Soalan:
Assalamualaikum Dato saya ingin bertanya, Adakah (larangan ihram) dikira semasa kita mula memakai pakaian ihram atau dikira selepas kita niat untuk ihram dan umrah ?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda SAW, para sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّـهِ
Maksudnya: “Dan sempurnakanlah Ibadah Haji dan Umrah kerana Allah.”
(Surah al-Baqarah: 196)
Ayat di atas ditafsirkan bahawa sesiapa yang berniat ihram dengan salah satu daripada ibadah ini (haji atau umrah), maka wajib ke atas dirinya untuk menyelesaikan dan menyempurnakan ibadah berkenaan. Namun, terdapat pendapat lain menyatakan bahawa maknanya adalah menyempurnakan ibadah haji dan umrah secara berasingan — yakni satu-persatu — bukannya dengan cara tamattu‘ dan qiran. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 38).
Makna Ihram
Ihram merupakan rukun utama bagi haji dan umrah. Ibn Ruslan menyebutkan dalam matan al-Zubad:
أَرْكَانُهُ الإِحْرَامُ بِالنِّيَةَ قِفْ # بَعْدَ زَوَالِ التِّسْعِ إِذْ تُعْرَفْ
“Rukunnya adalah berihram dengan niat. Juga berwukuflah
selepas gelincir matahari pada 9 hari bulan jika diketahui.”
Habib Hasan al-Kaff menyebutkan bahawa ihram bermaksud ialah niat untuk memasuki (memulakan) amalan haji atau umrah dengan cara-caranya. Sekiranya seseorang itu berkeinginan untuk mengerjakan ibadah haji atau umrah, maka hendaklah dia berniat dalam hatinya dan melafazkan dengan mulutnya secara perlahan. Kemudian beliau menyebutkan beberapa contoh lafaz niat bagi umrah dan haji. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 475-476.)
Di antara contoh lafaz niat bagi umrah:
نَوَيتُ العُمْرَةَ وَأَحرَمْتُ بِهَا لِلّهِ تَعَالَى ، لَبَّيْكَ اللّهُمَّ بِعُمْرَةِ
Maksudnya: “Sahaja aku mengerjakan umrah dan berihram dengannya kerana Allah ta‘ala, Aku menyahut seruan-Mu Ya Allah untuk menunaikan umrah.”
Manakala contoh lafaz niat bagi haji pula:
نَوَيتُ الحَجَّ وَأَحرَمْتُ بِهِ لِلّهِ تَعَالَى ، لَبَّيْكَ اللّهُمَّ بِحَجَّةِ
Maksudnya: “Sahaja aku mengerjakan haji dan berihram dengannya kerana Allah ta‘ala, Aku menyahut seruan-Mu Ya Allah untuk menunaikan haji.”
Menjawab bagi persoalan yang diajukan, kami nyatakan di sini niat ihram seafdhalnya bermula selepas selesai mandi, solat dan menaiki kenderaan dari miqatnya dan ketika itulah dikira larangan ihram, iaitu selepas niat. Setelah mula berniat ihram di miqat makani dan memulakan manasik maka bagi seseorang yang ingin melakukan haji atau umrah dilarang melakukan perkara-perkara yang ditegah ketika berihram.
Ibn Baz ketika menerangkan tentang larangan-larangan dalam ihram beliau menyatakan : larangan dalam ihram adalah apa yang dihalalkan bagi muhrim (orang yang berihram) melakukannya sebelum niat ia dilarang selepas berniat ihram samada lelaki atau perempuan seperti mencabut rambut, memotong kuku dan memakai wangian. (Lihat al-Tahqiq wa al-Idhah li Kathir min Masail al-Haj wa al-Umrah wa al-Ziarah, hlm.33)
Justeru, hikmah di sebalik larangan-larangan tersebut adalah untuk mendidik manusia agar menyembah Allah Yang Maha Mulia dan Maha Suci dengan menahan diri daripada amalan biasa yang telah menjadi kebiasaan. Ia merupakan suatu tempoh tarbiah, latihan dan jalan untuk mencapai ubudiah kepada Allah SWT. Oleh itu, perhambaan adalah ketaatan kepada Allah SWT dalam mematuhi perintah-Nya dan menjauhi apa yang ditegah olehNYA.
Semoga Allah memberi kefahaman yang baik dalam melaksanakan syariat-syariatnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اجْعَلْ حَجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيًا مَشْكُوْرًا وَذَنْبًا مَغْفُوْرًا وَعَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا وَتِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ. يَا عَزِيْزُ يَا غَفُوْرُ يَا رَبَّ الْعَالَمِين
Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah haji ini haji yang mabrur, sa’i yang diterima, dosa yang diampuni dan amal shaleh yang dikabulkan dan perdagangan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.wahai Tuhan yang maha pengampun, Tuhan sekalian alam.”
Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H