Soalan:

Assalamualaikum Ustaz, saya ingin bertanya bagaimana cara terbaik untuk saya menqadha solat yang tertinggal dan tidak diketahui bilangannya masa zaman kejahilan saya dulu ustaz? Terima kasih ustaz

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sabda Nabi SAW:

إذَا رَقَدَ أَحَدُكُمْ عَنِ الصَّلاَةِ أَوْ غَفَلَ عَنْهَا فَلْيُصَلِّهَا إِذَا ذَكَرَهَا فَإِنَّ اللَّهَ يَقُولُ أَقِمِ الصَّلاَةَ لِذِكْرِي

Maksudnya: Jika salah seorang dari kamu meninggalkan solat kerana tertidur atau terlupa, hendaklah dia menggantikannya apabila teringat, kerana Allah SWT telah berfirman: “Dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.”

Riwayat Muslim (684)

Diriwayatkan juga daripada Anas Bin Malik R.anhu bahawa nabi Muhammad SAW bersabda :

مَنْ نَسِيَ صَلاَةً فَلْيُصَلِّ إِذَا ذَكَرَهَا، لاَ كَفَّارَةَ لَهَا إِلَّا ذَلِكَ

Bermaksud: Sesiapa yang terlupa (menunaikan) satu solat maka hendaklah dia solat (sebagai ganti) sekiranya dia teringat solat itu. Tidak ada kafarah bagi solat itu melainkan itu (menggantikannya semula).

Riwayat al-Bukhari (597)

Berdasarkan hadith-hadith di atas  sekiranya seseorang itu meninggalkan solat yang telah dipertanggungjawabkan ke atasnya, maka wajib bagi dirinya untuk menggantikan solat tersebut sama ada dia meninggalkannya dengan sengaja ataupun dengan keuzuran

Al-Qurtubi menyatakan : Bagi mereka yang meninggalkan solat dengan sengaja, maka majoriti ulama bersepakat  bahawa ia wajib untuk menqadhakan solat tersebut walaupun mereka berdosa. Beliau berkata lagi: Perbezaan antara yang melakukannya dengan sengaja, dengan yang lupa, dan yang tidur adalah dosa. Yang melakukannya dengan sengaja maka ia telah berbuat dosa dengan meninggalkan kewajipan. Oleh yang demikian  semua keadaan tersebut wajib menqadhakan balik solat yang ditinggalkan. Jumhur ulama berhujah dengan firman Allah SWT :

وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي

Maksudnya: dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.

(Surah Taha:14)

Tidak ada perbezaan sama ada ia dilakukan pada waktunya atau selepasnya, dan hal ini merupakan perkara yang menunjukkan kewajipan. Tambahan pula, telah disepakati kewajipan menqadha bagi yang tidur dan yang lupa walaupun mereka tidak berdosa. Oleh itu, yang melakukannya dengan sengaja  maka ia lebih diutamakan.”(Lihat al-Jami’ Li Ahkam al-Quran,11/178)

Menjawab bagi persoalan di atas, solat merupakan salah satu rukun utama dalam agama dan tidak pernah terhapus oleh sebarang alasan. Bagi mereka yang telah terlepas mendirikan fardhu solat disebabkan tertidur atau mengabaikannya selama bertahun-tahun, sembahyang tersebut tidak terhapus daripadanya dan diwajibkan baginya untuk menggantikan balik solat tersebut. Berkaitan isu ini, bagi sesiapa yang meninggalkan solat dan tidak tahu bilangan yang ditinggal maka dia perlu berusaha sebaik mungkin mengingati bilangan solat yang terlepas samaada ia berlaku dalam hari, bulan atau tahun. Jika seseorang itu tidak dapat menentukan dengan pasti bilangan yang ditinggalkan, maka dia boleh menggunakan anggaran yang lebih mungkin atau hampir menurut keyakinannya.

Justeru kami nasihati supaya  bertaubat iaitu dengan menyesali masa lalu dan meninggalkan kesalahan meninggalkan sembahyang  dengan bertekad  ​​untuk tidak mengulanginya lagi  serta wajib menqhadhakan balik solat-solat yang telah ditinggalkan kerana ia merupakan hutang. Oleh itu hutang dengan Allah SWT tidak dapat tidak mesti diselesaikan.

Diriwayatkan daripada Abdullah Bin A’bbas bahawa Rasulullah bersabda :

فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى

Maksudnya: “Maka adalah hutang kepada Allah itu lebih berhak untuk dilangsaikan.”

(Riwayat al-Bukhari, no. 1954)

Kami akhiri dengan doa :

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

(Surah Ibrahim: 40)

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply