Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya baru habis membaca huraian Dr. untuk soalan #1743 tentang tempat mukim. Saya mahu bertanya berkenaan kategori sahib al-baladain. Bapa saya memiliki tiga rumah yang berbeza; di Pahang, Kelantan dan Kedah. Ibu dan bapa saya bermukim di Pahang. Dari Pahang, kami sekeluarga bermusafir ke Kelantan (lebih 2 marhalah dan tidak melebihi 3 hari),. Adakah ahli keluarga lain (saya, isteri dan ibu) termasuk dalam kategori sahib al-baladain dan hanya boleh solat qasar dan jamak dalam perjalanan atau ini khusus untuk bapa saya (pemilik/orang yang membayar rumah tersebut). Rumah milik bapa saya di Kedah, bapa saya sewakan kepada saya dan isteri. Jika ibu dan bapa saya melawat saya di Kedah dari Pahang (lebih 2 marhalah dan tidak melebihi 3 hari), adakah kedua mereka boleh jamak dan qasar selain hari perjalanan?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Allah SWT di dalam firmannya:

 وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Dan jika kamu bermusafir di muka bumi ini, maka tidak berdosa ke atas kamu untuk memendekkan solat (solat empat rakaat dijadikan kepada dua rakaat).”

(Surah al-Nisa’:101)

Imam al-Nawawi berkata: “Ayat ini mengaitkan hukum qasar dengan al-darb `ala al-ardh (permusafiran). Justeru, jika seseorang ialah penduduk suatu kota maka dia boleh qasar apabila dia berpisah daripada bangunan yang dinisbah kepada kota tersebut.” (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 4/346)

Nabi SAW yang menyebut secara umum:

السَّفَرُ قِطْعَةٌ مِنْ الْعَذَابِ يَمْنَعُ أَحَدَكُمْ نَوْمَهُ وَطَعَامَهُ فَإِذَا قَضَى نَهْمَتَهُ مِنْ وَجْهِهِ فَلْيُعَجِّلْ إِلَى أَهْلِهِ

Maksudnya: “Permusafiran itu adalah sebahagian daripada azab. Ianya menghalang kamu daripada tidur dan makan. Apabila telah selesai menunaikan hajat daripada permusafiran tersebut, maka segeralah kembali kepada ahli keluarganya.”

Riwayat al-Bukhari (5429) dan Muslim (1927) daripada Abu Hurairah R.A

Kata ulama’, musafir itu sejuzuk daripada kesengsaraan, yang merangkumi perasaan kejiwaan, perpisahan dengan orang yang dikasihi dan pelbagai lagi.

Al-Qadhi ‘Iyadh menjelaskan: “Di dalam permusafiran terdapat kepenatan dan kesusahan. Ia juga menghalang dari makan dan minum kerana terkadang itu makanan dan minuman boleh jadi ada dan boleh juga tiada ketika permusafiran.” (Lihat Ikmal al-Mu’lim Bi Fawaid Muslim, 6/178)

Mulla Ali al-Qari menyebut: “Permusafiran menyebabkan kita terpaksa berjauhan dengan ahli keluarga dan sahabat, serta susahnya hidup (di permusafiran).” (Lihat Mirqah al-Mafatih Syarh Mishkat al-Masabih, 7/414)

Menjawab persoalan di atas, kami bahagikan kepada beberapa noktah:

  • Adapun ayah dan ibu anda selama mana rumah tersebut rumahnya dan juga sering datang maka dia dianggap sebagai sahib al-baladain atau lebih. Justeru, kebenaran berqasar jamak terhad kepada semasa perjalanan musafir sahaja.
  • Ayah dan ibu anda dikira sekali kerana ibu anda adalah isteri kepada ayah anda. Kedua-duanya adalah sahib al-baladain. 
  • Oleh kerana anda sudah berkahwin dan telah menetap di Kedah dan menyewakan daripada ayah anda, anda tetap dianggap sebagai bermukim di Kedah. Justeru, jika anda pergi ke Pahang atau Kelantan, maka anda berhak untuk qasar jamak jika kurang dari 3 hari. 
  • Berkenaan dengan bapa anda yang datang menziarahi ke rumah anda di Kedah, saya berpendapat dalam situasi seperti ini dia berhak untuk qasar jamak selama mana tinggal di Kedah kerana seolah-olah dia melepaskan haknya kepada anda walaupun secara sewaan. Semoga pencerahan seperti ini memberi keyakinan kepada kita untuk sentiasa cakna dan prihatin berkenaan dengan ibadat solat. Amin.

Semoga kita semua termasuk dalam golongan yang mendirikan solat. Marilah sama-sama kita berdoa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Bertarikh: 27 Jun 2023 bersamaan 8 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply