Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada buat bisnes dekorasi masjid dan surau. Jadi boleh ke Dato’ Seri bagi pandangan tentang hiasi masjid/surau? Sebab kebanyakan masyarakat kita pandang hiasi rumah Allah itu satu pembaziran. Adakah ia benar? Boleh Dato’ Seri bagi penjelasan yang jelas. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda SAW, para sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW sehingga Hari Kiamat.
Pertama: Memakmurkan dan mengimarahkan masjid, membangun, mengagungkan dan memeliharanya termasuk ibadah yang agung dan pendekatan yang mulia di sisi Allah SWT.
Allah SWT berfirman:
أَجَعَلْتُمْ سِقَايَةَ الْحَاجِّ وَعِمَارَةَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ كَمَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَجَاهَدَ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ لَا يَسْتَوُونَ عِندَ اللَّـهِ ۗ وَاللَّـهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ
Maksudnya: “Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan Haji, dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjid Al-Haram itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah, dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.”
Surah al-Taubah (19)
Al-Maraghi berkata: Kata-kata dalam ayat ini adalah ditujukan kepada kaum mukminin yang telah berselisih pendapat mengenai pekerjaan yang mana satukah lebih utama. Kamu tidak boleh menyamakan keistimewaan orang yang memberi minum dengan orang yang datang menunaikan ibadah haji dan memakmurkan masjid dengan keistimewaan orang yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat serta orang yang berjihad pada jalan Allah SWT. Ini disebabkan, meskipun mereka memberi minum dan memakmurkan (menghidupkan) masjid itu termasuk dalam soal kebajikan, namun para pelakunya tidak sama dengan orang yang beriman dan berjihad dari segi ketinggian martabat kemuliannya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 5/2718)
Menurut Kamus Dewan Bahasa, imarah bermaksud menggerakkan atau menghidupkan suasana di masjid atau surau dengan pelbagai kegiatan berfaedah, biasanya berbentuk keagamaan. (Lihat laman web Dewan Bahasa dan Pustaka)
Kami berpendapat, pengimarahan masjid memberi dua maksud yang perlu dipelihara dan dilaksanakan:
- Zahir dan fizikal. Ia memberi maksud membina, mengislahkan serta menjadikan masjid begitu menarik, amat gemar dikunjungi dalam melakukan ibadat.
- Batin dan hakikatnya. Ia memberi maksud mengimarahkan masjid dengan pengisian kerohanian, ilmu dan suasana yang penuh dengan maksud asalnya iaitu tempat sujud dan tempat beribadat. Dengan itu, akan menarik sejumlah jemaah bagi melaksanakan perintah Tuhan.
Kedua-duanya amat perlu dan ia sudah pasti menatijahkan maksud sebenar pengimarahan sama ada melalui fizikal atau batinnya. Inilah yang kita dambakan kepada semua masjid yang diimarahkan.
Kedua: Menggantungkan ayat-ayat Qur’an di dinding rumah atau masjid adalah bid’ah makruh. Imam Malik Rahimahullah ditanya tentang masjid, “Apakah dimakruhkan menulis di kiblat (dinding) dengan cat seperti ayat kursi, ‘Qul huwallahu ahad, Al-Mu’awizataini (al-Falaq dan al-Nas) atau yang semisalnya?” Beliau mengatakan, “Saya memakruhkan untuk menulis sesuatu dari al-Qu’ran dan membuat dekorasi di kiblat masjid, dan (beliau menambahkan dengan) berkata bahawa hal itu mengganggu orang solat.
Begitu juga hendaklah membuang atau memadam apa yang mereka perbuat dengan menampalkan tiang ke dinding kiblat, apa yang ditulis di dinding dan tiang. Begitu juga hendaknya membuang kain kiswah (kain penutup) Ka’bah yang ditampalkan di mihrab dan lainnya. Kerana semuanya itu termasuk bid’ah dan belum pernah dilakukan orang sebelumnya. (Lihat Al-Madkhol , Ibnu Muflih, 2/215)
Ini kerana al-Quran diturunkan oleh Allah SWT bukan sebagai hiasan di dinding. Imam Nawawi Rahimahullah berkata: “Tidak diperkenankan menulis Al-Qur’an dengan sesuatu yang najis. Dan dimakruhkan menulisnya di dinding menurut (mazhab) kami.” (Lihat al-Tibyan Fi Adabi Hamalatil Quran, hlm. 110]
Ibnu Hamam Al-Hanafi juga berkata: “Dimakruhkan menulis Quran dan nama-nama Allah SWT di dirham (mata wang), mihrab (tempat imam), di dinding dan apa yang dihamparkan.” (Lihat Fathul Qadir, 1/310, ditegaskan juga oleh al-Safarini al-Hanbali dalam kitab Ghiza’ul-Albab, 2/211)
Ketiga: Adapun tulisan hadith dan doa di dinding masjid, yang lebih selamat adalah meninggalkannya. Kerana tujuannya tiada lain –umumnya- hanya untuk hiasan. Tapi kalau tujuannya ingin memberikan manfaat kepada orang agar dapat menghafal dan mengingat lafaz-lafaznya, maka hal itu dibolehkan, jika memenuhi syarat-syarat berikut ini:
Jangan menuliskan hadith dan doa-doa di dinding secara langsung, kerana tulisan seperti itu tidak dapat dihilangkan dan tidak dapat dimanfaatkan serta dipindah dari tempatnya kalau orang-orang yang solat telah menghafalnya. Akan tetapi, hendaknya ditulis di kertas dinding yang mudah ditampal dan dicabut kembali. Tulisan diutamakan berisi pengetahuan yang bermanfaat kepada umat Islam sesuai dengan musim-musim tertentu.
Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahawa para ulama berbeza pendapat dalam hal ini. Pendapat yang kuat adalah melarangnya. Terutamanya apabila hiasan tersebut diambil dari dana wakaf atau dapat melalaikan dan mengganggu orang yang solat, atau mengeluarkan dana besar untuk (membuat) seperti itu.
Daripada Anas bin Malik RA, sesungguhnya Nabi SAW bersabda:
لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَتَبَاهَى النَّاسُ فِى الْمَسَاجِدِ
Maksudnya: “Tidak (akan) terjadi hari kiamat, sampai orang-orang saling membanggakan masjidnya.”
Riwayat Abu Daud (449), al-Nasa’i (689), Ibn Majah (739) disahihkan oleh Al-Albani dalam Sahih Abu Daud.
Dan diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, 1/171 daripada Anas bin Malik RA:
يَتَبَاهَوْنَ بِهَا ، ثُمَّ لاَ يَعْمُرُونَهَا إِلاَّ قَلِيلاً
Maksudnya: “Mereka saling membanggakannya, kemudian tidak ada yang memakmurkan melainkan sedikit.”
Athar ini disambung sampai kepada Nabi SAW oleh Ibnu Abi Syaibah dalam kitab Al-Mushannaf, 1/309. Di dalamnya ada perawi yang tidak dikenali.
Badruddin Al-Aini Rahimahullah berkata: ”Ungkapan ‘يَتَبَاهَوْنَ’ dengan baris fathah huruf ha’ berasal dari kata ‘Al-Mubahah’ yaitu ‘Al-Mufakharah’, ertinya adalah mereka memperelok dan menghiasi masjid kemudian mereka duduk, lewat dan saling membanggakan dan bermegah-megah serta lupa untuk zikir, membaca al-Qur’an dan solat. Ungkapan ‘Biha’ yakni ‘Bil masajid (dengan masjid-masjid)’, konteksnya menunjukkan seperti itu.” (Lihat Umdah al-Qari, 4/205)
Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, 1/171 dari Ibnu Abbas R.Anhuma ungkapan ‘Sungguh (mereka) akan menghiasinya sebagaimana orang Yahudi dan Nasrani menghiasinya.’
Athar ini disambung sampai kepada Nabi SAW oleh Ibn Abi Syaibah dalam kitab Al-Musannaf, 1/309 dan juga ulama lain. Disahihkan oleh al-Albani dalam kitab Tahqiq Islah Al-Masajid Minal Bida’i wal ‘Awaid, karangan Jamaluddin Al-Qasyimi, 94, dan dalam Sahih Abu Daud yang lengkap, 2/347.
Al-Baghawi Rahimahullah berkata: “Ungkapan Ibnu Abbas R.Anhuma ‘Sungguh (mereka) akan menghiasnya sebagaimana orang Yahudi dan Nasrani menghiasnya.’ Maknanya bahawa orang-orang Yahudi dan Nasrani mulai menghiasi masjid setelah mereka mengubah ajaran agamanya, dan boleh membawa menjadi seperti mereka. Mereka saling mengelokkan masjid dan membanggakan dengan keelokan dan hiasannya.” (Lihat Syarh al-Sunnah, 2/350)
“Diharamkan menghias dan memahat masjid atau mendekorasinya dengan dana wakaf menurut (mazhab) Hanafi dan Hanbali. Ulama kalangan Hanbali dengan tegas mewajibkan untuk mengganti dana wakaf yang dipakai untuk itu, kerana hal itu tidak ada kemaslahatan di dalamnya. Sedangkan dari kalangan ulama Syafi’iyyah, yang kelihatan dari perkataan mereka adalah melarang menggunakan dana wakaf untuk itu. Jika ada orang yang mewakafkan untuk keduanya – memahat dan mendekorasi masjid – (maka wakafnya) tidak sah menurut pendapat terkuat di kalangan mereka. Adapun kalau memahat dan mendekorasi dari dana orang yang memahat, maka itu dimakruhkan –dengan sepakat- secara mutlak jika menyebabkan orang solat menjadi lalai, misalnya jika terletak di mihrab dan di dinding kiblat.” (Lihat Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 11/275)
Para ulama dalam al-Lajnah al-Daimah ditanya, tentang projek untuk membangun hiasan masjid. Mereka menjawab: “Pekerjaan ini tidak dianjurkan, berdasarkan hadith sahih yang melarang menghiasi masjid. Dan kerana hal itu menganggu orang solat dalam solatnya dengan memandang dan termenung dengan hiasan dan pahatan itu. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 5/191)
Kami katakan dengan menghiasi rumah Allah SWT dalam bentuk tidak melampau dan bukan kepada tahap pembaziran tetapi dirasakan elok oleh mata memandang serta tidak menggunakan dana wakaf atau masjid, maka ia diharuskan. Walaupun begitu, hendaklah meraikan perbahasan ulama di atas apa yang sepatutnya dibolehkan dan yang tidak dibolehkan.
Mungkin kita meletakkan ayat-ayat al-Quran di hadapan, pada satu segi adalah baik, tetapi hilang khusyuk dalam solat atau tumpuan solat teralih kepada gambar, mahu pun bentuk tulisan dan lakaran.
Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H