Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya berkenaan suami isteri yang bergaduh, kemudian isteri minta suami keluar dari rumah. Apakah hukumnya?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Selepas terjalinnya ikatan antara pasangan suami dan isteri, maka tertulislah bagi mereka tanggungjawab dan hak-hak yang wajib mereka penuhi ke atas pasangan masing-masing. Suka untuk kami nyatakan dahulu hak-hak ini supaya suami dan isteri dapat memahami maqasid dan tujuan perkahwinan dengan baik.

Hak Isteri Ke Atas Suami

Terdapat beberapa hak yang perlu ditunaikan oleh seorang suami untuk isterinya, antaranya hak yang terkait dengan harta dan hak yang tidak terkait dengan harta.

1) Hak yang Terkait dengan Harta: Mahar, nafkah, dan tempat tinggal.

Mahar: Ia adalah wang yang layak diterima oleh isteri daripada suaminya selepas berlakunya akad perkahwinan atau kerana berlaku persetubuhan. Ia adalah hak yang wajib ditunaikan oleh suami, ini berdasarkan firman Allah SWT

وَآتُوا النِّسَاءَ صَدَقَاتِهِنَّ نِحْلَةً

Maksudnya: “Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu maskahwin-maskahwin mereka sebagai pemberian yang wajib.”

(Surah al-Nisaa’: 4)

Dan sebenarnya, pensyariatan membayar mahar ini bagi menzahirkan kepentingan akad perkahwinan itu dan kedudukannya, juga sebagai bentuk kemuliaan kepada isteri tersebut.

Nafkah: Memberi makanan dan tempat tinggal bagi isteri, perkara-perkara ini wajib baginya meskipun dia seorang wanita yang kaya. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ

Maksudnya: “dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.”

(Surah al-Baqarah: 233)

Dan juga seperti dalam firman Allah SWT:

لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِ ۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللَّهُ ۚ

Maksudnya: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu).”

(Surah al-Talaq: 7)

Tempat Tinggal: Suami wajib menyediakan tempat tinggal bagi isterinya mengikut kudrat dan kemampuannya. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

أَسْكِنُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ سَكَنتُم مِّن وُجْدِكُمْ

Maksudnya: “Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu.”

(Surah al-Talaq: 6)

2) Hak yang Tidak Terkait dengan Harta:

Keadilan antara Isteri-isteri: Jika seorang lelaki mempunyai lebih daripada seorang isteri, maka setiap isterinya berhak mendapatkan keadilan dan hak sama rata yang diperolehi oleh isteri-isteri yang lain.

Oleh yang demikian, syara‘ tidak menggalakkan bagi mereka yang tidak mampu untuk berlaku adil jika berkahwin lebih daripada seorang. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَلَّا تَعُولُوا

Maksudnya: “Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.”

(Surah al-Nisaa’: 3)

Pergaulan yang Baik: Suami hendaklah memperbaiki adab dengan isteri dan bersikap baik terhadapnya, serta menghadirkan apa yang boleh dihadiahkan kepadanya yang mampu mengembirakan hatinya. Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ

Maksudnya: “Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”

(Surah al-Nisaa’: 19)

Dan juga firman Allah SWT dalam ayat lain:

وَلَهُنَّ مِثْلُ الَّذِي عَلَيْهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ

Maksudnya: “Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak).”

(Surah al-Baqarah: 228)

Tidak Memudharatkan Isteri: Ini adalah salah satu asas agama islam, bahkan jika mendatangkan kemudharatan itu hukumnya haram kepada umum, maka adalah lebih wajar diharamkan untuk mendatangkan kemudaratan kepada isteri. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

Maksudnya: “Tidak boleh memudharatkan orang lain, dan tidak boleh membalas mudharat (yang dilakukan oleh orang lain dengan mudharat yang lebih besar).”

Riwayat Ibn Majah (1910)

Hak Suami Ke Atas Isteri

Dan perlu juga diketahui, bahawa terdapat juga tanggungjawab dan hak suami yang perlu isteri tunaikan, bahkan hak suami ini sangatlah utama untuk ditunaikan kerana Allah SWT mengangkat darjat seorang isteri lebih tinggi berbanding isteri. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَهُنَّ مِثْلُ الَّذِي عَلَيْهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ وَلِلرِّجَالِ عَلَيْهِنَّ دَرَجَةٌ ۗ

Maksudnya: “Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya).”

(Surah al-Baqarah: 228)

Al-Jassas ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan: “Allah SWT telah menyatakan dalam ayat ini bahawa setiap pasangan mempunyai hak-hak yang berbeza kepada pasangannya, dan suami mempunyai hak-hak khusus yang tidak dimiliki oleh isteri seumpamanya.” (Lihat Ahkam al-Quran, 1/453)

Antara hak-hak suami ke atas isteri yang kami boleh sebutkan adalah seperti berikut:

Wajib Taat Suami: Antara hak suami yang perlu ditunaikan oleh isteri adalah mentaati perintah suami selama mana ia tidak bertentangan dengan syara‘. Allah SWT telah menjadikan lelaki sebagai pemimpin bagi wanita dalam hal perintah, arahan, dan perlindungan. Ini berdasarkan firman-Nya:

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ ۚ

Maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.”

(Surah al-Nisaa’: 34)

Membolehkan Suami untuk Mendatanginya: Ini kerana terdapatnya larangan daripada Rasulullah SAW bagi wanita yang mampu untuk berjimak, tetapi sengaja tidak memenuhi keinginan suaminya. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا دَعَا الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ إِلَى فِرَاشِهِ فَأَبَتْ فَبَاتَ غَضْبَانُ عَلَيْهَا لَعَنَتْهَا الْمَلَائِكَةُ حَتَّى تُصْبِحَ

Maksudnya: “Apabila seorang suami mengajak isteri ke tempat tidurnya (untuk mendatanginya), lalu si isteri enggan datang. Malaikat akan melaknatnya sehingga Subuh.”

Riwayat al-Bukhari (3237) dan Muslim (1436)

Izin Suami: Adalah menjadi hak suami ke atas isterinya untuk meminta izin pada beberapa perkara, seperti membenarkan tetamu masuk ke rumah atau berpuasa. Jika suami tidak mengiziznkan orang yang tidak disukainya masuk ke dalam rumahnya, maka isteri wajib taat. Dan jika suami tidak mengizinkan isteri untuk berpuasa sunat, juga wajib hukumnya untuk taat.

Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لا يَحِلُّ لِلْمَرْأَةِ أنْ تَصُومَ وزَوْجُها شَاهِدٌ إلّا بإذْنِهِ، ولا تَأْذَنَ في بَيْتِهِ إلّا بإذْنِهِ

Maksudnya: “Tidak halal bagi seorang wanita untuk berpuasa sedangkan suaminya berada di rumah, melainkan dengan izinnya. Dan tidak halal juga untuk wanita itu mengizinkan orang masuk ke rumah kecuali dengan izin suaminya.”

Riwayat al-Bukhari (4899) dan Muslim (1026)

Dan juga diharamkan bagi isteri untuk keluar daripada rumah melainkan dengan izin suami. Disebutkan di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah bahawa prinsip asasnya ialah wanita diperintahkan untuk tinggal di rumah, dan mereka dilarang keluar, mereka tidak boleh keluar tanpa izin suaminya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 19/107)

Isteri Menghalau Suami

Sebelum kami menjawab persoalan di atas, marilah kita renung terlebih dahulu hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الدُّنْيَا مَتَاعٌ، وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ

Maksudnya: “Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.”

Riwayat Muslim (1467)

Wanita solehah adalah salah satu nikmat besar yang Allah SWT kurniakan buat para muslimin yang soleh, dan antara ciri-ciri wanita yang solehah adalah mereka yang menunaikan hak-hak suaminya.

Melihat kepada keadaan pasangan yang dinyatakan di dalam soalan, kami katakan bahawa ia bukanlah akhlak yang baik dan tidak sewajarnya dilakukan oleh seorang isteri. Memang terdapat situasi di mana seorang isteri memiliki harta dan kekayaan yang jauh lebih banyak berbanding suaminya, bahkan rumah yang mereka diami juga adalah hak milik persendirian si isteri, akan tetapi perkara ini tidaklah menjadi tiket untuk membenarkan si isteri berkelakuan biadap dan tidak menghormati suami selaku ketua keluarga yang sah di sisi syara‘.

Dari segi hukum pula, si isteri dikira berdosa kerana berkelakuan kasar dengan suaminya. Ini kerana antara hak suami yang telah kami sebutkan di atas adalah isteri wajib mentaati mereka pada perkara yang tidak bertentangan dengan syara‘. Jika perbalahan berlaku kerana si suami memerintahkan isteri untuk melakukan perkara yang ditegah syara‘, perbuatan menghalau suami itu masih tidak menjadi jalan keluar untuk menyelesaikan masalah yang timbul.

Bahkan, sewajarnya apabila berlakunya pergaduhan atau perbezaan pendapat antara suami dan isteri, maka cubalah sebaiknya untuk menyelesaikan konflik yang timbul dengan cara yang matang, seperti membuat perbincangan dengan mendahulukan akal yang waras dan bukannya mendahulukan emosi. Cuba juga sebaik mungkin untuk bertoleransi sesama pasangan, tidaklah menjadi suatu kesalahan jika kita mengalah dan mendahulukan perkataan maaf apabila berlakunya perselisihan.

Sebagai seorang dewasa yang kian meningkat usia, marilah kita hayati kehidupan ini dengan cara yang lebih harmoni. Ketahuilah bahawa pergaduhan itu tidak mendatangkan sebarang faedah, ia hanya akan merosakkan hati dan membuatkan hati kita rasa tidak tenang.

Akhir kalam, kami mengajak semua untuk sentiasa mengakhiri solat mereka dengan doa kepada Allah SWT:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply