Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada persoalan jika seseorang melakukan ibadah korban dan berniat pahala ibadah tersebut untuk janin, apakah hukumnya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Membuat sembelihan adalah amalan yang dituntut oleh syara‘ bagi mereka yang mempunyai kemampuan. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya: “Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).”

(Surah al-Kauthar: 2)

Daripada ‘Aisyah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ، إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ القِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا، وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

Maksudnya: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).”

Riwayat al-Tirmizi (1493) Imam al-Tirmizi menghukum hadith ini sebagai hasan gharib

Hadith ini menunjukkan ibadah yang paling afdhal untuk dilaksanakan pada hari raya Aidil Adha adalah dengan menumpahkan darah korban. Ini kerana, ia akan datang pada hari akhirat seperti mana ia di dunia tanpa terdapat kekurangan padanya agar setiap daripada anggota itu terdapat padanya ganjaran (pahala) dan ia juga akan menjadi tunggangan orang yang berkorban itu ketika melintasi titian sirat. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 5/61)

Melihat kepada persoalan yang diutarakan, kami datangkan terlebih dahulu maksud janin. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, janin bermaksud lembaga yang masih dalam kandungan, atau disebut di dalam bahasa Arab sebagai mudghah (manusia yang cukup sifat dalam kandungan).

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ أَحَدَكُمْ يُجْمَعُ خَلْقُهُ فِي بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا ثُمَّ يَكُونُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ يَكُونُ مُضْغَةً مِثْلَ ذَلِكَ ثُمَّ يَبْعَثُ اللهُ مَلَكًا فَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ وَيُقَالُ لَهُ: اكْتُبْ عَمَلَهُ وَرِزْقَهُ وَأَجَلَهُ وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيدٌ ثُمَّ يُنْفَخُ فِيهِ الرُّوحُ

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap daripada kamu dihimpunkan penciptanya di dalam perut ibunya selama empat puluh hari, kemudian menjadi ‘alaqah (embrio) selama itu pula (40 hari), kemudian menjadi mudhghah (janin) selama itu pula (40 hari); kemudian Allah mengutus seorang malaikat lalu diperintahkan empat kalimat (hal), dan dikatakan kepadanya: Tulislah amal, rezeki dan ajalnya, serta celaka atau bahagianya, kemudian ditiupkan ruh kepadanya.”

Riwayat al-Bukhari (3208) dan Muslim (2643)

Berdasarkan takrif janin di atas, dan hadith Abdullah bin Mas‘ud R.A yang kami datangkan ini, dapat difahami bahawa mudghah (janin) ini adalah kandungan yang telah mencapai 120 hari atau 4 bulan, dan malaikat telah meniupkan roh kepadanya. Perbahasan ini ada disebutkan di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah dalam bab “Hukum Menggugurkan Janin Selepas Ditiupkan Roh”. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 2/57)

Ulama’ juga ada membahaskan berkenaan pengurusan janin yang gugur jika ia mati, dan mereka memecahkan perbahasan ini kepada beberapa keadaan.

Al-Khatib al-Syirbini menyebutkan berkenaan janin yang telah lengkap rupa parasnya sebagai manusia bahawa:

  1. Jika janin yang gugur itu tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda bahawa dia bernyawa, maka tidak boleh disolatkan. Akan tetapi sunat dimandikan, dikafankan dengan potongan kain dan dikebumikan.
  2. Jika janin yang gugur itu diketahui hayatnya, seperti keluar suaranya, menangis, dan kemudian mati, maka hukumnya sama seperti kanak-kanak yang besar. Wajib dimandikan, dikafankan dengan tiga helai pakaian, disolatkan, dan dikebumikan. Ini kerana tanda hidup dan matinya telah wujud secara pasti. (Lihat al-Iqna‘ fi Hilli Alfaz Abi Syuja‘, 1/203)

Melihat kepada perbahasan di atas, kami cuba membahagikan isu berniat kurban untuk janin ini kepada dua keadaan:

Keadaan Pertama: Janin Tersebut Masih di Dalam Kandungan

Jika janin tersebut masih dalam kandungan ibunya, tidak boleh berniat korban untuk janin meskipun telah melebihi 4 bulan. Hal yang demikian kerana dia masih belum dilahirkan. Bahkan segala tuntutan bagi mereka yang hidup seperti aqiqah juga tidak dibenarkan sehinggalah selepas dilahirkan.

Keadaan Kedua: Janin Tersebut Gugur Daripada Kandungan

Boleh untuk berniat korban kepada janin tersebut. Hukum ini diqiaskan kepada keadaan kedua yang disebutkan oleh al-Khatib al-Syirbini, apabila janin yang gugur menunjukkan tanda-tanda dia bernyawa sebelum meninggal dunia. Hukum janin tersebut diumpamakan seperti hukum orang hidup, kerana tertaklif kepada mereka agar dimandikan, disolatkan, dikafankan dan disembahyangkan selepas meninggal dunia.

Ini juga berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Ummul Mu’minin ‘Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda ketika beliau melakukan sembelihan:

بِاسْمِ اللَّهِ اللَّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنْ مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ وَمِنْ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ

Maksudnya: “Bismillah, Wahai tuhan kami, terimalah daripada Muhammad dan daripada aali (keluarga) Muhammad dan daripada umat Muhammad.”

Riwayat Muslim (1967)

Imam al-Nawawi mengatakan bahawa, hadith ini digunakan oleh mereka yang berpandangan boleh niat berkongsi pahala korban dengan kaum keluarga, dan ini merupakan pandangan Mazhab al-Syafi‘i dan majoriti mazhab lain. Al-Thauri dan Abu Hanifah serta ashabnya memakruhkan perkara tersebut, manakala al-Tahawi menyangka hadith ini telah dimansukhkan atau dikhususkan hanya untuk Nabi SAW. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 13/122)

Dr. Muhammad al-Zuhaili menyebutkan bahawa sah hukumnya korban bagi si mati sekalipun tidak diwasiatkan kerana ianya seperti sedekah, maka hukumnya sah juga bagi si mati dan ianya memberi manfaat buatnya (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/490)

Kami simpulkan daripada perbincangan di atas, hukum melakukan ibadah korban ke atas janin:

  • Jika masih di dalam kandungan ibunya, maka tidak boleh diniatkan pahala korban baginya sehinggalah dia dilahirkan.
  • Jika gugur dan mempunyai tanda-tanda dia bernyawa, lalu meninggal, maka hukumnya harus untuk berniat korban baginya.

Semoga Allah SWT menerima semua amalan dan ibadah yang kita kerjakan dengan ikhlas dan hanya mengharapkan keredhaan-Nya. Amin.

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 28 Jun 2023 bersamaan 9 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply