Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya order makanan di GrabFood dan bila makanan sampai saya dapati order yang dihantar tersilap kerana saya order 3 bungkus makanan tetapi yang sampai kepada saya 4 bungkus makanan. Saya telah menghubungi pihak Grab untuk maklumkan kesilapan ini. Pihak Grab pula refund duit kepada saya sedangkan bukan itu tujuan saya menghubungi pihak Grab.

Jadi soalan saya, apakah status makanan tersebut? Saya sedang usahakan untuk bayar kembali kepada pihak Grab dan cuba menghubungi rider yang menghantar. Cuma belum ada maklumbalas.

Jawapan:

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا

Maksudnya:Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

(Surah al-Baqarah:275)

Segala bentuk jual beli adalah harus, namun ia boleh berubah menjadi makruh atau haram atas sebab wujudnya unsur-unsur yang tidak dibenarkan oleh syarak seperti gharar(ketidakpastian), maisir(perjudian) dan sebagainya pada transaksi yang dijalankan. Oleh yang demikian, kita selaku individu Muslim wajib menjauhi transaksi yang mengandungi segala unsur yang tidak dibenarkan ini.

Dalam Islam, jual beli terdiri atas tiga rukun utama iaitu:

  1. Pihak yang berakad (penjual dan pembeli),
  2. lafaz akad (lafaz ijab dan kabul)
  3. Objek yang diakadkan (iaitu barangan dan harga)(Lihat Mughni al-Muhtaj Ila Ma‘rifat Ma‘ani Alfaz al-Minhaj, 2/323.)

Menyebut berkenaan rukun ketiga iaitu barangan yang diakadkan, maka di sini ada beberapa syarat yang perlu ada padanya, antaranya ialah barangan jualan tersebut mestilah diketahui oleh kedua-dua belah pihak iaitu penjual dan pembeli.

Menjawab bagi persoalan di atas, dapat kami nyatakan di sini, penentuan hukum jual beli adalah  bergantung kepada akad. Sekiranya pada objek yang diakad itu adalah tiga bungkus makanan maka yang berhak dimiliki juga adalah yang sedemikian. Dalam isu ini pihak penjual telah tersalah hantar lebih daripada apa yang telah dibeli oleh pembeli maka pada asalnya pembeli wajib memulangkan balik barangan atau makanan tersebut. Sekiranya menjadi satu kesulitan untuk dikembalikan balik barangan atau makanan tersebut dan dikhuatiri makanan tersebut akan rosak maka bolehlah disedekahkan kepada masjid atau kepada  orang yang memerlukan sebagai keluar daripada khilaf dan tidak berlaku pembaziran.

 Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

رَحِمَ اللهُ عَبْدًا سَمْحًا إِذَا بَاعَ , سَمْحًا إِذَا اشْتَرَى سَمْحًا إِذَا اقْتَضَى

Maksudnya: Allah mengasihi hamba yang bermurah hati jika menjual, bermurah hati jika membeli, bermurah hati jika menagih hutang.

Riwayat al-Bukhari (2076), al-Tirmidzi (1320), Ibn Majah (2203) dan Ahmad (14699)

Badr al-Din al-‘Aini dalam syarahnya menyebutkan: Pada hadith ini mengajak kita supaya berlapang dada serta melakukan muamalah dengan baik dan juga dengan akhlak yang baik, serta meninggalkan sifat kedekut di dalam jual beli. Hal ini kerana terdapatnya barakah dalam jual beli. Nabi SAW tidak akan mengajak umatnya kecuali pada perkara yang ada manfaat bagi umatnya untuk urusan agama dan keduniaan. Manakala kelebihan di akhirat, Nabi SAW mendoakan kerahmatan dan keampunan bagi mereka yang melakukan kebaikan pada jual beli tersebut. Maka sesiapa yang ingin mendapatkan doa yang didoakan oleh Nabi SAW, maka hendaklah dia mengikuti saranan Nabi SAW dan beramal dengannya. (Lihat ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari, 11/189)

Kami akhiri dengan doa,

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima

Wallahua`lam.

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply