Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Maafkan saya yang ingin bertanya. Adakah al-Quran itu semuanya terkandung 4 Mazhab sehingga seluruh seisi buku nashkah terkini al- Quran yang diterbitkan?

 Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Terlebih dahulu kami definisikan maksud dan makna mazhab. Perkataan mazhab berasal daripada perkataan bahasa Arab ‘ذَهَبَ – يَذْهَبُ – ذَهَابًا – ذُهُوْبًا – مَذْهَبًا’ yang membawa maksud berjalan (pergi) atau melalui. Manakala ‘الْمَذْهَبُ’ membawa erti i’tiqad, jalan dan usul (prinsip-prinsip) yang dipegang dan diamalkannya. (Lihat al-Qamus al-Muhit, hlm. 111) Sebagai contoh, disebut: Mazhab kami adalah mazhab sepuluh orang yang dijamin masuk syurga dan Imam Ahmad. (Lihat al-Kulliyyat, hlm. 878)

Ibn Manzur menjelaskan bahawa mazhab dari sudut bahasa ialah suatu pegangan yang diikuti. (Lihat Lisan al-‘Arab, 3/1152) Selain itu, mazhab dari sudut bahasa juga boleh ditakrifkan sebagai tempat pergi (مَوْضِعُ الذّهَاب). (Lihat Ghamz ‘Uyun al-Basa’ir fi Syarh al-Asybah wa al-Nazha’ir, 1/40) Syeikh al-Marbawi dalam Kamus al-Marbawi pula menjelaskan, mazhab dari segi bahasa ialah tempat untuk berjalan ataupun jalan itu sendiri. Dalam istilah bahasa Melayu, menurut Kamus Dewan, mazhab ditakrifkan sebagai cabang ajaran Islam yang diikuti oleh umat Islam, iaitu mazhab Syafi’i, Hanafi, Hanbali dan Maliki.

Mazhab menurut istilah adalah hukum-hukum Syar’i yang bersifat far’i dan ijtihadi, yang dihasilkan daripada dalil-dalil yang bersifat zhanni oleh seorang mujtahid secara khusus. (Lihat Ghamz ‘Uyun al-Basa’ir fi Syarh al-Asybah wa al-Nazha’ir, 1/40)

Syeikh Dr. Qutb Musatafa Sano menyebut: Mazhab dari sudut istilah bermaksud pandangan yang dikemukakan oleh seseorang mujtahid dalam perkara furu’  serta masalah yang bersifat ijtihadi. Dalam erti kata yang lain, mazhab merupakan himpunan pandangan serta teori yang menghasilkan hukum yang selaras dan bersepadu. (Lihat Mu’jam Mustalahat Usul al-Fiqh, hlm. 399)

Dalam menjawab persoalan di atas, saya katakan menjadi disiplin ilmu di kalangan ulama sejak era sahabat lagi sampailah kepada imam yang 4 dan murid-murid mereka serta ulama yang mengikut jejak langkah mereka akan menjadikan sumber hukum utama daripada al-Quran dan hadith atau sunnah Rasulullah SAW. 

Firman Allah SWT:

فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

Maksudnya: Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

(Surah al-Nisa’: 59)

firman Allah SWT:

وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۖ إِنَّ اللَّـهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya: “Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu maka terimalah serta amalkan. Manakala apa jua yang dilarang kamu melakukannya maka tinggalkanlah. Bertaqwalah kamu kepada Allah kerana sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya).” 

Surah al-Hasyr (7)

Betapa kuatnya dan teguhnya para ulama mengikut sunnah Nabi SAW. Saya kemukakan di sini kenyataan beberapa tokoh:

  • Imam Syafi’i

إِذَا وَجَدْتُمْ فِي كِتَابِي خِلَافَ سُنَّةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقُولُوا بِسُنَّةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَدَعُوا مَا قُلْتُ

Maksudnya: “Apabila kalian mendapati di dalam kitabku sesuatu yang menyelisihi Sunnah Rasulullah SAW maka berpendapatlah dengan sunnah Rasulullah dan tinggalkanlah apa yang aku cakapkan.” 

(Lihat al-Madkhal oleh al-Baihaqi no. 249 dan Kitab Ma’rifah al-Sunan wa al-Athar no. 454, al-Khatib dalam al-Faqih wa al-Mutafaqqih no. 400, Ibn al-Solah dalam Adab al-Mufti hlm. 177 dan Muqaddimah al-Majmu’ oleh Imam al-Nawawi, 1/63.)

  • Imam Malik

كُلُّ أَحَدٍ يُؤْخَذُ مِنْهُ وَيُرَدُّ عَلَيْهِ إِلاَّ صَاحِبُ هَذَا القَبْرِ

Maksudnya: “Setiap orang boleh diambil dan ditolak ucapannya, kecuali tuan kubur ini (yakni Rasulullah SAW).” (Lihat Difa’ ‘an al-Sunnah, 1/263)

Justeru, kami katakan para ulama telah mengkaji dan menggali daripada dua sumber utama ini untuk mengistinbat dan istidlal hukum-hakam yang diputuskan. Ini berdasarkan kemampuan yang ada pada mereka serta wijhatun nazar (sisi pandang yang berlainan).

Oleh itu, kami dapati semua mazhab yang 4 sentiasa menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai rujukan utama selain daripada ijma’ dan qiyas serta beberapa hukum yang menjadi khilaf seperti istihsan, istishab, masalih mursalah, ‘uruf, qaulu sahabi, syar’u man qablana, dan banyak lagi. 

Saya yakin dan saya percaya mereka semua termasuk di dalam hadith Nabi SAW:

إِذَا حَكَمَ الْحَاكِمُ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَصَابَ فَلَهُ أَجْرَانِ‏‏ وَإِذَا حَكَمَ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَخْطَأَ فَلَهُ أَجْرٌ

Maksudnya: “Apabila seorang hakim melakukan hukum lalu dia berijtihad dan kemudiannya dia benar maka untuknya dua ganjaran pahala. Sekiranya beliau menghakimi dan berijtihad, kemudian dia tersilap maka baginya satu pahala.”

Riwayat al-Bukhari (7352) dan Muslim (1716)

Yang paling penting sesama kita umat Islam sentiasa bersatu hati dan menerima perbezaan mazhab serta khilaf dengan hati yang lapang dan menganggap mereka semua adalah saudara seislam kita. 

Begitu juga, hendaklah kita mendoakan saudara-saudara kita agar Allah SWT mengampuni mereka dan diri kita serta menjarakkan kita daripada perasaan hasad dengki dan dendam kesumat. Inilah selalu yang diamalkan doa oleh salafussoleh.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ ‎

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu”.

Surah al-Hasyr (10)

Bertarikh: 28 Jun 2023 bersamaan 9 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply