Soalan:

Assalamualaikum tuan Saya ingin bertanya mengenai jamak ketika perjalanan. Saya cuma agak keliru dengan tempoh hari kerana saya faham boleh setakat 3/4 hari selepas itu tidak boleh jamak dah Tapi ada juga yang cakap kalau contoh saya tinggal di Penang dan pergi bercuti di KL selama seminggu terus tak boleh jamak atau saya boleh jamak selama 3/4 hari tersebut kemudian hari ke 5/6/7 harus solat ikut waktu biasa Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Rukhsah iaitu kemudahan dan keringanan yang diberikan oleh Allah SWT kepada hambanya yang bermusafir. Keringanan (rukhsah) ini merupakan pemberian daripada Allah SWT kepada hambaNya, maka hendaklah kita menerimanya.

Firman Allah SWT:

 وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Dan jika kamu bermusafir di muka bumi ini, maka tidak berdosa ke atas kamu untuk memendekkan solat (solat empat rakaat dijadikan kepada dua rakaat).”

(Surah al-Nisa’: 101)

Imam al-Nawawi berkata: “Ayat ini mengaitkan hukum qasar dengan al-dorb `ala al-ardh (permusafiran). Justeru, jika seseorang ialah penduduk suatu kota maka dia boleh qasar apabila dia berpisah daripada bangunan yang dinisbah kepada kota tersebut.” (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 4/346)

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan dalam isu ini, sebenarnya kami telah jawab pada #1704: Jamak Qasar bagi Orang yang Musafir untuk Kursus Seminggu:

https://maktabahalbakri.com/1707-jamak-qasar-bagi-orang-yang-musafir-untuk-kursus-seminggu/

Justeru itu, menjawab soalan di atas, kami katakan jika sekiranya seseorang telah berazam untuk tinggal di tempat yang dia akan pergi selama empat hari atau lebih, maka ia bermaksud dia telah bermukim di tempat itu. Maka, sebaik sahaja dia sampai di tempat tersebut, statusnya dikira sebagai orang bermukim dan bukan lagi bermusafir. Oleh itu, dia wajib mendirikan solat secara sempurna seperti biasa.

Hal ini seperti yang dijelaskan oleh Imam al-Nawawi, katanya:

وَلَوْ نَوَى إقَامَةَ أَرْبَعَةِ أَيَّامٍ بِمَوْضِعٍ انْقَطَعَ سَفَرُهُ بِوُصُولِهِ. وَلَا يُحْسَبُ مِنْهَا يَوْمَا دُخُولِهِ وَخُرُوجِهِ عَلَى الصَّحِيحِ. 

Maksudnya: “Sekiranya seseorang berniat untuk bermukim selama empat hari di tempat yang ditujunya, maka terputuslah musafirnya sebaik sahaja dia tiba (di tempat tersebut), dan tidak dikira dari tempoh itu, hari dia masuk (ke tempat itu) dan keluar (dari tempat itu) menurut pendapat yang sahih.” (Lihat Minhaj al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin fi al-Fiqh, hlm. 44)

Hal ini kerana menurut pengarang al-Fiqh al-Manhaji, apabila berniat menetap selama empat hari (atau lebih), maka jadilah tempat yang dituju itu seolah-olah negerinya atau tempat tinggalnya yang tetap. Oleh itu dia tidak harus bersolat qasar lagi di situ dan haknya untuk bersolat qasar kekal semasa dalam perjalanan sahaja. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/186).

Semoga kita semua termasuk dalam golongan yang mendirikan solat. Marilah sama-sama kita berdoa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Bertarikh: 28 Jun 2023 bersamaan 9 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply