sungai Rajah banyak versinya, ini kerana dahulunya sewaktu penyampaian kalimat Asma’ itu tidak boleh ditulis, maka banyak perbezaan di setiap daerah kerana dialek setiap daerah berbeza-beza.

Macam-macam Asma’ Sungai Rajah menurut versinya.

Asma’ Sungai Rajah Versi Cirebon [5 tgkt]

Tingkat 1 :INNA QUWWATIH NAKAFATINA NAKABA KABANA TABANA 1000 X Selama tiga hari. Setelah tiga hari dan sudah terasa fungsinya, dilanjutkan ke tingkat dua.

Tingkat 2 :INNA QUWWATIH NAKABAN NATAH KITABAN NATAH (1000 X Selama tiga hari. Setelah tiga hari dan sudah terasa fungsinya, dilanjutkan ke tingkat tiga).

Tingkat 3 :INNA QUWWATIH NAKABUN NATAH KITABUN NATAH (1000 X Selama tiga hari. Setelah tiga hari dan sudah terasa fungsinya, dilanjutkan ke tingkat tiga).

Tingkat 4 :INNA QUWWATIH NAKATABANA FATINA NABADAN. (1000 X Selama tiga hari)

Tingkat 5 : INNA QUWWATIN NAKATA BANATA KINNA NATABA (1000 x 7 malam).

Ini berdasarkan carian kami dan dapatan kami berkenaan dengan zikir tersebut. Mungkin terdapat pelbagai versi yang lain. Wallahu a’lam.

Zikir ialah satu istilah yang suci daripada Ilahi. Hal ini adalah seperti yang didefinisikan oleh Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di, zikir secara umum adalah meliputi segala perkara yang mendekatkan seseorang hamba dengan Allah SWT dari segi aqidah, pemikiran, amalan hati, amalan badan atau pujian ke atas Allah atau mempelajari ilmu berfaedah atau mengajarinya atau seumpama dengannya. (Lihat al-Riyadh al-Nadhirah, hlm. 245 )

Secara khususnya pula, zikir merujuk kepada lafaz-lafaz tertentu yang disyariatkan oleh Allah SWT seperti membaca al-Quran, menyebut nama-nama dan sifat-sifat-Nya yang Maha Tinggi dengan bibir atau di dalam hati sebagaimana yang termaktub di dalam al-Quran, atau pun lafaz-lafaz yang disyariatkan menerusi lidah Rasulullah SAW yang memberi erti pujian, penyucian, pengudusan dan pengesaan terhadap Allah SWT( Lihat al-Zikr wa Atharuh fi Dunya al-Muslim wa Akhiratih, hlm. 17-20).

Allah SWT berfirman dalam ayat tersebut:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا، وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya.”

(Surah al-Ahzab: 41-42)

Dengan itu, tidak diragukan lagi kepentingan berzikir kepada Allah SWT. Sesiapa yang menolak kepentingan berzikir, golongan tersebut boleh dikategorikan sebagai fasiq. Ini kerana zikir adalah termasuk dalam salah satu kaedah penting dalam mendekatkan diri seseorang hamba kepada Allah SWT. Dalam disiplin keilmuan Islam, ilmu berkenaan hal ehwal mendekatkan diri kepada Allah SWT disebut sebagai tasawuf. Kerana itu Imam Malik pernah mengatakan bahawa, barang siapa yang berfekah tanpa bertasawuf maka dia telah menjadi fasiq. ( Lihat Mirqat al-Mafatih, 1/478)

Di samping itu, berzikir merupakan suatu ibadah mengingati Allah SWT yang boleh dilakukan sama ada melalui lisan ataupun melalui jantung hati. Zikir menerusi lidah meliputi istighfar, berdoa, berselawat ke atas Rasulullah SAW, tasbih, tahmid, takbir, tahlil, pembacaan al-Quran dan seumpamanya.

Menjawab bagi persoalan di atas, kami berpandangan mempelajari Zikir asma’ Sungai Rajah dan beramal dengannya adalah tidak dibolehkan . Ini kerana mengamalkan  zikir tersebut bertujuan untuk mendapatkan  perkara-perkara yang luar daripada adat kebiasaan manusia  seperti mengendalikan angin, memindahkan hujan dan sebagainya. Ini juga menyalahi apa yang telah dinyatakan dalam al-Quran. Firman Allah SWT:

Firman Allah SWT:

وَعِنْدَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ لَا يَعْلَمُهَا إِلَّا هُوَ

Maksudnya: “Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja…”

( Surah al-An’am: 59)

Ibn Kathir di dalam tafsirnya mendatangkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

مَفَاتِيحُ الغَيْبِ خَمْسٌ لاَ يَعْلَمُهَا إِلَّا اللَّهُ: لاَ يَعْلَمُ مَا فِي غَدٍ إِلَّا اللَّهُ. وَلاَ يَعْلَمُ مَا تَغِيضُ الأَرْحَامُ إِلَّا اللَّهُ. وَلاَ يَعْلَمُ مَتَى يَأْتِي المـَطَرُ أَحَدٌ إِلَّا اللَّهُ. وَلاَ تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ. وَلاَ يَعْلَمُ مَتَى تَقُومُ السَّاعَةُ إِلَّا اللَّهُ

Maksudnya:Kunci-kunci perkara ghaib ada lima, tidak ada yang mengetahuinya kecuali Allah. Tidak ada yang mengetahui apa yang berlaku pada esok hari kecuali Allah, tidak ada yang mengetahui apa yang dikurangi pada rahim kecuali Allah, tidak ada seorang pun yang mengetahui bilakah akan turunnya hujan kecuali Allah. Setiap jiwa tidak mengetahui di negeri mana dia akan mati, dan tidak ada yang mengetahui bilakah akan berlakunya kiamat kecuali Allah.”

Riwayat al-Bukhari (4697)

 

Pada hakikatnya  tujuan berzikir adalah untuk medekatkan diri kepada Allah SWT dan ia bukanlah untuk mendapatkan perkara-perakara ghaib yang luar daripada kemampuan manusia.

Kesimpulan

Antara kaedah fiqh yang biasa digunakan ialah:

الأَصْلُ فِي الْعِبَادَاتِ الْحَظَرُ أَوِ التَّوَقُّفُ

Maksud: Asal pada ibadat itu adalah haram atau tawaqquf

Maksud tawaqquf adalah terhenti kepada dalil. Jika terdapat dalil maka hukumnya dibolehkan. Oleh yang demikian, kami berpendapat bahawa zikir yang terbaik untuk di amalkan adalah zikir yang mathur daripada al-Quran dan al-Hadith. Sebagai contoh sepertimana  yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda:

كَلِمَتَانِ خَفِيفَتَانِ عَلَى اللِّسَانِ, ثَقِيلَتَانِ فِى الْمِيزَانِ, حَبِيبَتَانِ إِلَى الرَّحْمَنِ; سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ سُبْحَانَ اللَّهِ الْعَظِيمِ

Maksudnya : “Ada dua kalimat zikir yang ringan diucapkan di lidah, tetapi berat, besar pahalanya pada timbangan amal kebaikan, dan sangat dicintai oleh Ar-Rahman (Allah Ta’ala yang  Maha Luas Rahmat-Nya), iaitu: Subhaanallaahi wa Bihamdihi, Subhaanallahil ‘Azhiim (Maha  Muci Allah dengan memuji-Mya, dan Maha Suci Allah Yang Maha Agung).”

Riwayat al-Bukhari (6682) dan Muslim (2694)

Kami mengambil kesempatan ini mengingatkan supaya meninggalkan perkara-perkara yang meragukan dalam agama seperti zikir-zikir yang pelik, amalan-amalan yang meragukan, ditambah lagi dengan fadhilat-fadhilat yang berlebihan dan seumpamanya kerana dikhuatiri  kita akan terjerumus ke dalam lembah kesesatan. Rasulullah SAW mengajar kita:

 دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيبُكَ فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِينَةٌ وَإِنَّ الْكَذِبَ رِيبَةٌ

Maksudnya: “Tinggalkanlah perkara yang meragukan kamu kepada perkara yang tidak meragukan kamu. Sesungguhnya kebenaran itu adalah ketenangan dan pembohongan itu suatu yang meragukan.”

Riwayat Al-Tirmizi (2518) daripada Al-Hasan bin ‘Ali R.Anhuma

Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani menukilkan ucapan Al-Khattabi berkenaan maksud di sebalik hadith ini. Beliau berkata: “Setiap apa yang kamu ragu padanya maka lebih baik menjauhinya.” (Lihat Fath al-Bari, 4/293)

Ibn Daqiq al-’Id berkata maksud yang meragukan kamu ialah: “Tinggalkan sesuatu yang menjadikan kamu ragu-ragu dan gantikanlah kepada perkara yang tidak meragukan”. (Lihat al-Kafi Syarah Hadis 40, hlm. 35)

Akhirnya, semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini, dan menjauhkan kita daripada perkara yang boleh menyerongkan akidah dan pegangan kita. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اِتِّبَاعه وَأَرِنَا الْبَاطِل بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابه وَلَا تَجْعَلهُ مُتَلَبِّسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami untuk menjauhinya dan janganlah Kamu jadikannya keliru atas kami yang menyebabkan kami menyimpang dari kebenaran dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”

Wallahua`lam.

Bertarikh: 23 Jun 2023 bersamaan 4 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply