Soalan:

Saya ingin bertanya mengenai akad nikah yang diadakan di masjid. Saya pernah terbaca mengenai larangan akad nikah dalam masjid dan ada juga yang membenarkan. Mohon pencerahan.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sabda Rasulullah SAW:

أَعْلِنُوا هَذَا النِّكَاحَ ، وَاجْعَلُوهُ فِي الْمَسَاجِدِ ، وَاضْرِبُوا عَلَيْهِ بِالدُّفُوفِ

Maksudnya: “Hebahkanlah akan pernikahan ini dan lakukanlah ia di masjid, dan palulah (raikannya) dengan memukul gendang (di luar masjid).”

Riwayat al-Tirmizi (1089) dan al-Baihaqi (15095) dalam al-Sunan al-Kubra. Imam al-Tirmizi berkata: hadith Hasan Gharib.

Imam al-Munawi mengatakan bahawa hadith ini menunjukkan bahawa akad nikah di masjid tidaklah dibenci. Beliau berkata:

وَفِيهِ أَنَّ عَقْدَ النِّكَاحِ فِي المَسْجِدِ لَا يُكْرَهُ بِخِلَافِ البَيْعِ وَنَحْوِهِ

Maksudnya: “Pada hadith ini menunjukkan bahawa melangsungkan akad nikah di masjid tidaklah dibenci, berbeza dengan jual beli dan yang semisalnya.” (Lihat al-Taisir bi al-Syarh al-Jaami’ al-Soghir, 1/353)

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan hukum akad nikah di dalam masjid adalah harus bagi mengambil keberkatan dan untuk dihebahkan. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 37/214)

Namun demikian, adab-adab perlu dijaga ketika mana berada di masjid seperti:

  1.     Melakukan ibadat sunat seperti  berwuduk, niat iktikaf dan seumpamanya.
  2.     Berpakaian bersih dan menutup aurat.
  3.   Menjaga larangan-larangan seperti wanita yang sedang didatangi haid/ mereka yang sedang berhadas.

Alhamdulillah, mutakhir ini kami dapati sebahagian masjid telah menempatkan ruangan yang khas untuk upacara akad nikah dan ianya amat baik kerana keluar daripada khilaf dan kesukaran bagi tetamu bahkan pengantin yang ketika itu dalam keadaan uzur (haid).

Kami juga berpendapat perkahwinan atau pernikahan yang dilakukan di masjid jauh lebih sopan, teratur dan tertib berbanding di tempat lain. Ini kerana umat Islam sentiasa memuliakan masjid dan apabila memasukinya, akan melakukan solat sunat Tahiyyatul Masjid terlebih dahulu. 

Mereka juga tidak meninggikan suara, gelak ketawa yang melampau berbanding di tempat-tempat yang lain. Seperti usik-mengusik dan bercakap untuk menghiburkan khalayak tetamu bahkan pengantin yang hadir. Justeru, penekanan tentang menjaga adab ketika berada dalam masjid.

Setidak-tidaknya, pasangan pengantin mula mengasaskan rumahtangga mereka di tempat yang paling mulia di bumi ini iaitu rumah Allah SWT. Ini akan mendekatkan keluarga tersebut ke rumah Allah SWT di samping melaziminya. 

Begitu juga, keberadaan di masjid bagi sebahagian ahli keluarga pengantin dapat mengambil kesempatan untuk berinfak dan bersedekah pada tabung-tabung masjid. Semoga keberkatan tempat yang dipilih dengan amalan yang dilakukan akan menambahkan lagi keberkatan pasangan pengantin dalam melayari bahtera kehidupan.

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman di dalam memahami agama ini. Amin. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply