Soalan:
Assalamualaikum Datuk Dr. saya ada satu pertanyaan berkaitan dengan kecurangan ayah saya, kami adik beradik ada nampak message ayah berkasih sayang dengan perempuan lain bersama gambar-gambar mereka dalam telefon.
Setakat ini hanya kami adik beradik yang tahu tentang kecurangan ayah. Kami adik beradik dalam dilema perlukah perkara ini perlu diberi tahu kepada ibu kami kami khuatir jika diberitahu perkara ini kepada ibu kami jatuh sakit atau pun perkara-perkara lain yang tak dapat kami jangka.
Kami adik beradik juga semua sudah berkeluarga dan kami juga terkilan perkara ini jadi dalam keluarga kami. Saya harap Datuk Dr. dapat memberi pandangan tentang pertanyaan ini insyaAllah. Terima Kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”
(Surah al-Nisa: 19)
Syeikh al-Maraghi menyatakan dalam tafsirnya: “Pada kalimah mu`asyarah terdapat makna pergaulan dan kesamarataan, iaitu hendaklah kamu orang lelaki bergaul dengan mereka secara ma`ruf (baik) dan mereka juga hendaklah bergaul dengan kamu dengan baik juga. Maka wajib setiap pasangan itu mendatangkan kegembiraan dan senang hati kepada pasangan yang satu lagi dan menjadikan diri sebagai sebab bagi kelembutan dan kebahagian dalam kehidupan dan tempat tinggal bersama. (Lihat Tafsir al-Maghari,hlm.213-214)
Wajib ke atas suami isteri saling bergaul dengan cara yang baik. Seumpama mengelakkan daripada perkara yang tidak disukai oleh pasangannya, menyempurnakan hak dan saling meredhai antara satu sama yang lain serta saling menggembirakan dengan tidak mendatangkan sesuatu hajat yang membebankan pasangan melainkan perkara-perkara asas, pembiayaan nafkah dan seumpamanya”. (Lihat I’anah al-Talibin, 3/421)
Menjawab bagi persoalan di atas, dapat kami nyatakan disni tidak bertabayyun di dalam sesuatu berita itu boleh menyebabkan terjadinya prasangka yang buruk berlaku di kalangan keluarga atau masyarakat serta keadaan yang kurang baik. Allah SWT melarang daripada melakukan perbuatan ini sepertimana firmannya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.
(Surah al-Hujurat, 12)
Dalam isu ini pertamanya, kita perlulah bersangka baik, boleh jadi perempuan di dalam messege tersebut merupakan isteri kepada bapa saudara/saudari. Oleh yang demikian, adik beradik perlulah mendapat penjelasan terlebih dahulu daripada bapa tentang isu yang berlaku dan berbincang lah dengan baik. Jangan libatkan ibu dalam isu ini bagi menghindari perkara yang lebih merumitkan lagi keadaan .
Justeru, saya nasihati supaya apa-apa masalah yang berlaku dalam keluarga dapat diselesaikan dengan cara yang baik dan dapat mengharmonikan kembali keadaan.
Kami akhiri dengan doa :
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”
(Surah al-Baqarah:201)
Bertarikh: 27 Jun 2023 bersamaan 8 Zulhijjah 1444 H