Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah menggunakan harta dan barang masjid untuk melaksanakan ibadah korban di masjid tersebut?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda SAW, para sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَالْبُدْنَ جَعَلْنَاهَا لَكُم مِّن شَعَائِرِ اللَّهِ لَكُمْ فِيهَا خَيْرٌ ۖ فَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهَا صَوَافَّ ۖ فَإِذَا وَجَبَتْ جُنُوبُهَا فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ ۚ كَذَٰلِكَ سَخَّرْنَاهَا لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Maksudnya: “Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syiar ugama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.

(Surah al-Hajj: 36)

Berkenaan dengan korban di perkarangan masjid, bagi saya ia adalah satu langkah yang amat baik untuk menjadikan masjid sebagai tempat berhimpunnya masyarakat Islam. Menjawab persoalan di atas, saya bahagikan kepada dua:

  • Jika barangan masjid yang digunakan seperti kuali, periuk, kawah, maka itu tidak menjadi sebarang kesalahan kerana itulah sebenarnya matlamat untuk kegunaan masyarakat Islam dan ahli kariah masjid tersebut.
  • Jika sekiranya menggunakan jenis minyak, gula, beras, maka di situ perlulah dilihat tujuan asal bahan makanan tersebut, sama ada diberikan kepada fakir miskin atau asnaf. Kalau seperti ini, maka tidak dibolehkan. Sebaliknya, jika bersifat umum dan memang diperuntukkan melalui tabungan yang khas untuk jamuan makan minum sempena dengan hari-hari yang tertentu, maka hukumnya dibolehkan.

Saya syorkan pihak masjid apabila jemaah yang ingin menyertai korban perlu mengambil kira kos-kos sampingan pada satu bahagian lembu atau kerbau. Sebagai contoh, kos yang terkait dengan penghantaran lembu, pembelian gas, rempah-ratus untuk memasak, teh, gula atau kopi untuk minuman. 

Peralatan seperti plastik atau bekas untuk diagihkan kepada fakir miskin daging-daging korban perlulah juga diambil kira. Sebagai contoh, harga satu bahagian RM600, mungkin dimasukkan sekali keseluruhan menjadikan RM650. Hal ini tidak akan membebankan jawatankuasa masjid dan pengendali ibadat korban.

Semoga kita semua meraih penerimaan di sisi Tuhan dalam ibadat korban.

رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا ۖ إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ،  وَتُبْ عَلَيْنَا ۖ إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ 

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui; dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”

Bertarikh: 27 Jun 2023 bersamaan 8 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply