Soalan:

Assalamualaikum wbt Dato, saya ingin bertanya, sering bila kita singgah solat di masjid, kebanyakan  P.A System sekarang ini canggih, masjid pun besar. Saya selaku seorang imam di sebuah masjid rasa bimbang kerana kekuatan suara masa solat kebanyakan melebihi jahar yang boleh didengari 1 qaryah (rafa’) macam azan. Kefahaman saya ialah seperti  “إَنَّ أَنكَرَ الأَصْوَاتِ لَصَوْتُ الحَمِيرِ ” bila jadi makmum pun dah rasa lain macam. Inilah yang jadi persoalan dalam diri saya. Kadang-kadang tidak pakai mic boleh dikenakan tindakan oleh pihak tertentu. Adakah ini kefahaman saya yang silap atau bagaimana nasihat & pendapat Dato’?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan Firman Allah SWT :

وَلَا تَجْهَرْ بِصَلَاتِكَ وَلَا تُخَافِتْ بِهَا وَابْتَغِ بَيْنَ ذَٰلِكَ سَبِيلًا

Maksudnya: Dan janganlah engkau nyaringkan bacaan doa atau sembahyangmu, juga janganlah engkau perlahankannya, dan gunakanlah sahaja satu cara yang sederhana antara itu.

(Surah al-Isra’: 110)

Al-Sa’di menyatakan “Dan janganlah kamu membaca pada solatmu  dengan suara yang terlalu nyaring dan terlalu perlahan kerana kedua-duanya adalah perkara yang ditegah. Adapun membacanya dengan suara yang nyaring, maka orang-orang musyrik  jika mereka mendengarnya akan mencaci bacaan tersebut dan mencaci orang yang membacanya. Manakala, jika membacanya terlalu perlahan juga tidak dibolehkan kerana tidak mencapai maksud iaitu bagi orang ingin mendengar bacaan tersebut. Oleh itu bacalah secara sederhana  di antara keduanya.” (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman,Hlm.468)

Dari Abu Sa’id al-Khudri katanya: Pernah Nabi Muhammad SAW beriktikaf dalam masjid, lalu baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran atau solat) lalu baginda mengangkat tirai dan bersabda:

أَلَا إِنَّ كُلَّكُمْ مُنَاجٍ رَبَّهُ، فَلَا يُؤْذِيَنَّ بَعْضُكُمْ بَعْضًا، وَلَا يَرْفَعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَعْضٍ فِي الْقِرَاءَةِ

Maksudnya: “Ketahui sesungguhnya setiap kamu bermunajat kepada Tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan sebahagian kamu mengangkat suara melebihi sebahagian yang lain dalam bacaan, atau sabdanya: dalam solat”.

Riwayat Abu Daud (1332)

Hadith ini menjelaskan kepada kita bahawa sekiranya menangkat suara dalam membaca al quran samada dalam solat mahupun luar solat sehingga mengganggu orang lain maka ia tidak diperbolehkan. Ini kerana seseorang apabila mengangkat suara dalam bacaan al-Quran akan mengganggu orang lain yang juga sedang membaca al-quran sehingga dia tidak boleh meneruskan bacaan tersebut akibat terganggu dengan bacaan yang nyaring. (Lihat Syarh Sunan Abu Daud,162/18)

Menjawab bagi persoalan di atas dapat kami nyatakan di sini, sekiranya ingin mendirikan solat terutama pada solat jahriyyah, imam atau ahli  jawatankuasa masjid atau surau perlu memperlahankan pembesar suara sekadar didengari di dalam masjid sahaja. Ini sepertimana apa yang telah diperintah oleh Allah SWT supaya bersederhana dalam membaca doa dan bersembahyang sehingga tidak mengganggu jiran-jiran. Selain itu juga,ia  bagi menghormati dan meraikan masyarakat kita yang berbilang kaum supaya tidak berlaku kekecohan dalam hidup bermasyarakat. 

Ibn Uthaimin menukilkan bahawa Syaikh al-Islam Ibn Taimiyah menyatakan: Orang yang melakukan sesuatu yang mengganggu orang-orang di masjid, atau melakukan sesuatu yang membawa kepada gangguan, maka perkara itu haruslah dicegah. Namun, jika penggunaan pembesar suara tersebut tidak mengganggu sesiapa dan tidak menyakiti sesiapa, seperti apabila speaker berada di dalam masjid dan tidak terdengar di luar masjid, maka penggunaan tersebut adalah dibenarkan jika terdapat manfaat seperti membangkitkan semangat qari dan jemaah, atau jika terdapat keperluan seperti masjid yang besar atau suara imam yang lemah. Oleh yang demikian kepentingan penggunaannya lebih diutamakan daripada meninggalkannya. (Lihat Majmu’ Fatawa wa Rasail al-Uthaimin,13/83)

Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang jelas dalam beragama dan kami akhiri dengan doa :

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

(Surah al-Baqarah: 201)

Bertarikh: 28 Jun 2023 bersamaan 9 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply