Soalan
Assalamualaikum ustaz. Sesetengah pekerja kren tower mengalami kesukaran untuk solat kerana mereka terpaksa turun dari kren tower yang tinggi jika ingin menunaikan solat di tempat yang disediakan. Jika solat dalam ruang kren, maka ia agak sempit. Ketika ingin sujud, dia akan terpaksa bergerak ke belakang dua kali dan apabila bangun, dia perlu bergerak semula ke hadapan dua kali. Bagaimana solat tersebut. Mohon penjelasan.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Definisi dan Jenis Kren Menara (Tower Crane)
Kren menara ialah kren yang digunakan untuk membina struktur tinggi seperti bangunan pencakar langit. Komponen asas kren menara ialah menara menegak—juga dikenali sebagai tiang—dan outstretched jib (jib terentang).
Trolley dan Hook Block bergerak di sepanjang jib, yang boleh berputar 360 darjah di sekeliling tiang. Selalunya, kren ini dipasang menggunakan kren mudah alih yang lebih kecil.
Terdapat tiga jenis kren menara yang berbeza:
- Kren kepala tukul (Hammerhead cranes)
- Kren menara Luffing (Luffing tower cranes)
- Kren menara tegak sendiri (Self-erecting tower cranes)[1]
Operator kren merupakan orang yang mengendalikan atau memandu kren samada Mobile Crane, Crawler Crane atau Tower Crane. Ketiga-tiga jenis kren ini memerlukan pekerja yang kompeten, yang bertindak sebagai Operator Kren. Kompetensi yang dimaksudkan adalah kompetensi yang diberikan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).[2]
Tugas sebagai operator kren menara termasuklah mengendalikan kren dan mempermudahkan urusan pembinaan. Antara mereka, ada yang terpaksa tinggal di atas bangunan lebih lapan jam sehingga paling lama dua hari. Sesetengah mereka juga perlu mengikuti jadual harian yang luar biasa yang mana harus bekerja enam hari seminggu dan di atas bangunan itulah tempatnya beristirahat, makan dan minum yang disediakan dengan diangkut menggunakan tali dari bawah.[3]
Isu Solat dalam Kren Menara
Peri pentingnya solat dapat dilihat melalui banyak nas dari al-Quran mahupun al-Sunnah. Antaranya, firman Allah SWT:
وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِينَ
Maksudnya: “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.”
(Surah al-Baqarah: 43)
Ayat di atas merupakan antara dalil pensyariatan solat ke atas setiap orang Islam di atas muka bumi ini. Menunaikan solat merupakan kewajipan dan juga fardhu ‘ain ke atas semua orang Islam yang mukallaf iaitu individu muslim yang baligh berakal dan suci bersih. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 3/3).
Dalam sebuah hadis riwayat daripada Ibn Umar RA, beliau berkata bahawa telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW lalu bertanya apakah perkara yang paling disukai oleh Allah SWT di dalam Islam? Nabi SAW bersabda:
الصَّلَاةُ لِوَقْتِهَا، وَمَنْ تَرَكَ الصَّلَاةَ فَلَا دِينَ لَهُ، وَالصَّلَاةُ عِمَادُ الدِّينِ
Maksudnya: “Solat pada waktunya, barangsiapa yang meninggalkan solat maka tiadalah agama baginya dan solat itu merupakan tiang agama.”
Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (2550)
Umat Islam seluruh zaman dan tempat telah bersepakat bahawa solat pada lima waktu sehari dan semalam adalah wajib, sehingga ia termasuk dalam urusan agama yang al-ma`lum min al-din bi al-darurah (perkara agama yang diketahui secara mudah). (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/297).
Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan seperti berikut:
Pergerakan yang membatalkan solat adalah pergerakan yang melebihi tiga kali secara berturut-turut walaupun dilakukan secara tidak sengaja.
Menurut Abu Ishak al-Syirazi: “Jika seseorang melangkah tiga langkahan secara berturut atau memukul sebanyak tiga secara berturut maka batal solatnya.” (Lihat al-Tanbih Fi al-Fiqh al-Syafi’i, hlm. 76).
Al-Khatib al-Syarbini menyebut: “Dan perkara kedua yang membatalkan solat ialah pergerakan yang banyak yang bukan daripada jenis perbuatan solat secara uruf.Apa yang dianggap uruf sebagai pergerakan yang sedikit seperti mencabut khuf,memakai pakaian yang ringan maka ia adalah sedikit. Begitu juga dua langkah yang sederhana dan juga dua pukulan. Pergerakan sebanyak tiga kali atau lebih adalah dikira banyak (dan membatalkan solat) jika ianya dilakukan secara berturut-turut. Sama ada pergerakan tersebut adalah dari jenis pergerakan itu seperti tiga kali langkah ataupun bercampur dari segala jenis pergerakan seperti satu kali langkahan, satu kali pukulan dan mencabut capal ataupun tiga kali langkahan yang dilakukan dengan satu langkah yang besar. Jika dia melakukan satu pergerakan dengan niat tiga kali pergerakan maka batallah solatnya.” (Lihat al-Iqna’ Fi Hill al-Alfaz Abi Syuja’, 2/268).
Imam al-Nawawi pula menjelaskan: “Secara ringkas tentang apa yang disebut oleh ashab kami bahawa pergerakan yang bukan dari jenis pergerakan solat jika ianya banyak maka batal solat tanpa ada khilaf (tentang perkara tersebut). Jika pergerakan itu sedikit,ianya tidak membatalkan solat.”
Beliau menambah lagi: “Adapun apa yang yang dianggap orang ramai sebagai pergerakan yang banyak seperti langkahan kaki dan pergerakan yang banyak serta berturut-turut maka terbatallah solatnya. Kata Ashab kami : Di atas dasar ini maka satu kali pergerakan seperti satu kali langkahan dan pukulan adalah pergerakan yang sedikit dan pergerakan sebanyak tiga kali adalah banyak.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/25-26).
Maka pergerakan sebanyak tiga kali secara berturut-turut adalah pergerakan yang menyebabkan solat terbatal. Adapun pergerakan sebanyak dua kali seperti yang berlaku dalam keadaan si penanya, ianya telah dijelaskan oleh para ulama. Secara ringkasnya ianya adalah pergerakan yang sedikit dan tidak membatalkan solat.
Imam al-Nawawi berkata: “Berkenaan dua kali pergerakan ada dua wajah (pandangan). Disebutkan oleh pengarang (al-Syirazi) dan para Ashab. Yang paling asah ialah pergerakan dua kali adalah dikira sedikit. Dan inilah pandangan Sheikh Abu Hamid. (Pandangan) yang kedua menyatakan bahawa pergerakan dua kali dikira banyak. Kemudian para Ashab menyatakan bahawa pergerakan yang banyak itu boleh menyebabkan terbatalnya solat jika ianya berturut-turut. Jika pergerakan tersebut terputus-putus seperti seseorang melangkah dengan satu langkah kemudian berhenti seketika kemudian baru melangkah dengan langkah yang lain ataupun bergerak dua kali kemudian diam dan selepas itu melangkah lagi dua langkahan. Jadi kami katakan : dua langkah tidak memudaratkan dan jika berulang pun sehingga seratus kali jika tidak berturut maka tidak memudaratkan (solat) tanpa khilaf. Begitu juga hukum pukulan yang banyak yang tidak berturut-turut.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazab, 4/26).
Akan tetapi dua kali pergerakan tersebut akan menyebabkan solat terbatal jika berlaku perkara-perkara ini :
- Pergerakan itu dengan niat untuk bermain-main
- Pergerakan yang terlalu melampau
- Jika dia berniat untuk melakukan pergerakan tiga kali kerana dia sudah memulakan qasad untuk bergerak lebih dari tiga kali.
Imam al-Nawawi menyebut: “Pergerakan yang sedikit yang tidak membatalkan solat (yang dilakukan di dalam solat) adalah makruh kecuali pada beberapa keadaan, iaitu:
- Dilakukan dalam keadaan terlupa
- Dilakukan kerana ada keperluan
- Sesuatu perbuatan yang dikira mandub seperti membunuh ular, kala jengking atau selain dari itu
Kesimpulannya, kami melihat bahawa pergerakan yang dilakukan oleh saudara ketika bersolat di menara kren yang mana perlu bergerak ke belakang dua kali langkahan untuk bersujud dan ke hadapan sebanyak dua kali langkahan ketika bangun adalah tidak membatalkan solat. Cuma nasihat kami adalah supaya mencari tempat yang sedikit luas agar solat yang ingin dilakukan boleh ditunaikan dalam keadaan yang selesa. Jika keadaan tidak mengizinkan tidak mengapa.
Wallahu a’lam.
Bertarikh: 5/1/2022 bersamaan 2 Jamadil Akhir 1443H
[1] https://www.mazzellacompanies.com/learning-center/what-are-the-different-types-of-cranes-used-for-construction/
[2] https://www.kerjayasafety.com/2019/04/kerjaya-sebagai-operator-kren-bagi-kren.html
[3] https://www.hmetro.com.my/utama/2020/11/642083/hidup-atas-sana-bagaikan-penjara-tetapi