Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya tinggal di luar negara dan saya ada satu soalan. Apakah hukum memakai pakaian yang diperbuat daripada kulit babi selepas disamak, misalnya baju kot? Adakah hukumnya itu suatu yang qat‘i atau termasuk dalam perkara yang diperselisihi ulama, serta apakah pendapat yang sebaiknya dalam isu ini? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Para fuqaha telah bersepakat akan kenajisan daging babi sekalipun disembelih. Hal ini berdasarkan nas al-Quran yang telah menyebutkan bahawa babi adalah najis secara zatnya. Maka dagingnya dan kesemua bahagiannya sama ada bulu, tulang dan kulit adalah najis sekalipun disembelih. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/302). Firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya).”

(Surah al-Ma’idah: 3)

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan bahawa pengharamkan babi itu meliputi semua bahagiannya sehingga pada lemak dan kulitnya. Adapun dikhususkan dengan menyebut dagingnya sahaja kerana ia merupakan kebanyakan bahagian yang dimakan. Sesungguhnya syarak telah melarang untuk mengambil manfaat daripada semua bahagian babi. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/77). Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah.’

(Surah al-An‘am: 145)

Begitu juga di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah ada dinukilkan perkataan al-Alusi bahawa dikhususkan dengan menyebut dagingnya, sedangkan baki bahagiannya yang lain juga adalah dihukumkan sebagai najis, berbeza dengan pendapat ulama dalam kalangan mazhab Zahiri kerana ia merupakan kebanyakan bahagian daripada haiwan yang dimakan. Manakala baki bahagian-bahagiannya yang lain pula adalah mengikuti hukumnya — yakni hukum daging itu. Menurutnya, pengkhususan dengan menyebut dagingnya itu adalah bertujuan bagi menzahirkan keharaman apa yang dianggap baik dan disukai pada seluruh daging serta membesarkan lagi tanda pengharamannya itu.

Selain daripada itu, dhamir pada ayat “أَوْ لَحْمَ خِنْزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ”, dalam kaedah bahasa Arab ia akan kembali yang terdekat disebutkan iaitu perkataan ‘babi’ itu sendiri. Maka, sahihlah dengan al-Quran bahawa babi itu zatnya adalah kotor dan najis. Sesuatu yang kotor dan najis adalah haram dan wajib dijauhi. Justeru, babi itu keseluruhannya adalah haram dan tidak terkeluar daripada hukum haram itu sama ada bulunya mahupun selainnya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/140-141).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, menurut Dr. Solah al-Sawi kesucian kulit babi dengan disamak termasuk dalam salah satu ijtihad para ulama.[1] Perkara ini dapat dilihat melalui perselisihan para ulama mengenainya. Secara umumnya, para ulama berbeza pendapat mengenainya kepada dua pendapat.

Pendapat pertama, jumhur ulama berpendapat, kulit babi tidak boleh disucikan dengan disamak. Hal ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh al-Zaila‘i daripada kalangan ulama Hanafiyyah dalam Nasb al-Rayah (1/92-95) bahawa semua kulit yang disamak menjadi suci dan boleh mendirikan solat dengan memakainya serta berwuduk daripadanya (iaitu menjadikannya sebagai bekas) melainkan kulit babi dan manusia. Begitu juga dinyatakan dalam al-Mabsut (1/202) oleh al-Sarakhsi bahawa kulit babi adalah najis dan tidak boleh disamak mengikut riwayat yang zahir.

Seterusnya dalam Syarh Mukhtasar Khalil (1/89-90) oleh al-Khirasyi daripada kalangan ulama Malikiyyah, dinyatakan bahawa kulit bangkai dan kulit yang diambil daripada haiwan hidup adalah najis sekalipun disamak mengikut pendapat yang masyhur lagi diketahui daripada pendapat Imam Malik. Justeru, tidak boleh menjualnya mahupun mendirikan solat di atasnya. 

Ibn Rusyd juga menyebutkan sedemikan, penyamakan tidak memberi kesan pada kesuciannya sama ada pada zahirnya (bahagian luarnya) mahupun batinnya (bahagian dalamnya). Kemudian diberi keringanan (rukhsah) pada penggunaan kulit bangkai selepas disamak, jika kulit bangkai itu daripada haiwan yang diharuskan untuk dimakan dagingnya seperti lembu atau haiwan yang diharamkan untuk dimakan dagingnya seperti keldai sama ada ia disembelih ataupun tidak, pada penggunaan yang kering. 

Sekalipun begitu, keringanan (rukhsah) ini hanyalah pada selain kulit babi. Sekiranya ia adalah kulit babi, maka tidak ada rukhsah padanya, tidak kira pada penggunaan yang kering mahupun penggunaan yang basah ataupun lain-lain, kerana sembelihan pada babi tidak memberi sebarang manfaat padanya menurut ijma‘ ulama. Jadi, begitulah juga halnya penyamakan kulit. Melainkan Ibn al-Faras dalam Ahkam al-Quran berpendapat, ia adalah sebagaimana kulit haiwan lain. Lihat juga Hasyiah al-Dusuki (1/54).

Menurut mazhab Syafi‘i, kesemua kulit bangkai boleh menjadi suci dengan cara disamak, tidak kira kulit itu daripada bangkai yang halal dimakan dagingnya ataupun tidak, melainkan kulit babi dan anjing serta apa yang lahir daripada keduanya. (Lihat Fath al-Qarib al-Mujib, hlm. 28). Perkara ini adalah sebagaimana dinukilkan daripada Ali bin Abu Talib dan Ibn Mas‘ud R.Anhuma. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/217; al-Bayan fi Mazhab al-Imam al-Syafi‘i, 1/69).

Tambahan lagi, al-Khatib al-Syirbini daripada kalangan ulama Syafi‘iyyah menjelaskan, semua kulit bangkai boleh menjadi suci pada zahir dan batin dengan proses samak melainkan kulit babi dan anjing. Proses penyamakan tidak akan menyucikan kedua-dua kulit haiwan tersebut secara pasti (qat‘i) kerana menghukumkannya sebagai haiwan yang suci ketika hidupnya adalah lebih utama berbanding melalui proses penyamakan. Sekalipun begitu, ketika hidupnya ia tetap tidak dianggap sebagai haiwan yang suci. (Lihat Syarh Abi Syuja’, 1/99-105).

Selain daripada itu, Imam al-Nawawi juga ada menyebutkan, jika kulit telah menjadi suci dengan proses samak, maka dibolehkan untuk mengambil manfaat daripadanya, sama ada dalam keadaan basah mahupun kering berdasarkan hadith di atas. Oleh yang demikian, diharuskan untuk mendirikan solat dengan memakainya atau membawanya bersama — dan solat itu adalah sah. Tambahan lagi, proses samak itu juga telah menyucikan kulit tersebut pada zahir (yakni apa yang dapat dilihat) dan batinnya (yakni apa yang tidak dapat dilihat). Inilah pendapat mazhab Syafi‘i yang tepat sebagaimana yang ditunjukkan oleh nas daripada Imam al-Syafi‘i, diputuskan mengenainya oleh ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i dari Iraq, al-Baghawi dan selainnya dari Khurasan. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/227).

Manakala Ibn Qudamah dalam kalangan ulama Hanbali menyebutkan, semua kulit bangkai yang disamak mahupun yang tidak disamak adalah najis. Tidak ada perselisihan dalam mazhab (Hanbali) mengenai kenajisan bangkai sebelum disamak dan tidak diketahui seorangpun yang menyelisihinya. Adapun selepas ia disamak, pendapat yang masyhur dalam mazhab (Hanbali), ia turut dikira sebagai najis. Ini juga merupakan salah satu riwayat Imam Malik. Begitu juga diriwayatkan pendapat tersebut daripada Umar dan anaknya, Abdullah bin Umar, ‘Imran bin Husain dan Aisyah R.Anhum. 

Terdapat riwayat lain daripada Imam Ahmad yang menyatakan bahawa kulit bangkai yang disamak menjadi suci jika ia adalah haiwan yang suci ketika hidupnya. Diriwayatkan pendapat seumpamanya daripada ‘Ata’, al-Hasan, al-Sya‘bi, al-Nakha‘i, Qatadah, Yahya al-Ansari, Sa‘id bin Jubair, al-Auza‘i, al-Laith, al-Thauri, Ibn Mubarak, dan Ishaq. Begitu juga ia turut diriwayatkan daripada Umar, Ibn Abbas, Ibn Mas‘ud dan Aisyah R.Anhum sekalipun mereka berselisih pendapat berkenaan haiwan yang suci semasa hidupnya. Ini juga merupakan mazhab al-Syafi‘i yang berpendapat bahawa semua haiwan adalah suci melainkan anjing dan babi. Justeru menurutnya, semua kulit menjadi suci (selepas disamak) melainkan kulit babi dan anjing. Manakala di sisi Imam al-Syafi‘i berkenaan kulit manusia terdapat dua wajah (pendapat). Kemudian, Abu Hanifah pula berpendapat, semua kulit menjadi suci dengan proses samak melainkan kulit babi. (Lihat al-Mughni, 1/49-50).

Pendapat kedua, iaitu pendapat Daud al-Zahiri, Ibn Hazm, riwayat daripada Abu Yusuf daripada kalangan ulama Hanafiyyah, sebahagian ulama Malikiyyah seperti Sahnun, dan Ibn ‘Abd al-Hakam, dan al-Syaukani dalam kalangan ulama terkemudian menyatakan bahawa semua kulit menjadi suci dengan proses samak, termasuk kulit anjing dan babi.

Hal ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn Hazm dalam al-Muhalla (1/128-133) bahawa kulit bangkai sekalipun ia kulit babi, anjing, binatang buas atau lain-lain boleh menjadi suci melalui proses penyamakan. Dalam erti kata lain, apa sahaja kulit yang disamak menjadi suci. Apabila kulit bangkai itu disamak, maka ia halal (boleh) untuk dijual beli dan didirikan solat di atasnya. Ia adalah seperti kulit haiwan yang disembelih yang halal dagingnya untuk dimakan, melainkan kulit bangkai yang disebutkan ini tidak halal untuk dimakan dalam apa keadaan sekalipun, lebih lebih lagi kulit manusia kerana kulit manusia tidak boleh disamak mahupun disiat, sebaliknya ia hendaklah ditanam meskipun dia seorang kafir.

Begitu juga al-Kasani dalam Badai‘ al-Sanai‘ (1/85-86) menyebutkan, diriwayatkan daripada Abu Yusuf bahawasanya semua kulit menjadi suci dengan proses penyamakan berdasarkan keumuman hadith. Lihat juga al-Mabsut (1/202) oleh al-Sarakhsi.

Manakala al-Khirasyi turut menyebutkan bahawa terdapat lima pendapat yang menyelisihi pendapat yang masyhur (dalam mazhab Maliki). Di antaranya, pendapat yang menyatakan proses penyamakan menyucikan semua kulit sekalipun daripada kulit babi. Ini adalah pendapat Suhnun, Ibn ‘Abd al-Hakam dan Ibn al-Faras. (Lihat Syarh Mukhtasar Khalil, 1/89-90; Hasyiah al-Dusuki, 1/54).

Tambahan lagi, al-Syaukani dalam kitabnya jelas memilih pendapat ini. Beliau menyebutkan, para ulama telah berselisih mengenainya kepada tujuh pendapat. Pendapat yang keenam menyatakan, proses penyamakan menyucikan semua kulit, kulit anjing dan kulit babi pada zahir dan batin. Menurut Imam al-Nawawi, ini adalah mazhab Daud dan ahli zahir, serta dinukilkan daripada Abu Yusuf. Ini adalah pendapat yang rajih (kuat). Hal ini kerana hadith-hadith yang menyebutkan mengenai perkara ini tidak membezakan antara anjing dan babi dengan haiwan selain keduanya. (Lihat Nail al-Autar, 1/81-86).

Selain daripada itu, ini juga adalah pendapat yang dipilih oleh Dr. Solah al-Sawi bahawa semua kulit bangkai boleh disucikan dengan proses samak. Beliau berhujah berdasarkan kepada hadith dalam Sahih Muslim, daripada riwayat Ibn Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا دُبِغَ الإِهَابُ فَقَدْ طَهُرَ

Maksudnya:Jika disamak kulit maka ia menjadi suci.”

Riwayat Muslim (838)

Begitu juga dengan riwayat ashab al-Sunan bahawa:

أَيُّمَا إِهَابٍ دُبِغَ فَقَدْ طَهُرْ

Maksudnya:Apa sahaja kulit yang telah disamak, maka sesungguhnya ia telah menjadi suci.

Riwayat Ahmad (1895); Abu Daud (4123); al-Nasa’i (4241); al-Tirmizi (1728) dan beliau menilainya sebagai hasan sahih, dan ia telah diamalkan oleh kebanyakan ulama. Ia juga telah dinilai sebagai sahih oleh pengarang Sahih dan Dha‘if al-Tirmizi (1728).

Maka, berdasarkan hal ini, jelaslah bahawa perkara ini termasuk dalam masalah ijtihad dalam kalangan ulama. Tidak dapat dinafikan lagi, perbincangan dan perbahasan ulama berkaitan kulit babi adalah lebih luas berbanding perbahasan mereka berkaitan daging babi yang telah disepakati pengharamannya tanpa sebarang khilaf. Sesiapa dalam kalangan mereka yang berpendapat, kulit babi menjadi suci dengan proses samak, maka mereka akan mengharuskan juga penggunaannya dalam kasut, kot dan seumpamanya. Namun, sesiapa yang berpendapat, ia tidak menjadi suci dengan proses samak, akan melarang penggunaannya dalam perkara-perkara tersebut.

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat kulit babi tidak boleh menjadi suci dengan proses penyamakan sebagaimana pendapat jumhur ulama. Justeru, tidak boleh memakai mahupun menggunakan pakaian yang diperbuat daripada kulit babi sekalipun selepas disamak kerana ia adalah tetap najis dan tidak suci. Ini kerana babi itu sendiri ketika hidupnya dihukumkan sebagai najis, bahkan ia tetap dianggap sebagai najis sekalipun disembelih. Maka apatah lagi ketika matinya sebagai bangkai, sudah tentulah proses penyamakan sama sekali tidak dapat menyucikannya.

Sekalipun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa kulit babi termasuk dalam perkara yang diperselisihi ulama dan menjadi antara permasalahan yang para ulama berijtihad mengenainya, berbeza halnya dengan daging babi yang disepakati oleh para ulama akan pengharamannya tanpa sebarang khilaf. Namun, jumhur ulama termasuklah empat mazhab yang muktabar (mengikut pendapat muktamad mereka) menganggap kulit babi itu adalah najis yang tidak boleh diambil manfaat, melainkan terdapatnya suatu hajat (keperluan) atau dalam keadaan terdesak (darurat) dan bukannya waktu kebiasaan. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 20/34). 

Maka, inilah pendapat yang dilihat lebih kuat dan berhati-hati (ihtiyat) serta mengambil jalan keluar daripada khilaf. Hal ini bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:

الخُرُوجُ مِنَ الخِلَافِ مُسْتَحَبٌّ

Maksudnya:Keluar daripada khilaf adalah digalakkan (sunat).” (Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah baina al-Asalah wa al-Taujih, 14/1).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat https://fatawaalsawy.com/ الفقه/العبادات/الطهارة/حكم-استخدام-الألبسة-المصنوعة-من-جلد-ال-3/. Diakses pada 15 Jun 2023.

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply