Soalan

Apakah hukum memberi salam?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Ucapan salam merupakan ucapan sejahtera dan selamat bertujuan memberi penghormatan sesama saudara muslim. Kebiasaan lafaz yang digunakan seperti assalamualaikum, salam sejahtera dan ucapan selamat yang lain. Firman Allah SWT:

وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ حَسِيبًا

Maksudnya:Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu”.

(Surah al-Nisa’: 86)

Di dalam mentafsirkan ayat di atas, Syeikh al-Sa’di menyatakan di dalam kitabnya: Ucapan salam merupakan lafaz yang diucapkan dan dijawab kepada seseorang untuk memuliakan dan mendoakan kebaikannya. (Lihat Tafsir al-Sa’di, 1/191)

Para ulama’ mazhab Maliki mengatakan majoriti umat Islam berpendapat bahawa hukum memberi salam adalah sunat, manakala hukum menjawab salam adalah fardhu berdasarkan ayat ini.

Ibn al-Arabi menukilkan pandangan salah seorang ulama’ mazhab maliki iaitu Abdul Wahhab, katanya: Memberi dan menjawab salam hukumnya fardhu kifayah jika berada dalam satu kumpulan. Oleh itu, memberi salam adalah fardu bagi orang yang dikenali, dan sunat jika tidak dikenali. Hal ini kerana orang yang dikenali jika tidak diucapkan salam kepadanya akan menyebabkan dia terasa hati. Perbincangan memberi salam turut berlarutan kepada orang yang berdiri memberi salam kepada orang yang duduk, orang yang berjalan memberi salam kepada orang yang berhenti, orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang ramai, orang muda kepada orang yang lebih tua, dan lain-lain keadaan sebagaimana yang diceritakan di dalam hadith Nabi SAW. (Lihat Ahkam al-Quran, 2/330)

Antara hadith Nabi SAW yang menceritakan akan kelebihan “Salam” serta perintah menyebarkannya adalah riwayat daripada Abdullah bin Amr bin al-Ash RA, katanya:

أنَّ رجلًا سأَل النبيَّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم : أيُّ الإسلامِ خيرٌ ؟ قال : تُطعِمُ الطعامَ، وتَقرَأُ السلامَ، على مَن عرَفتَ، وعلى مَن لم تَعرِفْ

Maksudnya: “Seorang lelaki telah bertanya Rasulullah SAW: Islam manakah yang paling baik? Nabi SAW bersabda: “Kamu memberi makan, mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan yang tidak kamu kenal”.

Riwayat al-Bukhari (11), (27), (5767) dan Muslim (56)

Pada asalnya hukum memberi salam adalah disunatkan, ini merupakan pandangan Mazhab Maliki, Syafi’e dan Hanbali. Dan menjawab salam itu adalah diwajibkan dan sekira diberikan salam itu kepada sekumpulan manusia maka hukumnya fardhu kifayah ke atas mereka. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 25/161)

Selain itu Imam al-Nawawi menyatakan di dalam kitabnya: Hukum memulakan salam itu adalah sunat muakkad. Adapun hukum menjawab salam adalah fardu atau wajib secara ijma’. Sekiranya seseorang memberi salam kepada seseorang yang lain maka yang kedua itu wajib menjawabnya sebagai fardu ain. Manakala sekiranya diberi salam kepada sekelompok manusia, maka menjawabnya menjadi fardu kifayah. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/493-494)

Sebagai penutup, marilah sama-sama kita menjaga sunnah memberi salam ini kerana ia amat dituntut di dalam agama ini. Semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dalam mengamalkan sunnah Nabi SAW serta memelihara kita daripada sifat-sifat yang dikeji oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh 5 Januari 2022 bersamaan 2 Jamadil Akhir 1443 H

Leave a Reply