Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya baru saja menjual rumah saya, adakah perlu saya bayar zakat?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ

Maksudnya: “Dan dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat.”

(Surah al-Baqarah: 43)

Syeikh al-Sa‘di menyebutkan, ayat di atas mengandungi perintah Allah SWT untuk mendirikan solat dengan rukun-rukunnya, syarat-syaratnya dan adab-adabnya, zahir dan batin. Begitu juga mengeluarkan zakat daripada harta-harta yang telah Allah SWT kurniakan kepada para hamba-Nya, lalu memberikannya kepada orang-orang fakir dan selainnya yang terdiri daripada penerima-penerima zakat yang telah disebutkan oleh Allah SWT. Kedua-dua ibadah ini adalah sebesar-besar ketaatan. Terhimpun padanya hak Allah dan hak makhluk-Nya iaitu mengikhlaskan diri kepada-Nya sebagai Tuhan yang berhak disembah dan bersikap ihsan kepada para hamba-Nya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, hlm. 570)

Melihat kepada persoalan yang ditanyakan, kami sebutkan terlebih dahulu 2 bentuk zakat yang pada zahirnya kelihatan serupa sehingga mengelirukan sebahagian pihak dalam situasi yang disebutkan, iaitu zakat perniagaan dan zakat wang simpanan.

1) Zakat Perniagaan

Zakat perniagaan ialah zakat yang wajib dikeluarkan hasil daripada harta perniagaan sama ada berasaskan pembuatan, perlombongan, perikanan, perkapalan, pembekalan, pertanian, perkhidmatan atau sebagainya dengan tujuan diperniagakan.

Sebagai contoh, jika saudara yang bertanya memang membuat perniagaan dengan cara membeli rumah, kemudian menjualnya semual dengan mengambil keuntungan. Kemudian saudara berterusan mengulang proses ini, maka keuntungan yang diperoleh tersebut adalah daripada hasil perniagaan.

Kewajipan menunaikan zakat perniagaan ini berdasarkan firman Allah SWT:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ أَنفِقُوا۟ مِن طَیِّبَـٰتِ مَا كَسَبۡتُمۡ وَمِمَّاۤ أَخۡرَجۡنَا لَكُم مِّنَ ٱلۡأَرۡضِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, keluarkan zakat sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu.”

(Surah al-Baqarah: 267)

Imam al-Tabari berkata ketika menafsirkan kalimah (مَا كَسَبۡتُمۡ), Allah SWT memerintahkan untuk mengeluarkan zakat daripada hasil usaha yang baik-baik, sama ada usaha berbentuk perniagaan, atau industri pembuatan barangan emas dan perak. (Lihat Jami‘ al-Bayan fi Tafsir Ayi al-Quran, 5/555)

Diriwayatkan juga daripada Abu Musa al-Asy‘ari R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ صَدَقَةٌ، فَقَالُوا: يَا نَبِيَّ اللَّهِ، فَمَنْ لَمْ يَجِدْ؟ قَالَ: يَعْمَلُ بِيَدِهِ، فَيَنْفَعُ نَفْسَهُ وَيَتَصَدَّقُ قَالُوا: فَإِنْ لَمْ يَجِدْ؟ قَالَ: يُعَيِّنُ ذَا الْحَاجَةِ الْمَلْهُوفَ قَالُوا: فَإِنْ لَمْ يَجِدْ؟ قَالَ: فَلْيَعْمَلْ بِالْمَعْرُوفِ، وَلْيُمْسِكْ عَنْ الشَّرِّ، فَإِنَّهَا لَهُ صَدَقَةٌ

Maksudnya: “‘Menjadi sesuatu kewajipan ke atas setiap muslim untuk bersedekah (zakat)’. Mereka (para sahabat) bertanya: ‘Wahai Rasulullah, bagaimana yang tidak mempunyai harta?’. Baginda menjawab: ‘Bekerja untuk mendapat sesuatu untuk dirinya lalu bersedekah.’ Mereka bertanya: ‘Kalau tidak mempunyai pekerjaan?’. Baginda bersabda: ‘Tolonglah mereka yang meminta pertolongan.’ Mereka bertanya lagi: ‘Bagaimana pula jika tidak berkuasa?’. Baginda menjawab: ‘Kerja ke jalan kebaikan dan tinggalkan kejahatan, hal itu merupakan sedekah’.”

Riwayat al-Bukhari (1445) dan Muslim (1008)

2) Zakat Wang Simpanan

Manakala zakat wang simpanan pula bermaksud zakat wang yang dikumpulkan dan diletakkan di dalam simpanannya. Ia diwajibkan apabila mencukupi haul dan juga nisab yang diwajibkan zakat.

Sebagai contoh, jika saudara yang bertanya sudah tinggal lama di rumah tersebut, akan tetapi timbul keinginan untuk berpindah ke rumah yang lain atas faktor-faktor tertentu, lalu dia menjual rumah tersebut dan berpindah ke rumah yang lain. Di sini, wang yang diperoleh saudara itu bukanlah hasil daripada perniagaan sebagai pemaju perumahan, akan tetapi lebih kepada menjual barang yang dimiliki kerana sudah tidak memerlukannya. Wang tersebut mungkin di simpan, atau mungkin juga digunakan untuk membeli sesuatu yang lebih diperlukan.

Dalil kewajipan zakat wang simpanan ini berdasarkan qias wang kepada emas dan perak. Diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَيْسَ فِيمَا دُونَ خَمْسِ أَوَاقٍ مِنَ الْوَرِقِ صَدَقَةٌ

Maksudnya: “Tidak wajib zakat perak jika jumlahnya kurang daripada lima Uqiyah (40 dirham).”

Riwayat al-Bukhari (1413) dan Muslim (980)

Pengarang al-Fiqh al-Manhaji berkata bahawa tidak dikenakan zakat pada emas sehingga jumlahnya 20 mithqal, manakala perak pula 200 Dirham. Ini berdasarkan hadith daripada Ali bin Abu Talib R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا كَانَتْ لَكَ مِائَتَا دِرْهَمٍ، وَحَالَ عَلَيْهَا الْحَوْلُ، فَفِيهَا خَمْسَةُ دَرَاهِمَ، وَلَيْسَ عَلَيْكَ شَيْءٌ يَعْنِي فِي الذَّهَبِ حَتَّى يَكُونَ لَكَ عِشْرُونَ دِينَارًا فَإِذَا كَانَ لَكَ عِشْرُونَ دِينَارًا، وَحَالَ عَلَيْهَا الْحَوْلُ، فَفِيهَا نِصْفُ دِينَارٍ، فَمَا زَادَ فَبِحِسَابِ ذَلِكَ

Maksudnya: “Apabila kamu memiliki 200 dirham, dan telah cukup setahun zakatnya sebanyak 5 dirham. Kamu tidak wajib berzakat emas sehinggalah memiliki 20 dinar. Apabila kamu memiliki 20 dinar, dan telah cukup setahun, maka zakatnya 1/2 dinar. Jika kamu memilikinya lebih daripada itu, maka ikutilah cara pengiraan tersebut.”

Riwayat Abu Daud (1573)

Berdasarkan hadiyh di atas, dapat kita ketahui bahawa kadar zakat emas dan perak jika dikira ialah sebanyak 2.5%, maka itulah jumlah yang diwajibkan bagi seseorang keluarkan daripada jumlah wang simpanannya.

Berdasarkan apa yang kami fahami daripada situasi saudara yang bertanya, saudara lebih cenderung kepada mereka yang diwajibkan untuk mengeluarkan zakat wang simpanan apabila cukupnya haul dan nisab.

Diriwayatkan daripada ‘Ali bin Abi Talib R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَلَيْسَ فِي مَالٍ زَكَاةٌ حَتَّى يَحُولَ عَلَيْهِ الْحَوْلُ

Maksudnya: “Tidak wajib zakat harta sehingga berlalu waktu setahun qamari.”

Riwayat Abu Daud (1573) dan Ibn Majah (1789)

Kami juga menyarankan saudara untuk pergi ke Pusat Pungutan Zakat (PPZ) bagi mendapatkan perincian mengenai zakat wang simpanan hasil jualan rumah tersebut. Semoga Allah SWT jadikan kita antara yang sentiasa mengeluarkan zakat, sama ada zakat harta, perniagaan atau pun fitrah. Amin.

Wallahu a‘lam

 

Bertarikh: 27 Jun 2023 bersamaan 8 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply