Soalan:

Assalamualaikum YB Datuk. Saya ada terbaca saya kenyataan dari group whatsapp dan saya ingin kepastian tentang ini. Mohon pandangan daripada YB Datuk berkenaan:

“Kalau benih suami dikeluarkan secara haram contohnya dikeluarkan dengan tangan sendiri kemudian dimasukkan ke dalam rahim isteri. Maka, anak itu tidak boleh dibinkan kepadanya. Berbeza kalau air mani suami keluar dengan cara yang mulia/diizin syarak contohnya isteri yang mengeluarkan air mani suami lalu dimasukkan ke dalam rahimnya (isteri). Maka, anak yang terbentuk akan dibinkan kepada si suami. Apa yang disebut oleh fuqaha’ kita dalam kitab turath boleh menjawab apa yang banyak berlaku hari ini. Tinggal lagi kita perlu usaha untuk fahami turath dengan baik dan gambaran waqi’ semasa.”

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Onani ialah perbuatan mengeluarkan mani dengan tangan. Lafaz “الاسْتِمْنَاء” atau onani berasal daripada kata terbitan “اسْتَمْنَى” iaitu usaha mengeluarkan air mani. Manakala dari sudut istilah pula ia bermaksud mengeluarkan air mani tanpa melalui proses persetubuhan, sama ada secara haram seperti menggunakan tangan bagi memenuhi tuntutan syahwat, ataupun secara tidak haram, seperti mengeluarkan air mani melalui tangan isteri. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 4/97)

Firman Allah SWT :

وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ إِلَّا عَلَىٰ أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ فَمَنِ ابْتَغَىٰ وَرَاءَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْعَادُونَ

Maksudnya:(Dan golongan yang beriman itu) adalah mereka yang memelihara kemaluan mereka. Melainkan ke atas para isteri mereka atau hamba-hamba sahaya mereka, sesungguhnya mereka itu tidak tercela. Maka sesiapa yang mencari-cari di sebalik itu mereka merupakan golongan yang melampaui batas.”

(Surah al-Mukminun: 5 – 7)

Para ulama kebanyakannya menyatakan bahawa hukum beronani adalah haram. Imam Syafie ketika mengulas ayat di atas menyatakan bahawa :

فَلَا يَحِلُّ الْعَمَلُ بِالذَّكَرِ إلَّا فِي الزَّوْجَةِ أَوْ فِي مِلْكِ الْيَمِينِ وَلَا يَحِلُّ الِاسْتِمْنَاءُ

Maksudnya:Tidak halal menggunakan zakar melainkan kepada isteri atau kepada hamba perempuan yang dimiliki. Dan tidak halal juga perbuatan istimna’ (mengeluarkan air mani).” (Lihat al-Umm, 5/102)

Kesimpulan

Berdasarkan persoalan di atas, kami katakan bahawa sekiranya air mani suami dikeluarkan secara haram seperti ia dikeluarkan dengan tangan suami itu sendiri dengan cara onani, kemudian dimasukkan ke dalam rahim isteri, ia tidak akan menjejaskan nasab anak tersebut dengan syarat air mani itu adalah daripada air mani suami dan dan air mani itu mestilah air mani yang keluar setelah berlakunya akad nikah.

Selain itu, kitab turath merupakan karya yang diwarisi secara lisan atau tulisan kepada umat Islam yang mana usianya mungkin mencecah lebih seratus tahun. Sebahagian pendapat menyatakan bahawa ia adalah ilmu dan tulisan hasil pandangan-pandangan penulis zaman berzaman dan kitab turath yang paling agung ialah al-Quran dan kitab-kitab hadith yang diwariskan kepada kita sejak zaman berzaman sehinggalah kini.

Seperti yang disebut dalam teks tersebut, tidak dinafikan bahawa kebanyakan permasalahan yang berlaku yang disebut oleh ulama’ dalam kitab-kitab turath mereka berlaku pada masa kini, namun tidak semuanya perlu terikat dengan teks dalam kitab-kitab turath tersebut. Kadang-kadang masalah yang berlaku pada tahun 2023 Masihi ini berbeza dan tidak sama dengan permasalahan yang berlaku pada tahun 500 Hijrah. Oleh itu, semua permasalahan yang berlaku pada masa kini perlu diteliti dengan betul sebelum sesuatu fatwa itu dikeluarkan. Hal ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam al-Qarafi:

وَالْجُمُودُ عَلَى الْمَنْقُولَاتِ أَبَدًا ضَلَالٌ فِي الدِّينِ وَجَهْلٌ بِمَقَاصِدِ عُلَمَاءِ الْمُسْلِمِينَ وَالسَّلَفِ الْمَاضِينَ

Maksudnya:Kejumudan terhadap fatwa-fatwa dan pandangan ulama’ terdahulu adalah satu kesesatan dalam agama dan satu kejahilan terhadap maksud sebenar mereka.” (Lihat Anwar al-Buruq fi Anwa’ al-Furuq, 1/177)

Begitu juga Ibn ‘Abidin al-Syami, faqih mazhab Hanafi pernah berpesan: “Seorang mufti tidak seharusnya bersikap jumud terhadap nukilan pandangan terdahulu yang terdapat dalam kitab hanya semata-mata berdasarkan zahir riwayat tanpa meraikan suasana zaman dan masyarakat setempat. Jika tidak, banyak hak-hak yang akan diketepikan, dan membawa mudarat yang lebih besar daripada kebaikan.” (Lihat Rasa’il Ibn ‘Abidin, 2/131)

Semoga Allah sentiasa menunjukkan kita ke jalan yang benar dan diredhai-Nya:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اِتِّبَاعه وَأَرِنَا الْبَاطِل بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اِجْتِنَابه وَلَا تَجْعَلهُ مُتَلَبِّسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami untuk menjauhinya dan janganlah Kamu jadikannya keliru atas kami yang menyebabkan kami menyimpang dari kebenaran dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”

Bertarikh: 27 Jun 2023 bersamaan 8 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply