Soalan:     

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum memakan anjing padang rumput atau ia dikenali juga sebagai prairie dog? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

Maksudnya:Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor — atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain daripada Allah.’[1]

Begitu juga firman Allah SWT:

يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ ۖ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ

Maksudnya:Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): ‘Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?’ Bagi menjawabnya, katakanlah: ‘Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik.’[2]

Ayat di atas menunjukkan secara umumnya Allah ‘Azza wa Jalla telah menghalalkan buat kita makanan yang baik-baik. Justeru, semua yang baik-baik itu adalah diharuskan untuk memakannya, manakala semua yang buruk dan jijik pula adalah diharamkan daripada memakannya. Penentuan sama ada makanan itu baik atau jijik — jika tiada nas mengenainya — adalah berdasarkan perasaan dan naluri orang Arab kerana al-Quran turun kepada mereka — yakni dalam bahasa mereka.[3]

Definisi Anjing Padang Rumput

Anjing padang rumput, dalam bahasa Inggeris ia dikenali sebagai prairie dog, manakala dalam bahasa Arab ia disebut sebagai kalb al-barari (كلب البراري). Meskipun ia dipanggil sebagai anjing, pada hakikatnya ia bukanlah tergolong dalam jenis anjing. Sebaliknya ia tergolong dalam jenis haiwan rodensia. Ia dinamakan sedemikian kerana bunyi menyalak seperti anjing. Nama saintifik untuk genus anjing padang rumput (prairie dog) ialah Cynomys. Ini nampaknya merupakan gabungan dua perkataan Yunani yang secara kasar diterjemahkan sebagai “tikus anjing.” Genus ini tergolong dalam keluarga Sciuridae bersama-sama dengan semua jenis tupai lain.[4]

Gambar di atas: Anjing padang rumput ekor hitam

Menurut Britannica, anjing padang rumput, (genus Cynomys), adalah mana-mana daripada lima spesies tupai pembentuk koloni yang mendiami dataran, dataran tinggi dan lembah pergunungan di Amerika Utara. Bulunya yang pendek dan kasar berwarna kekuningan pudar hingga kemerahan atau warna perang kayu manis pekat. Anjing padang rumput mempunyai ekor pendek, telinga bulat kecil, dan kaki pendek dengan kuku yang panjang dan kuat. Rodensia ini boleh mempunyai berat sehingga 1.7 kg (3.7 paun), dengan panjang badan 28–33 cm (11–13 inci). Ekornya yang sedikit leper berukuran 3–12 cm (1–5 inci) panjang, dan, bergantung pada spesies, hujungnya berwarna hitam, putih atau berjumbai putih di sekeliling kelabu di tengah.

Anjing padang rumput menggali sistem liang lubang bawah tanah yang rumit dengan banyak pintu masuk yang ditandai dengan busut rendah atau berbentuk gunung berapi. Spesies biasa ekor hitam (C. ludovicianus) dan Mexico (C. mexicanus) tinggal di koloni yang besar dan padat yang digambarkan oleh penjelajah awal sebagai “bandar”. Koloni-koloni ini dibahagikan mengikut ciri topografi dan tumbuh-tumbuhan kepada wad separa diskret yang terbentuk daripada kumpulan keluarga lanjutan yang lebih kecil, atau koteri. Koloni-koloni ini biasanya meliputi kira-kira 100 hektar (247 ekar), tetapi yang terbesar pernah direkodkan ialah koloni anjing padang rumput ekor hitam di Texas yang pernah merentasi 65,000 km persegi (25,000 batu persegi) dan mengandungi anggaran 400 juta individu.

Pada waktu siang, mencari makanan di atas tanah adalah aktiviti utama haiwan ini. Bahagian berair herba dan rumput, daun, dan pokok renek yang baru tumbuh dimakan pada musim bunga, dan benih adalah komponen utama diet musim panas, dengan batang dan akar menjadi makanan utama pada musim luruh dan awal musim sejuk. Anjing padang rumput ekor hitam dan Mexico tidak berhibernasi dan aktif secara berkala semasa musim sejuk; mereka tidak menyimpan makanan dalam lubang mereka. Semasa musim sejuk apabila makanan terhad, anjing padang rumput ekor hitam kekal dalam lubang mereka untuk tempoh yang lama tanpa makanan atau air, menggunakan penyesuaian fisiologi untuk mengawal metabolisme mereka. Tiga spesies lain menjadi torpid (tidak aktif atau lesu) pada bulan Oktober atau November dan keluar kembali pada bulan Mac atau April. Lewat musim sejuk atau awal musim bunga adalah musim pembiakan untuk semua spesies, dan selepas kira-kira sebulan kehamilan, anjing padang rumput betina akan melahirkan sehingga 10 ekor anak.

Gambar di atas: Anjing padang rumput mengangkat kepala mereka dari liang mereka

Pemangsa semula jadi anjing padang rumput termasuk badger, serigala, anjing hutan, kucing hutan, ferret berkaki hitam, helang emas dan helang besar. Setelah jumlahnya membiak banyak, populasi anjing padang rumput telah dikurangkan secara drastik dalam julat dan bilangan dengan program racun oleh penternak yang menganggap mereka sebagai haiwan perosak dan dengan penukaran habitat haiwan tersebut kepada tanah pertanian. Anjing padang rumput ekor hitam (C. ludovicianus) adalah yang paling meluas, hidup di seluruh Great Plains dari Kanada hingga utara Mexico; Anjing padang rumput Gunnison (Cynomys gunnisoni) hidup di mana Arizona, Colorado, New Mexico dan Utah bertemu; anjing padang rumput ekor putih (C. leucurus) ditemui dari timur Wyoming melalui lembah Gunung Berbatu antara gunung ke pinggir timur Great Basin; anjing padang rumput Utah (C. parvidens) hidup terhad di bahagian selatan negeri itu; dan anjing padang rumput Mexico (C. mexicanus) terdapat di utara Mexico.

Genus Cynomys tergolong dalam keluarga tupai (Sciuridae) daripada haiwan rodensia (order Rodentia) dan paling rapat berkait dengan tupai tanah Amerika Utara dan Eurasia (genus Spermophilus). Fosil mendokumenkan sejarah evolusi mereka di barat Amerika Utara sejak Epoch Pliosen (3.6 hingga 2.6 juta tahun yang lalu).[5]

Hukum Memakan Anjing Padang Rumput

Oleh kerana anjing padang rumput (prairie dog) berkait rapat dan dikelaskan dalam keluarga tupai, maka hukum memakannya adalah kembali kepada asal perbincangan kehalalan tupai itu sendiri.

Secara umumnya, para ulama telah berbeza pendapat mengenai hukum memakan daging tupai kepada dua pendapat. Pendapat pertama menyatakan, ia adalah harus untuk dimakan. Ini adalah salah satu pendapat dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i dan merupakan pendapat yang sahih sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi. (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/12). Tambahan lagi, Daud al-Fatani juga telah memasukkan tupai sebagai antara binatang darat yang halal dimakan. (Lihat Matla‘ al-Badrain, susunan PMWP, 2/26).

Menurut Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari, tupai halal dimakan kerana tupai adalah daripada jenis-jenis rubah. Manakala rubah pula termasuk dalam haiwan yang bertaring tetapi taringnya lemah dan tidak digunakan untuk memangsa. Oleh sebab itu, ia halal dimakan. (Lihat Asna al-Matalib Syarh Raudh al-Talib, 1/564).

Selain itu, Ibn Qudamah juga ada menukilkan pendapat daripada al-Qadhi bahawa haram memakan tupai kerana ia menggigit dengan taringnya. Maka, ia menyerupai juraz (sejenis tikus besar atau dikenali sebagai rat). Selain itu, ada kemungkinan juga hukum memakannya adalah harus kerana ia menyerupai jerboa (yarbu‘). Apabila ada ketidakpastian (yakni ragu-ragu) antara dua hukum yang mengharuskan atau mengharamkan, maka yang didahulukan adalah hukum harus kerana ia adalah hukum yang asal dan keumuman pada nas menghendakinya. (Lihat al-Mughni, 9/412).

Tambahan lagi, Syeikh Muhammad bin Soleh juga ada menyebutkan bahawa hukum asal bagi suatu makanan itu adalah halal melainkan adanya dalil yang mengharamkannya. Jika timbul keraguan dalam diri kita mengenai suatu makanan itu, yakni adakah ia halal ataupun haram. Maka, ia dihukumkan sebagai halal sehinggalah jelas kepada kita bahawa hukumnya adalah haram. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. Begitu juga firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ

Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya.”

(Surah al-Jathiyah: 13)

Begitulah juga dalam sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ حَلَالٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ

Maksudnya:Apa yang Allah SWT halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah SWT haramkan, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dimaafkan.”

Riwayat al-Bazzar (4087) dan al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (2102).

Oleh yang demikian, hukum asal bagi seluruh haiwan adalah halal sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan keharamannya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2).

Manakala pendapat kedua pula menyebutkan bahawa ia adalah haram untuk dimakan. Ini merupakan salah satu pendapat dalam mazhab Syafi‘i sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya, Majmu‘ Syarh al-Muhazzab (9/12), pendapat Abu Yusuf al-Hanafi dan Muhammad Arsyad al-Banjari. Kenyataan Muhammad Arsyad al-Banjari dapat dilihat dengan jelas dalam kitabnya, di mana beliau telah menyenaraikan haiwan tupai ini termasuk dalam kategori haiwan yang haram dimakan. (Lihat Sabil al-Muhtadin, hlm. 258).

Abu Yusuf menyebutkan bahawa tupai tergolong dalam kumpulan haiwan buas (pemangsa) seperti musang dan ibn ‘irs (weasels). Justeru, tidak boleh dimakan dagingnya kerana haiwan-haiwan tersebut memiliki taring. Maka, ia termasuk dalam keumuman hadith — yang mengharamkan semua haiwan yang bertaring. (Lihat Tabyin al-Haqaiq, 5/294).

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa anjing padang rumput atau prairie dog ini adalah halal dimakan sebagaimana pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafi‘i. Walau bagaimanapun, bagi menghalalkannya ia mesti disembelih sebagaimana haiwan darat yang lain.

Hal ini kerana meskipun ia dipanggil sebagai anjing padang rumput atau prairie dog tetapi pada hakikatnya ia adalah haiwan yang berbeza sama sekali dengan keluarga anjing yang diharamkan untuk dimakan. Sebaliknya ia tergolong dalam jenis haiwan yang keluar pada siang hari untuk memakan akar, rumput, tunas, dan biji-bijian. Sesetengah spesies pula menambah dalam pemakanan mereka dengan memakan serangga.[6] Jelaslah bahawa ia bukan tergolong dalam jenis haiwan pemangsa yang memiliki taring untuk memburu bagi mendapatkan makanan seperti singa, memerang dan lain-lain. Apatah lagi prairie dog juga tidak dianggap sebagai haiwan yang istikhbath (jijik dan kotor).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

[1] Surah al-An‘am: 145

[2] Surah Ma’idah: 4

[3] Lihat https://aliftaa.jo/Research.aspx?ResearchId=16#_edn18. Diakses pada 13 Jun 2023.

[4] Lihat https://a-z-animals.com/animals/prairie-dog/. Diakses pada 13 Jun 2023.

[5] Lihat https://www.britannica.com/animal/prairie-dog. Diakses pada 13 Jun 2023.

[6] Lihat https://a-z-animals.com/animals/prairie-dog/. Diakses pada 13 Jun 2023.

Bertarikh: 23 Jun 2023 bersamaan 4 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply