Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagi mayat yang tidak dapat dikenal pasti akan agamanya , bagaimanakah cara untuk menguruskan akan mayat itu? Adakah mengikut cara sebagaimana mayat orang Islam? 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menguruskan jenazah orang Islam dengan memandikan, mengkafani, mensolatkan, dan mengebumikannya adalah fardhu kifayah. 

Menurut Imam al-Ramli, perkataan al-Jana’iz merupakan jamak dari perkataan janazah. Perkataan janazah adalah nama bagi mayyit (mayat) yang mana diletakkan di atas keranda. (Lihat Nihayah al-Muhtaj Syarah al-Minhaj, 8/16) 

Manakala dari sudut istilah, menurut Muhammad Batthal, jenazah bermaksud seseorang yang meninggal dunia dan yang telah terpisah rohnya dari badannya. (Lihat al-Nazm al-Musta’zab fi Syarh Gharib al-Muhazzab, 1/123)

Tanggungjawab kepada Si Mati

Secara umumnya, antara hak bagi si mati adalah dengan menyegerakan pengurusan jenazah yang meliputi pemandian, mengkafankan, mensolatkan, serta pengebumian. Ini seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا عَلَيْهِ وَإِنْ تَكُنْ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ

Maksudnya: “Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.” 

Riwayat al-Bukhari (1315) dan Muslim (944)

Menyegerakan pengebumian jenazah di dalam hadith di atas termasuk proses memandikan, mengkafankan, mengangkat serta mengusungnya ke tanah perkuburan. (Lihat Fatawa Syeikh Ilisy, 1/155)

Justeru, pada asasnya, jenazah hendaklah dilakukan ke atasnya empat perkara. Pertama, memandikan. Kedua, mengkafankan. Ketiga, menyembahyangkan iaitu melaksanakan solat jenazah ke atasnya. Keempat, mengebumikannya. Ini adalah asas fardu kifayah menurut ijma’ para ulama’ tanpa khilaf. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/104)

Manakala mensolatkan mayat orang kafir, hukumnya haram. Hal ini kerana Allah SWT melarang kita untuk mendoakan mereka setelah kematian sebagaimana firman-Nya:

مَا كَانَ لِلنَّبِىِّ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَن يَسْتَغْفِرُوا۟ لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوٓا۟ أُو۟لِى قُرْبَىٰ مِنۢ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَٰبُ ٱلْجَحِيمِ

Maksudnya: “Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka.”

(Surah al-Taubah: 113)

Syeikh Wahbah al-Zuhaili dalam tafsirnya menyebut: Tidak boleh bagi para nabi dan orang-orang beriman untuk turut serta dalam urusan memohon kepada Allah SWT dengan keampunan bagi orang-orang musyrik (yang menyekutukan Allah). Maksud tidak boleh di sini adalah larangan daripada Allah SWT. Hal ini kerana konsep kenabian dan keimanan tidak menerima pengampunan orang yang mati dalam keadaan syirik, maka tidak perlu memohon keampunan untuk mereka. Dan sebab larangan ini sebagaimana firman Allah SWT iaitu “sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka” dan firman Allah SWT: “Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa orang yang syirik dan mengampuni dosa selain daripadanya”. (Lihat Tafsir al-Munir, 11/60)

Ayat ini jelas menunjukkan larangan kepada orang Islam untuk mendoakan keampunan termasuk mensolatkan orang  yang mati dalam keadaan kafir kerana mereka ini jelas akan ditempatkan di neraka di akhirat kelak. Hal ini kerana dalam solat jenazah sebanyak 4 takbir itu mengandungi doa keampunan kepada jenazah yang disolatkan itu.

Menguruskan Jenazah yang Tidak Diketahui Agamanya

Sekiranya jenazah tersebut dikenali dalam kalangan manusia sebagai seorang Muslim, walaupun mereka tidak mengetahui secara pasti tentang kepatuhan dan ketaatan dia terhadap hukum-hukum Islam, maka pada asalnya dia adalah seorang Muslim, dan seorang muslim mesti diuruskan jenazahnya mengikut cara Islam dengan memandikannya, mengkafankannya, mensolatkannya dan mengebumikannya sama ada dia seorang muslim yang baik ataupun tidak.

Syeikh al-Islam Taqiyuddin Abu al-Abbas berkata:  “Bahawa orang yang tampak berbuat maksiat namun memiliki iman, seperti orang-orang yang berbuat dosa besar, mereka juga mesti disolatkan jenazah oleh beberapa Muslim. Namun, bagi mereka yang menolak untuk melaksanakan salat jenazah atas seseorang seperti itu sebagai pengecaman terhadap tindakan mereka, seperti yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW terhadap pembunuh diri, pendusta, dan orang yang tidak boleh dipercayai, dan sepertimana yang dilakukan oleh ramai para Salaf dalam menolak untuk solat jenazah kepada ahli bid’ah, ini adalah tindakan yang baik sesuai dengan sunnah ini. (Lihat Majmu’ Fatawa, 24/286)

Abu Umar bin Abd al-Barr berkata: Para Muslim telah bersepakat bahawa meninggalkan salat jenazah atas seorang Muslim yang berdosa kerana dosa-dosanya adalah tidak dibenarkan walaupun mereka adalah pelaku dosa besar. (Lihat al-Istizkar, 3/29; al-Tamhid, 17/22)

Abu Bakr bin al-Munzir berkata: Rasulullah SAW mengajarkan salat jenazah atas semua orang Islam tanpa terkecuali. Baik mereka termasuk orang-orang yang baik atau jahat. (Lihat al-Ausat fi Sunan wa al-Ijma’ wa al-Ikhtilaf, 5/406)

Jika tidak diketahui apakah jenazah itu seorang Muslim atau bukan, dan dia meninggal di negeri Muslim dengan tanda-tanda Islam seperti khitan dan lainnya, maka solat jenazah dilakukan ke atasnya berdasarkan kesepakatan yang jelas dengan tempat asalnya di negeri orang Islam. Begitu juga jika tidak ada tanda-tanda kekufuran atau keislaman seperti yang diisyaratkan di negeri Muslim, maka jenazah itu diuruskan sebagai seorang Islam.

Namun begitu, sekiranya terdapat tanda-tanda kekafiran pada jenazah itu seperti tidak berkhitan atau dia membawa salib tetapi dia meninggal di negeri Muslim, maka terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama’:

  • Sebahagian daripada mereka berpendapat bahawa tidak boleh melaksanakan solat jenazah ke atasnya berdasarkan pada penampilan luarnya itu dan ini merupakan pendapat yang dikatakan oleh Imam Ahmad. 
  • Sebahagian daripada mereka pulan berpendapat bahawa boleh melaksanakan solat jenazah ke atasnya berpegang pada asalnya dan dia pula meninggal dunia di negeri orang Islam, dan ini adalah pendapat ulama’ dalam mazhab Imam Ahmad, seperti yang dikemukakan oleh Ibn Rajab dalam kitabnya “al-Qawa’id“, dan ini juga merupakan pendapat dalam Mazhab al-Syafi’i. (Lihat Fatawa al-Syabakah al-Islamiah, 11/507) 

Ibnu Hajar al-Haitami berkata dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtaj: Tidak ada perbezaan dalam hal ini apakah terdapat tanda-tanda kekufuran seperti salib atau tidak, kerana keharaman (hukum) tersebut terkait dengan tempat (di mana dia meninggal). (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 3/161)

Namun, jika dia meninggal di negeri kafir dan terdapat tanda-tanda Islam padanya, maka Imam Ahmad dan para pengikut bersepakat bahawa solat jenazah ke atasnya diperbolehkan berdasarkan zahirnya meskipun bertentangan dengan tempat asalnya, kerana tempat asalnya di negeri kafir didahului dengan bukti yang menunjukkan tanda dia sebagai seorang Islam dan setiap individu itu dilahirkan dalam keadaan fitrah, iaitu Islam. 

Selain itu, Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan yang bersidang pada 13 Julai 2000 telah bersetuju sekiranya didapati mayat-mayat yang tidak diketahui identitinya dan agamanya, maka pihak berwajib hendaklah menguruskan dengan memandikan, mengkapankannya tanpa disembahyangkan lalu mengkebumikannya di pinggir perkuburan Islam. Mesyuarat juga mendesak pihak kerajaan supaya menyediakan tanah perkuburan khas untuk mengkebumikan mayat-mayat seperti itu.

Kami berpendapat oleh kerana masa kini pengecaman mayat lebih mudah dengan alat-alat yang moden dan terkini maka ia boleh diklasifikasikan sama ada Muslim atau sebaliknya. Jika Muslim, maka ia akan mengikut cara Islam yang sebenarnya. 

Alhamdulillah, harapan kami isu ini dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin oleh pihak berwajib apabila berlaku kematian, mayat yang tidak dituntut serta tidak diketahui dengan jelas akan identiti agamanya. Kaedah menyebut:

نَحْنُ نَحْكُمُ بِالظَّوَاهِرِ وَاللهُ يَتَوَلَّى السَّرَائِرَ

Maksudnya: “Kami hanya  menetapkan hukum  berdasar yang zahir dan Allah yang menangani perkara yang tersembunyi.” (Lihat Talkhis al-Habir fi Ahadith al-Rafi‘i al-Kabir, 4/192)

Kesimpulan

Sesungguhnya isu berkaitan jenazah begitu banyak dan besar dibincangkan oleh para ulama’. Ini secara tidak langsung menunjukkan betapa luasnya ilmu Islam itu sendiri yang perlu ditelaah dan dikaji untuk mendapatkan jawapan yang tuntas berasaskan dalil dan juga hujjah.

Kami berharap dengan jawapan ini sedikit sebanyak dapat memberikan kelegaan serta kedamaian dalam melayari bahtera kehidupan. Kami mengakhiri perbincangan ini dengan doa yang diajarkan oleh Allah SWT untuk kita sama-sama amalkan iaitu:

رَبَّنَا ٱغۡفِرۡ لَنَا وَلِإِخۡوَٰنِنَا ٱلَّذِينَ سَبَقُونَا بِٱلۡإِيمَٰنِ وَلَا تَجۡعَلۡ فِي قُلُوبِنَا غِلّٗا لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ رَبَّنَآ إِنَّكَ رَءُوفٞ رَّحِيمٌ 

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu”.

(Surah al-Hasyr: 10)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 28 Jun 2023 bersamaan 9 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply