#2019: Perkhidmatan Cash-out eBeliaRahmah yang Dikenakan Caj

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada persoalan, adakah perkhidmatan cash-out eBeliaRahmah yang dikenakan caj tanpa persetujuan mempunyai unsur riba?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Sebelum kami menjawab persoalan di atas, suka untuk kami nyatakan  terlebih dahulu hukum cash-out (mengeluarkan wang) sumbangan eBeliaRahmah yang diberikan oleh Kerajaan Malaysia melalui medium Touch ‘n Go eWallet. Perbuatan cash-out sumbangan eBeliaRahmah adalah haram kerana ia telah melanggar syarat-syarat yang telah ditetapkan. Antara syarat-syarat tersebut adalah:

  • Boleh digunakan untuk transaksi runcit di kedai.
  • Tidak boleh digunakan untuk RFID dan PayDirect di pondok tol.
  • Tidak boleh digunakan untuk membuat transaksi online (atas talian), termasuklah transaksi kepada peniaga luar negara.
  • Tidak boleh digunakan untuk membayar bil, prabayar, pascabayar dan kredit permainan.

Jika perkhidmatan ini dilakukan dalam keadaan individu tersebut sedia maklum tentang syarat-syarat yang disebutkan, dan dia mengenakan caj tersebut ke atas orang lain tanpa mendapatkan persetujuan, maka dia telah melanggar dua larangan syara‘.

Larangan Pertama: Melanggar Amanah

Syara‘ melarang orang-orang mu’min daripada perbuatan pecah amanah, hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui.”

(Surah al-Anfal: 27)

Mematuhi perjanjian juga merupakan antara sifat seorang mu’min seperti yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ

Maksudnya: “(Orang mu’min itu ialah) yang menunaikan amanah dan perjanjian mereka.”

(Surah al-Mu’minin: 8)

Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas berkata: “Yakni, jika mereka (orang mu’min) diberi amanah, mereka tidak mengkhianati, malah mereka mengembalikannya kepada pemiliknya. Dan jika mereka membuat perjanjian atau akad, mereka memenuhinya (terma dan syarat).” (Lihat afsir al-Quran al-‘Azim, 5/404)

Larangan Kedua: Memakan Harta Orang Lain dengan Cara Zalim

Mengenakan caj perkhidmatan tanpa persetujuan tidaklah mempunyai unsur riba, akan tetapi ia merupakan suatu bentuk perbuatan zalim terhadap orang lain. Terdapat larangan yang jelas di dalam al-Quran daripada memakan harta orang dengan cara yang batil. Hal yang demikian berdasarkan firman Allah SWT:

لا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَنْ تَكُونَ تِجَارَةً عَنْ تَرَاضٍ مِنْكُمْ

Maksudnya: “Janganlah kamu makan harta di kalangan kamu dengan cara yang batil kecuali berlakunya jual beli yang kamu redhai antara kamu.”

(Surah al-Nisa’: 29)

Imam al-Tabari mengatakan bahawa Allah SWT melarang orang-orang yang beriman daripada saling memakan harta sesama mereka dengan cara yang diharamkan, seperti riba, berjudi, dan lain-lain yang diharamkan Allah SWT, kecuali berlakunya jual beli yang kamu redhai. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 8/216)

Bahkan Allah SWT telah menyatakan dengan jelas ancaman yang dahsyat buat mereka yang berbuat zalim ini. Firman Allah SWT:

وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ عُدْوَانًا وَظُلْمًا فَسَوْفَ نُصْلِيهِ نَارًا ۚ وَكَانَ ذَٰلِكَ عَلَى اللَّـهِ يَسِيرًا

Maksudnya: “Dan sesiapa berbuat demikian (makan harta dengan cara batil dan berbunuhan) dengan menceroboh dan aniaya, maka kami akan masukkan dia ke dalam api neraka, dan balasan yang sedemikian itu adalah mudah bagi Allah, (tidak ada sesiapapun yang dapat menghalangnya).”

(Surah al-Nisa’: 30)

Sementelahan pula, perbuatan menyediakan perkhidmatan cash-out ini dalam keadaan telah jelas larangannya, adalah suatu bentuk pertolongan melakukan suatu perbuatan dosa. Allah SWT telah berfirman:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.”

(Surah al-Ma’idah: 2)

Akan tetapi, jika Kerajaan Malaysia memberikan kebebasan kepada penerima eBeliaRahmah untuk melakukan apa-apa transaksi atas kehendak mereka, tanpa mengikatnya dengan apa-apa syarat, maka hukum cash-out (mengeluarkan wang) eBeliaRahmah tersebut adalah diharuskan. Ini berdasarkan umum kaedah fiqhiyyah yang menyebutkan:

الْأَصْلُ فِي الْعُقُودِ رِضَا الْمُتَعَاقِدَيْنِ

Maksudnya: “Asal bagi setiap akad (kontrak) adalah redha antara dua orang yang melakukan akad.”

Apabila cash-out ini dibenarkan, maka secara tidak langsung dibolehkan juga untuk seseorang membuat perkhidmatan cash-out dengan menetapkan bayaran tertentu sebagai bentuk upah bagi khidmat pemindahan wang yang telah dilakukan.

Sebaiknya, jika ingin mengambil keuntungan daripada apa-apa upah perkhidmatan, biarlah dengan harga yang munasabah dan sesuai dengan kemampuan pelanggan, dan janganlah sehingga menindas mana-mana pihak.

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 27 Jun 2023 bersamaan 8 Zulhijjah 1444 H

2 thoughts on “#2019: Perkhidmatan Cash-out eBeliaRahmah yang Dikenakan Caj

  1. afiq says:

    bagaimana mana pula kalau kita ambil upah tolak terus dari duit yang ditransfer contohnya kalau dia transfer RM200 lepastu kita ambil upah RM5 dan transfer balik kepada dia RM195..adakah ia dikira riba?

    • aiman says:

      dah dinyatakan pd awal artikel, hukum mengeluarkan/ memberi servis cash out itu sendiri haram sbb kerajaan dh tetapkan syarat bgaimana & d mana duit tu mesti digunakan.. jadi mmg tkboleh cashout walaupun kita kenakan servis charge serendah seringgit/ 5 ringgit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *