Soalan

Assalamualaikum ustaz. Bolehkah seseorang mengqadha’ solat sunat yang tertinggal? Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Solat sunat merupakan antara amalan atau ibadat yang dituntut oleh syara‘ untuk dikerjakan. Solat-solat sunat yang dianjurkan tersebut juga menjanjikan fadhilat dan ganjaran yang tersendiri. Antaranya adalah, ia mampu menambah atau menampung kekurangan dalam solat fardhu seseorang. Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلاَتُهُ، فَإِنْ صَلَحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ، وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَـابَ وَخَسِرَ، فَإِنِ انْتَقَصَ مِنْ فَرِيْضَةٍ شَيْئًا، قَـالَ الرَّبُّ تَبَـارَكَ وَتَعَالَى: اُنْظُرُوْا هَلْ لِعَبْدِي مِنْ تَطَوُّعٍ، فَيُكَمَّلُ بِهِ مَا انْتَقَصَ مِنَ الْفَرِيْضَةِ ثُمَّ يَكُوْنُ سَائِرُ عَمَلِهِ عَلَى نَحْوِ ذَلِكَ.

Maksudnya: “Sesungguhnya amalan yang pertama kali dihisab daripada seorang hamba pada hari Kiamat adalah solatnya. Jika solatnya baik, maka beruntung dan selamatlah dia. Namun, jika rosak, maka rugi dan celakalah dia. Jika dalam solat fardhunya ada yang kurang, maka Rabb Yang Maha Suci dan Maha Mulia berfirman: ‘Lihatlah, adakah hamba-Ku memiliki solat sunat.’ Jika dia memiliki solat sunat, maka solat fardhunya disempurnakan oleh solat sunat tadi. Kemudian dihisablah seluruh amalan wajibnya sebagaimana tadi.”

Riwayat al-Nasa’i (451), (452) dan al-Tirmizi (411)

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (1/509-528) ketika menjelaskan berkenaan solat-solat sunat atau solat nafal menyebut: Perkataan nafal (النَّفَلُ) dari segi bahasa bererti tambahan. Manakala pada istilah ialah solat lain solat fardhu. Ia dinamakan demikian kerana solat tersebut adalah tambahan  kepada solat fardhu. Solat ini juga disebut sunat, mandub atau mustahab.

Solat sunat terbahagi kepada dua bahagian. Satu bahagian tidak sunat dilakukan secara berjemaah dan satu bahagian lagi sunat dilakukan secara berjemaah.

Berkenaan solat yang tidak sunat dilakukan secara berjema’ah, ia boleh dibahagikan kepada dua, iaitu solat yang mengiringi solat-solat fardhu, dan solat sunat yang tidak mengikut solat fardhu.

Pertama: Solat sunat mengiringi solat fardhu.

Solat sunat yang mengiringi solat fardhu terbahagi kepada dua iaitu sunat muakkad dan sunat yang tidak muakkad. Solat sunat muakkad ialah solat sunat dua rakaat sebelum solat fardhu Subuh, dua rakaat sebelum dan selepas solat fardhu Zuhur, dua rakaat selepas solat fardhu Maghrib dan dua rakaat selepas solat Isya’. Solat yang paling muakkad antara semua solat sunat tersebut ialah dua rakaat solat Fajar.[1]

Kedua: Solat yang Tidak Mengiringi Solat Fardhu

Solat sunat ini juga terbahagi kepada dua, iaitu solat sunat yang ditentukan namanya serta mempunyai waktu yang tertentu, dan solat sunat mutlaq yang tidak ditentukan nama dan waktunya.

Solat sunat yang ditentukan namanya serta mempunyai waktu yang tertentu adalah seperti berikut:

  • Solat Tahiyyatul Masjid.
  • Solat Witir
  • Qiamullail
  • Solat Dhuha
  • Solat Istikharah

Manakala berkenaan solat sunat mutlaq yang tidak ditentukan nama dan waktunya, ia boleh dilakukan sebanyak mana yang dikehendaki dan pada bila-bila masa yang tidak makruh bersolat. Hal ini berdasarkan hadith, Nabi SAW bersabda kepada Abu Dzar RA:

الصَّلاَةُ خَيْرُ مَوْضُوْعٍ اسْتَكْثِرْ أَوْ أَقِلَّ

Maksudnya: Solat adalah sebaik-baik amalan. Justeru, lakukanlah sebanyak-banyaknya atau sekurang-kurangnya.

Riwayat Ibn Majah (901)

Semua solat sunat yang telah disebutkan di atas adalah tidak sunat melakukannya secara berjemaah. Manakala solat sunat yang sunat berjemaah ialah solat sunat dua Hari Raya, solat Tarawih, solat Gerhana Matahari dan Bulan serta solat Minta Hujan (Istisqa’). (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/509-528).

Hukum Qadha Solat Sunat

Berbalik kepada persoalan di atas, Imam al-Nawawi menyatakan bahawa pada asasnya solat sunat itu terbahagi kepada dua, iaitu:

  1. Solat sunat yang tidak terikat dengan waktu, dan dilakukan sempena kejadian dan keadaan tertentu, seperti gerhana, meminta hujan dan tahiyyatul masjid. Solat sunat jenis ini tidak boleh diqadha jika tertinggal.
  2. Solat sunat yang terikat dengan waktu, seperti solat sunat dua hari raya dan solat sunat rawatib, dan terdapat tiga pandangan bagi solat sunat jenis kedua ini. Pandangan yang paling tepat ialah sunat untuk qadha jika tertinggal.

Pandangan ini juga sepertimana pandangan yang dipegang oleh Muhammad bin al-Hasan dan Al-Muzani. Begitu juga ia menjadi pendapat yang dipegang oleh Imam Ahmad seperti yang diiqrarkan oleh Imam al-Mardawi dan Ibn Taimiyyah. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/41; al-Insaf, 2/187; Majmu’ al-Fatawa, 23/127). Sebaliknya, menurut Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Qadhi Abu Yusuf pula, solat sunat tidak boleh diqadha’. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/43).

Antara hadith yang menjadi sandaran ulama yang berpegang pada pandangan yang mensunatkan qadha solat sunat yang tertinggal adalah seperti dalam riwayat Ummu Salamah R.’Anha, katanya:

شُغِلَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنِ الرَّكْعَتَيْنِ قَبْلَ الْعَصْرِ فَصَلاَّهُمَا بَعْدَ الْعَصْرِ

Maksudnya: “Nabi SAW disibukkan akan suatu urusan hingga tertinggal solat sunat dua rakaat sebelum Asar, maka Baginda SAW menggantikannya selepas Asar.”

Riwayat al-Nasa’i (587)

Abu Hurairah RA pula meriwayatkan bahawa, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ لَمْ يُصَلِّ رَكْعَتَىِ الْفَجْرِ فَلْيُصَلِّهِمَا بَعْدَ مَا تَطْلُعُ الشَّمْسُ

Maksudnya: “Siapa yang tidak solat sunat dua rakaat sebelum Subuh, maka hendaklah dia menggantikannya setelah matahari terbit.”

Riwayat al-Tirmizi (423)

Dalam riwayat Qais bin Amir pula disebut:

رَأَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلًا يُصَلِّي بَعْدَ صَلاةِ الصُّبْحِ رَكْعَتَيْنِ . فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَصَلاةَ الصُّبْحِ مَرَّتَيْنِ ؟ فَقَالَ لَهُ الرَّجُلُ: إِنِّي لَمْ أَكُنْ صَلَّيْتُ الرَّكْعَتَيْنِ اللَّتَيْنِ قَبْلَهُمَا ، فَصَلَّيْتُهُمَا . قَالَ: فَسَكَتَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: “Nabi SAW melihat seorang lelaki yang solat dua rakaat selepas solat Subuh. Maka Baginda SAW bertanya kepadanya: “Adakah engkau solat Subuh sebanyak dua kali?” Lelaki itu menjawab: “Aku tidak sempat solat sunat sebelum solat Subuh, maka aku menggantikannya.” Maka Nabi SAW pun diam.”

Riwayat Abu Daud (1267) dan Ibn Majah (1209)

Selain itu, terdapat juga hadith riwayat Aisyah R.Anha yang menyatakan:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ إِذَا لَمْ يُصَلِّ أَرْبَعًا قَبْلَ الظُّهْرِ صَلاَّهُنَّ بَعْدَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW jika tidak sempat solat sunat empat rakaat sebelum Zohor, maka Baginda SAW akan menggantikannya selepas solat Zohor.”

Riwayat Tirmizi (426)

Begitu juga dengan solat witir, dimana Abu Sa’id al-Khudri meriwayatkan:

مَنْ نَامَ عَنِ الْوِتْرِ أَوْ نَسِيَهُ فَلْيُصَلِّ إِذَا ذَكَرَ وَإِذَا اسْتَيْقَظَ

Maksudnya: “Barangsiapa yang tertidur sebelum sempat solat witir atau terlupa, hendaklah dia solat apabila dia teringat atau apabila dia terjaga daripada tidur.”

Riwayat al-Tirmizi (465), Abu Daud (1431) dan Ibn Majah (1244)

 

Penutup

Berdasarkan nas dan keterangan di atas, kami nyatakan bahawa bagi kategori solat sunat yang terikat dengan waktu seperti solat sunat dua hari Raya, solat sunat rawatib dan solat sunat witir, maka sunat untuk digantikan (diqadha’) jika tertinggal. Manakala bagi kategori solat sunat kerana peristiwa atau keadaan tertentu seperti solat sunat gerhana, maka ia tidak boleh digantikan.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 5/1/2022 bersamaan 2 Jamadil Akhir 1443H

[1] Berkenaan pembahagian ini juga, kami telah jelaskan dalam Ahkam Syari’yyah sebelum ini dengan tajuk: #78 Solat Rawatib yang Muakkad dan Tidak Muakkad. (https://maktabahalbakri.com/78-2/)

1 thoughts on “#194: Qadha Solat Sunat

  1. Muhammad Zafirul Bin Haris says:

    Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
    Yang Berbahagia Dr Zul…
    Nak tanya, kalau saya tinggal solat rawatib sebab waktu kerja yang tidak mengizinkan, boleh tak qadha?
    Mohon Penjelasan…

Leave a Reply