Soalan:

Assalamualaikum Dato Seri. Persoalan saya adalah mengenai Doa Kanzul Arsy. Baru-baru ini, saya telah diberikan sebuah buku doa oleh seseorang. Di dalam buku tersebut terdapat fadhilat-fadhilat jika mengamalkan Zikir atau Doa Kanzul Arsy tersebut. Namun, pada akhir doa, terdapat ayat yang menyebut “Nabi Isa ialah ruh Allah”. Saya merasa sangsi dengan doa ini dan boleh saya tahu apakah hukum mengamalkan doa ini. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Doa menurut Imam al-Khattabi adalah permohonan hamba kepada Tuhannya dengan mengharapkan pertolongan-Nya dan juga bantuan daripada-Nya. (Lihat Sya’n al-Du’a, 1/4)

Dalam Islam, doa bukanlah sesuatu perkara yang remeh tetapi mempunyai peranannya yang besar.  Selain itu, kita diminta untuk berdoa kepada Allah SWT dengan penuh rendah diri dan pengharapan sebagaimana firman-Nya:

ادْعُوا رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ ‎

Maksudnya: “Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.”

(Surah al-A’raf: 55)

Syaikh al-Sa’di berkata bahawa Allah memerintahkan agar kita berdoa dengan merendah diri dan mengabdikan diri yang disertai rasa ketundukan serta dengan suara yang lembut sebagai bukti keikhlasan dalam berdoa. (Lihat Tafsir al-Sa’di, 3/40)

Pada asalnya, seseorang muslim itu boleh berdoa dengan apa yang dikehendakinya selagi mana dia berdoa dengan perkara yang diharuskan oleh syara’, namun doa yang paling terbaik adalah doa yang ma’thur yang terdapat dalam al-Quran dan al-Sunnah. Namun, Islam tidak membenarkan kita untuk melampau dalam berdoa seperti:

  • Meminta sesuatu yang mustahil seperti meminta dijadikan nabi atau meminta menghidupkan orang yang telah mati, atau meminta untuk kembali ke masa silam.
  • Meminta sesuatu secara terperinci yang melampau. Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibn Sa’ad, bahawa Ayahku mendengar aku menyebut:

اللَّهُمَّ، إِنِّي أَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ وَنَعِيمَهَا وَبَهْجَتَهَا وَكَذَا وَكَذَا وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَسَلاَسِلِهَا وَأَغْلاَلِهَا وَكَذَا وَكَذَا. فَقَالَ يَا بُنَىَّ إِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ: “سَيَكُونُ قَوْمٌ يَعْتَدُونَ فِي الدُّعَاءِ”.  فَإِيَّاكَ أَنْ تَكُونَ مِنْهُمْ إِنْ أُعْطِيتَ الْجَنَّةَ أُعْطِيتَهَا وَمَا فِيهَا مِنَ الْخَيْرِ،  وَإِنْ أُعِذْتَ مِنَ النَّارِ أُعِذْتَ مِنْهَا وَمَا فِيهَا مِنَ الشَّرِّ ‏.‏

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada Mu syurga, nikmatnya, kesenangannya, begitu, begini. Aku berlindung dengan Mu daripada neraka, rantai yang mengikat, kolar besi yang membelenggu, begitu, begini.”

Sa’ad berkata: Wahai anak ku. Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

سَيَكُونُ قَوْمٌ يَعْتَدُونَ فِي الدُّعَاءِ

“Akan muncul sekelompok manusia yang melampau dalam berdoa.”

“Berjaga-jagalah kamu daripada menjadi sebahagian daripada mereka. Jika kamu diberikan syurga, maka kamu diberikan syurga dan apa-apa kebaikan yang ada di dalamnya. Jika kamu dilindungi daripada neraka, maka kamu dilindungi daripadanya, dan apa-apa keburukan yang ada padanya.”

Riwayat Abu Dawud (1480) dan dinilai Hasan Sahih oleh Syeikh al-Albani

  • Mendoakan dengan doa yang melanggar syara’ seperti doa yang mengandungi dosa atau memutuskan silaturahim sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ وَلَا قَطِيعَةُ رَحِمٍ ، إِلَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ بِهَا إِحْدَى ثَلَاثٍ إِمَّا أَنْ تُعَجَّلَ لَهُ دَعْوَتُهُ ، وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ ، وَإِمَّا أَنْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنَ السُّوءِ مِثْلَهَا ” ، قَالُوا : إِذًا نُكْثِرُ ؟ ، قَالَ: اللَّهُ أَكْثَرُ .

Maksudnya: “Tidaklah seorang Muslim berdoa dengan doa yang tidak mengandungi dosa dan memutuskan silaturahim, kecuali Allah akan memberikan kepadanya salah satu daripada tiga perkara berikut: Akan disegerakan doanya itu, ditangguhkan ke hari Akhirat, dijauhkan keburukan semisalnya daripada orang yang berdoa. Para sahabat bertanya: Oleh kerana itu, kami perlu banyak berdoa? Baginda menjawab: Allah, pemberianNya lebih banyak.” 

Riwayat Ahmad (11133), Syeikh Syuaib al-Arnaut dalam Takhrij al-Musnad menyatakan isnadnya jayyid

Apakah itu doa Kanzul ‘Arasy?

Doa Kanzul ‘Arsy ini adalah doa yang disebarkan bermula daripada buku Majmu’ Syarif yang tidak diketahui siapa penulisnya. Buku tersebut pada halaman 180 mendakwa bahawa antara kelebihan doa ini ialah:  

“Doa Kanzul ‘Arsy diumpamakan sebagai lampu yang sangat terang di alam dunia. Doa ini dinamakan raja segala doa kerana tidak terbilang faedah dan fadilahnya. Barangsiapa membaca doa ini, lnsya-Allah, seluruh kebutuhan dunia dan akhirat akan terpenuhi, serta dimudahkan rezeki bagi anak”

Doa tersebut menyebut:

لا إله إلا الله، سبحان الملك القدوس، لا إله إلا الله، سبحان العزيز الجبار، لا إله إلا الله، سبحان الرؤوف الرحيم، لا إله إلا الله، سبحان الغفور الرحيم، لا إله إلا الله، سبحان الكريم الحكيم، لا إله إلا الله، سبحان القوي الوفي، لا إله إلا الله، سبحان اللَّطيف الخبير، لا إله إلا الله، سبحان الصمد المعبود، لا إله إلا الله، سبحان الغفور الودود، لا إله إلا الله، سبحان الوكيل الكفيل، لا إله إلا الله، سبحان الرقيب الحفيظ، لا إله إلا الله، سبحان الدائم القائم، لا إله إلا الله، سبحان المحي المميت، لا إله إلا الله، سبحان الحي القيوم، لا إله إلا الله، سبحان الخالق البارئ، لا إله إلا الله، سبحان العلي العظيم، لا إله إلا الله، سبحان الواحد الأحد، لا إله إلا الله سبحان المؤمن المهيمن، لا إله إلا الله، سبحان الحسيب الشهيد، لا إله إلا الله، سبحان الحليم الكريم، لا إله إلا الله، سبحان الأول القديم، لا إله إلا الله، سبحان الأول الآخِر، لا إله إلا الله، سبحان الطاهر الباطن، لا إله إلا الله سبحان الكبير المتعال، لا إله إلا الله، سبحان قاضي الحاجات، لا إله إلا الله، سبحان الرحمن الرحيم، لا إله إلا الله، سبحان رب العرش العظيم، لا إله إلا الله، سبحان رب الأعلى، لا إله إلا الله، سبحان البرهان السلطان، لا إله إلا الله، سبحان السميع البصير، لا إله إلا الله، سبحان الواحد القهار، لا إله إلا الله سبحان العليم الحكيم، لا إله إلا الله، سبحان الستَّار الغفَّار، لا إله إلا الله، سبحان الرحمن الديَّان، لا إله إلا الله، سبحان الكبير الأكبر، لا إله إلا الله، سبحان العليم العلام، لا إله إلا الله، سبحان الشافي الكافي، لا إله إلا الله، سبحان العظيم الباقي، لا إله إلا الله، سبحان الصمد الأحد، لا إله إلا الله، سبحان ربِّ الأرض والسموات، لا إله إلا الله، سبحان خالق المخلوقات، لا إله إلا الله، سبحان مَن خَلق الليل والنهار، لا إله إلا الله، سبحان الخالق الرزَّاق، لا إله إلا الله، سبحان الفتَّاح العليم، لا إله إلا الله، سبحان العزيز الغني، لا إله إلا الله، سبحان الغفور الشكور، لا إله إلا الله، سبحان العظيم العليم، لا إله إلا الله، سبحان ذي الملك والملكوت، لا إله إلا الله، سبحان ذي العزة والعظمة، لا إله إلا الله، سبحان ذي الهَيبة والقُدرة، لا إله إلا الله، سبحان ذي الكبرياء والجبروت، لا إله إلا الله، سبحان الستَّار العظيم، لا إله إلا الله سبحان عالم الغيب، لا إله إلا الله، سبحان الحميد المجيد، لا إله إلا الله، سبحان الحكيم القدير، لا إله إلا الله، سبحان القادر الستار، لا إله إلا الله، سبحان السميع العليم، لا إله إلا الله، سبحان الغنيِّ العظيم، لا إله إلا الله، سبحان العلَّام السلام، لا إله إلا الله، سبحان الملك النصير، لا إله إلا الله، سبحان الغنيِّ الرحمن، لا إله إلا الله، سبحان قريب الحسنات، لا إله إلا الله، سبحان وليِّ الحسنات، لا إله إلا الله، سبحان الصبور الستَّار، لا إله إلا الله، سبحان الخالق النور، لا إله إلا الله، سبحان الغنيِّ المعجِز، لا إله إلا الله، سبحان الفاضل الشكور، لا إله إلا الله، سبحان الغنيِّ القدير، لا إله إلا الله، سبحان ذي القوة المتين، لا إله إلا الله، سبحان الخالص المخلص، لا إله إلا الله، سبحان الصادق الوعد، لا إله إلا الله، سبحان الحقِّ المبين، لا إله إلا الله، سبحان ذي القوة المتين، لا إله إلا الله، سبحان القوي العزيز، لا إله إلا الله، سبحان علَّام الغيوب، لا إله إلا الله، سبحان الحيِّ الذي لا يموت، لا إله إلا الله، سبحان ستَّارِ العيوب، لا إله إلا الله، سبحان المستعان الغفور، لا إله إلا الله، سبحان ربِّ العالَمين، لا إله إلا الله، سبحان الرحمن الستار، لا إله إلا الله، سبحان الرحيم الغفار، لا إله إلا الله، سبحان العزيز الوهَّاب، لا إله إلا الله، سبحان القادر المقتدِر، لا إله إلا الله، سبحان ذي الغفران الحليم، لا إله إلا الله، سبحان المالك الملك، لا إله إلا الله، سبحان البارئ المصوِّر، لا إله إلا الله سبحان العزيز الجبار، لا إله إلا الله، سبحان الجبار المتكبِّر، لا إله إلا الله، سبحان الله عما يصفون، لا إله إلا الله، سبحان القدُّوس السبُّوح، لا إله إلا الله، سبحان ربِّ الملائكة والرُّوح، لا إله إلا الله، سبحان ذي الآلاءِ والنعماء، لا إله إلا الله، سبحان الحنَّان المنَّان، لا إله إلا الله، آدم صفيُّ الله، لا إله إلا الله، نوح نجيُّ الله، لا إله إلا الله، إبراهيم خليل الله، لا إله إلا الله، إسماعيل ذبيح الله، لا إله إلا الله، موسى كليم الله، لا إله إلا الله، داود خليفة الله، لا إله إلا الله، عيسى رُوح الله، لا إله إلا الله، محمَّد رسول الله.

Justeru, kami katakan bahawa kelebihan yang dinyatakan dalam buku ini berkenaan doa Kanzul ‘Arsy tidak ada sandaran atau pun dalil yang menyokongnya daripada mana-mana kitab Sunnah dan yang muktabar, bahkan dikatakan bahawa lafaznya direka oleh golongan sufi yang melampau.

Selain itu, lafaz doa ini juga sangat panjang dan mempunyai susunan dan lafaz yang agak janggal, sedangkan Nabi SAW lebih menyukai doa yang ringkas dan menyeluruh sebagaimana yang diriwayatkan oleh Aisyah R.Anha, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْتَحِبُّ الْجَوَامِعَ مِنَ الدُّعَاءِ، وَيَدَعُ مَا سِوَى ذَلِكَ

Maksudnya: Rasulullah SAW sangat menyukai berdoa dengan doa-doa yang ringkas dan tetapi maknanya menyeluruh dan baginda tidak berdoa selain daripada itu. 

Riwayat Abu Dawud (1482) dan Ahmad (25151). Hadith ini dinilai sahih berdasarkan Hasyiah Bulugh al-Maram li Ibn Baz (819)

Tambahan pula doa juga merupakan ibadah sebagaimana yang diriwayatkan daripada al-Nu‘man bin Basyir bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda:

الدُّعَاءُ هُوَ العِبَادَةُ

Maksudnya:Doa itu merupakan ibadah.”

Riwayat al-Tirmizi (3247); beliau menyatakan bahawa hadith ini hasan sahih.

Hal ini kerana prinsip asas mengenai ibadah adalah tauqifi iaitu berhenti pada apa yang telah diriwayatkan dalam syariat (dan tidak mencipta sesuatu yang baru) sebagaimana kaedah menyebut:

الأَصْلُ فِي الْعِبَادَة التَّوَقُّف

Maksudnya:Asal bagi ibadah adalah terhenti.

Terdapat hadith riwayat daripada Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَن عَمِلَ عَمَلًا ليسَ عليه أمْرُنا فَهو رَدٌّ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengerjakan sesuatu amalan yang tiada dalam agama kami, maka amalan yang dikerjakan itu tertolak.”

 Riwayat Muslim (1718)

Imam al-Nawawi menyebutkan, menurut Ahli Bahasa Arab, lafaz “رَدٌّ” di sini bermaksud ditolak. Dalam erti kata lain, ia adalah batil dan tidak dikira. Hadith ini termasuk dalam kaedah agung di antara kaedah-kaedah agama dan sebahagian daripada Jawami‘ al-Kalim (ringkas dan makna yang padat) yang dianugerahkan Allah SWT kepada Rasulullah SAW. Hadith ini juga jelas menunjukkan bahawa semua bidaah dan perkara baru yang diada-adakan dalam agama adalah tertolak. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 12/16).

Dalam menjawab persoalan ini juga, Syeikh al-Islam Abu al-Abbas Ibn Taimiyah berkata:  “Tidak dinafikan zikir dan do’a adalah antara ibadah yang paling baik. Ibadah adalah berdasarkan tauqifi dan ikutan, bukan atas kehendak dan hawa nafsu dan bid’ah. Doa dan zikir yang diriwayatkan daripada Nabi SAW adalah yang terbaik yang boleh didapati oleh sesiapa sahaja, dan orang yang membatasi dirinya dengannya akan aman dan selamat. Faedah dan natijah yang terhasil tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata atau difahami sepenuhnya oleh manusia. Mana-mana zikir lain boleh jadi haram atau makruh. Ia juga mungkin boleh membawa kepada syirik yang mungkin tidak disedari oleh kebanyakan orang dan mengambil masa terlalu lama untuk dijelaskan secara terperinci.

Selain itu, Tidak ada seorang pun yang berhak untuk mensyariatkan kepada manusia apa-apa jenis zikir atau do’a yang tidak diriwayatkan dalam Sunnah dan menjadikannya sebagai ibadah yang harus dilakukan oleh manusia secara tetap sebagaimana mereka menunaikan solat lima waktu secara tetap. Sebaliknya ini adalah sejenis bid’ah dalam agama yang tidak diizinkan oleh Allah… Adapun mengambil wirid yang tidak disyariatkan dalam syariat dan zikir yang tidak disyariatkan dalam syariat, ini adalah sesuatu yang diharamkan. Lebih-lebih lagi do’a dan azkar yang disyariatkan dalam syariat adalah yang terbaik dan membawa kepada pencapaian semua matlamat daripada segala matlamat; tidak ada mereka mengamalkan azkar yang diada-adakan ini kecuali orang yang jahil, lalai atau yang zalim. (Lihat al-Majmu’ al-Fatawa, 22/510- 511). 

Adakah boleh menyebut ‘Isa Ruh Allah (رُوحُ اللَّهِ)?

Penggunaan kalimah “Ruh Allah” merujuk kepada Malaikat Jibril A.S seperti yang dinyatakan oleh Allah SWT: 

فَأَرْسَلْنَا إِلَيْهَا رُوحَنَا فَتَمَثَّلَ لَهَا بَشَرًا سَوِيًّا

Maksudnya: “Maka Kami hantarkan kepadanya Ruh Kami, maka ia menampakkan diri kepada Maryam dalam bentuk manusia yang sempurna.”

(Surah Maryam: 17)

Ibn Kathir berkata dengan menukilkan pendapat daripada Mujahid, al-Dahhak, Qatadah, Ibn Juraij, Wahb ibn Munabbih, dan al-Suddi: “Ia bermaksud Jibril A.S.” Beliau berkata: “Dan apa yang mereka katakan adalah penjelasan yang jelas dalam al-Quran.” (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 5/194).

Kalimah Ruh Allah juga boleh merujuk kepada Nabi Isa AS, seperti yang dinyatakan oleh Allah SWT:

إِنَّمَا الْمَسِيحُ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ رَسُولُ اللَّهِ وَكَلِمَتُهُ أَلْقَاهَا إِلَى مَرْيَمَ وَرُوحٌ مِنْهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Al Masih Isa ibni Maryam itu hanya seorang pesuruh Allah dan Kalimah Allah yang telah disampaikanNya kepada Maryam, dan (ia juga tiupan) roh daripadaNya.” 

(Surah al-Nisa’: 171)

Dalam hadith yang panjang berkenaan syafaat yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A yang terdapat lafaz hadith tersebut menyebutkan:

…وَلَكِنِ ائْتُوا عِيسَى عَبْدَ اللَّهِ وَرَسُولَهُ وَرُوحَ اللَّهِ وَكَلِمَتَهُ… 

Maksudnya: “….akan tetapi temuilah Isa A.S, hamba Allah, utusan-Nya, ruh-Nya dan kalimat-Nya…”

Riwayat al-Bukhari (7440) dan Muslim (193)

Ibn al-Qayyim berkata: “Ruh yang ditiupkan ke dalam Maryam: Ia adalah Ruh yang khusus yang disandarkan kepada Allah, yang Allah memilihnya untuk diri-Nya dan menghubungkannya dengannya kepada Nabi Isa A.S. Ia adalah Ruh yang istimewa di antara semua roh, dan bukanlah malaikat yang diberi tugas untuk meniupkan roh ke dalam rahim ibu-ibu yang beriman atau kafir; kerana sesungguhnya Allah mengatur rezeki, ajal, perbuatan, kesengsaraan, dan kebahagiaan yang akan diterima oleh janin ketika Ia meniupkan roh ke dalamnya. Adapun roh yang diutus kepada Maryam, itu adalah Ruh Allah yang dipilih-Nya daripada kalangan ruh-ruh-Nya, sehingga Maryam menjadi ibu di dalam kedudukan ayah bagi semua manusia, padahal ketika ruh tersebut dimasukkan ke dalam rahimnya itu sama seperti menanam benih lelaki pada perempuan, tanpa adanya persetubuhan” (Lihat al-Ruh, 155).

Syeikh al-Islam Abu al-Abbas Taqiyuddin berkata: “Dan Allah menamakan sebagai Ruh-Nya kerana Dia menciptakannya daripada hembusan Ruh al-Quds ke dalam ibunya, tidak diciptakan Isa itu seperti Dia menciptakan selainnya daripada bapa manusia” (Lihat al-Jawab al-Sahih, 3/302).

Hanya malaikat Jibril A.S dan nabi Isa A.S sahaja yang diberi nama tersebut iaitu Ruh Allah, dan tidak pada makhluk ciptaan Allah yang lain sebagai penghormatan dan kemuliaan kepada mereka. dan nama Ruh Allah ini adalah keistimewaan bagi keduanya iaitu malaikat Jibril A.S dan Nabi Isa A.S dan tidak ada dinamakan sedemikian kecuali orang yang Allah menyebutnya dengan nama tersebut.

Ibn Hazm rahimahullah berkata: “Setiap roh adalah Ruh Allah Taala, dengan kekuasaan-Nya, tetapi jika kita mengatakan ‘Ruh Allah’ secara umum, maka itu bermaksud Jibril A.S atau Isa A.S, dan ini adalah keistimewaan yang besar bagi keduanya.” (Lihat al-Fasl fi al-Milal wa al-Ahwaa’ wa al-Nihal, 3/9).

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa doa Kanzul ‘Arsy ini adalah doa atau zikir yang tidak ada sandaran daripada mana-mana kitab Sunnah dan kitab ulama’ yang muktabar dan kami berpendapat bahawa tidak boleh bagi sesiapapun untuk mengamalkan doa atau zikir yang direka seperti ini. Hal ini kerana pembuat zikir ini telah meletakkan sesuatu kelebihan dan fadhilat khusus yang merupakan perkara ghaib yang tidak ada sesiapa pun boleh mengetahuinya melainkan apa yang dikhabarkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW, sedangkan perkara atau fadhilat amalan tertentu disandarkan kepada agama perlukan kepada dalil yang khusus dan sekiranya tidak dalil atau nas yang menyebutnya, maka amalan tersebut adalah tertolak.

Selain itu, kami katakan bahawa zikir dan doa yang terbaik yang boleh diamalkan oleh saudara dan kita semua adalah zikir dan doa yang ma’thur daripada al-Quran dan al-Hadith. Berkenaan dengan zikir yang ma’thur ini yang diamalkan oleh Rasulullah SAW dan salafussoleh, kami dapati ramai para ulama telah mengkaryakan karya yang baik berkenaan dengan zikir dan juga doa Rasulullah SAW termasuklah kitab-kitab hadith bermula dari Sahih Bukhari, Muslim, Abu Dawud, al-Tirmizi, al-Nasaie, Ibnu Majah, Musnad Imam Ahmad, Muwatta’ Imam Malik dan lain-lain lagi.

Antara kitab khusus berkenaan dengan zikir dan doa ini ialah:

  • Al-Azkar oleh Imam al-Nawawi
  • Hisn al-Muslim oleh al-Qahtani
  • ‘Amalu al-Yaumi wa al-Lailah oleh al-Nasa’i dan lain-lain.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita lazimi zikir dan kita basahi lidah kita dengan zikir dengan sebanyak-banyaknya. Cukuplah sebuah hadith Rasulullah SAW menyebut yang memberi semangat kepada kita untuk zikir. Daripada Abu al-Darda’ R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 أَلاَ أُنَبِّئُكُمْ بِخَيْرِ أَعْمَالِكُمْ وَأَزْكَاهَا عِنْدَ مَلِيكِكُمْ وَأَرْفَعِهَا فِي دَرَجَاتِكُمْ وَخَيْرٌ لَكُمْ مِنْ إِنْفَاقِ الذَّهَبِ وَالْوَرِقِ وَخَيْرٌ لَكُمْ مِنْ أَنْ تَلْقَوْا عَدُوَّكُمْ فَتَضْرِبُوا أَعْنَاقَهُمْ وَيَضْرِبُوا أَعْنَاقَكُمْ؟‏ قَالُوا: بَلَى.‏ قَالَ :‏ ذِكْرُ اللَّهِ تَعَالَى.

Maksudnya: “Tidakkah kamu mahu aku tunjukkan kepada kamu akan sebaik-baik amalan? Ia adalah sebaik-baik penyucian di sisi Tuhan kamu dan yang mengangkat darjat kamu dengan begitu tinggi. Dan ia lebih baik daripada kamu memberikan emas dan perak. Ia juga jauh lebih baik daripada kamu apabila berhadapan dengan musuh kamu dengan kamu memancung leher-leher mereka dan mereka memancung leher kamu. Para sahabat berkata: “Ya (kami ingin mengetahuinya wahai Rasulullah!)” Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Zikir kepada Allah Ta’ala.”

Riwayat al-Tirmizi (3377), Ibn Majah (3790), Ahmad (21702), Imam Malik dalam al-Muwatta’ (524), al-Hakim dalam al-Mustadrak (1825) dan al-Tabarani dalam al-Du’a (1872). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan hadith ini sanadnya sahih.

Semoga lidah kita sentiasa zikrullah dan mati kita dalam keadaan zikrullah. Amin. 

Bertarikh: 28 Jun 2023 bersamaan 9 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply