#2044: Abang Kandung Yang Lahir Selepas 3 Bulan Perkahwinan Dinasabkan Kepada Bapanya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan tentang ibu saya. untuk makluman ustaz ibu saya baru sahaja meninggal dunia bulan Mei yang lepas. Baru-baru ni saya pergi JPN untuk daftar kematian ibu tetapi bila saya lihat sijil pernikahan ibu dan ayah timbul kemusykilan. 

Abang saya dilahirkan selepas 3 bulan perkahwinan mereka. Automatik abang saya itu diiktiraf sebagai anak tidak sah taraf, tetapi abang saya telah di BIN kan dgn nama ayah sampai sekarang. Abang sudah berkahwin dan mempunyai anak. 

Persoalannya, apa yang saya harus lakukan untuk perkara ini. Ayah masih ada lagi, tetapi sedang uzur. Saya sangat menyayangi ibu saya dan takut ibu terseksa di alam barzakh. Saya minta sangat pertolongan ustaz tentang perkara ini. Terima kasih ustaz.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Nasab berasal daripada kalimah نَسَبَ – يَنسِبُ, jika disebut يَنْسِبُهُ (yansibuhu) adalah menisbahkan seseorang kepada bapanya. Nasab juga pada bahasa dengan makna qarabah. Dijamakkan dengan kalimah أَنْسَابٌ (ansab).  (Lihat Lisan al-Arab, 1/755)

Imam Raghib al-Asfahani mendefinisikan nasab dan nisbah sebagai persekutuan pada salah seorang ibu atau bapa, sama ada hubungan menegak seperti nasab antara bapa dan anak-anak; atau hubungan melintang seperti nasab antara saudara-mara dan bapa-bapa saudara. (Lihat al-Mufradat fi Gharib al-Quran, hlm. 801).

Syeikh Wahbah al-Zuhaili pula berkata: “Nasab merupakan penyandar yang paling kukuh yang berdirinya sebuah keluarga. Ia mengikat unit-unit keluarga dengan ikatan atas asas kesatuan darah, dan juz’i pada bahagiannya. Ini kerana anak sejuzuk daripada bapanya dan bapa adalah sejuzuk daripada anaknya. Ia merupakan nikmat yang agung, kurniaan Allah kepada manusia. Justeru, memelihara nasab adalah salah satu daripada maqasid syariah yang lima.” (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 10/7247).

Berdasarkan keterangan di atas, jelas bahawa nasab adalah suatu perkara yang teramat penting dalam kehidupan manusia. Ia bahkan dimuliakan dan hanya boleh disahkan dengan hubungan perkahwinan.

Adakah Boleh Dinasabkan Anak Zina Kepada Bapa Biologi Mereka?

Para fuqaha’ telah menetapkan beberapa kaedah untuk mensabitkan nasab. Antara:

  • Perkahwinan
  • Persaksian
  • Pengakuan (ikrar)
  • Qiyafah (pengecaman melalui persamaan fizikal antara dua orang oleh pakar)

Kaedah perkahwinan adalah satu dalil yang menyebabkan nasab atau mem’bin’/’binti’kan anak. Bahkan, kaedah ini disepakati oleh semua fuqaha’ tanpa terdapat khilaf. Kaedah pensabitan nasab melalui perkahwinan boleh membatalkan kaedah-kaedah lain jika berlaku pertembungan.

Syeikh Najib al-Muti’ie menyebut bahawa tiada khilaf dalam kalangan ahli ilmu bahawa anak zina tidak disabitkan nasab kepada lelaki yang berzina dengan ibu anak tersebut dan mereka tidak saling mewarisi. (Lihat Takmilah al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 16/222)

Imam Ibn Rusyd al-Maliki berkata: “Jumhur telah bersepakat bahawa anak-anak zina tidak dinasabkan kepada ayah-ayah mereka melainkan jika berlaku semasa zaman Jahiliyyah kerana terdapat riwayat daripada Umar al-Khattab berkenaan khilaf para sahabat tentang perkara ini. Manakala satu sebahagian pihak memiliki pandangan syaz (pelik) yang mengatakan bahawa anak zina boleh dinasabkan kepada bapa mereka sewaktu zaman Islam.” (Lihat Bidayah al-Mujtahid, 4/142).

Ibn Qudamah al-Hanbali menyebut: “Anak zina tidak dinasabkan (kepada bapa biologinya) di sisi jumhur ulama. Al-Hasan (al-Basri) dan Ibn Sirin berkata: Dinasabkan kepada lelaki yang menyetubuhi itu jika ditegakkan hukum hudud ke atasnya (seperti sebatan 100 kali) dan anak itu boleh mewarisinya. Berkata Ibrahim (al-Nakhaie): Dinasabkan jika dihukum rotan sebagai hudud, atau memiliki wanita yang disetubuhi. Berkata Ishaq: Dinasabkan kepadanya. Ini juga disebut oleh Urwah (bin al-Zubair) dan Sulaiman bin Yasar. Ali bin Asim meriwayatkan daripada Abu Hanifah yang berkata: Aku melihat tiada masalah bagi seorang lelaki yang telah berzina dengan seorang wanita lalu dia hamil akibat itu untuk lelaki itu berkahwin dengannya supaya menutup (aib) ke atas wanita itu, dan anak itu dianggap anaknya.” (Lihat al-Mughni, 6/345). 

Dalam sebuah kisah, pernah diriwayatkan bahawa seorang lelaki telah berkahwin. Kemudian isterinya melahirkan anak selepas 6 bulan daripada perkahwinan. Hal ini diadukan kepada Saidina Uthman RA, maka dia mahu merejam perempuan tersebut. Lantas jawab Ibn ‘Abbas, “Adapun sesungguhnya kalaulah mungkin aku berhujah dengan kamu kepada kitab Allah, nescaya aku menang. Ini kerana firman Allah SWT, (وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلَاثُونَ شَهْرًا) maksudnya “dan tempoh hamilnya serta berpisah daripada susu ibunya 30 bulan” (وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ) maksudnya “dan berpisah dari susu ibunya dalam tempoh 2 tahun. Justeru, hamil di sini hanya 6 bulan. Lantas Saidina Uthman mengambil pendapat Ibn Abbas dan tidak menghukumnya dengan had. (Lihat al-Bada’i` al-Sana’i`, 3/211)

Al-Lajnah al-Da’imah dalam fatwa bernombor 3408 dan 3056 juga menyebut bahawa yang sahih daripada pendapat ulama bahawa tidak boleh disabitkan nasabnya kepada yang menyetubuhi ibunya kecuali nikah yang sah atau fasid, nikah syubhah, perhambaan atau syubhah perhambaan.

Kesimpulan

Dalam persoalan yang diajukan di atas, kami katakan bahawa jumhur ulama’ melarang untuk membinkan atau membintikan anak tak sah taraf kepada ayah biologinya berdasarkan dalil kuat daripada nas al-Qur’an, hadith, amalan sahabat dan jumhur fuqaha.  Nasab anak kepada ibunya tetap sabit pada semua keadaan kelahiran samada secara syar’i atau tidak. Adapun nasab anak kepada bapanya, ia tidak sabit kecuali melalui pernikahan yang sahih atau fasid atau wat’i syubhah atau ikrar dengan nasab. 

Islam telah membatalkan apa yang diamalkan di zaman Jahiliyyah dengan menghubungkan anak-anak hasil daripada zina kepada nasab penzina. Begitu juga nas menunjukkan anak itu dinasabkan dengan bapa selepas sabit bersamanya bapa dan ibunya iaitu selepas berlakunya persetubuhan dalam perkahwinan yang sahih atau fasid dan inilah pendapat jumhur. 

Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang bersidang pada 31 Julai 2017 telah memutuskan bahawa anak yang tidak taraf tidak boleh dibinkan atau dibintikan kepada ayah biologinya, seperti mana yang diputuskan oleh Jumhur ulama. Sehubungan dengan itu, hendaklah dinasabkan anak itu kepada Abdullah atau kepada nama-nama Allah yang mulia atau seperti cadangan yang dinyatakan di atas. Mesyuarat juga bersetuju bahawa asas yang digunapakai ialah maslahah umum (yakni implikasi zina yang merosakkan masyarakat dan sistem keluarga secara keseluruhan) lebih utama dijaga berbanding maslahah khusus (yakni aib yang mungkin dialami oleh anak zina). Ini bertepatan dengan Maqasid al-Syariah yang meletakkan pemeliharaan nasab sebagai dharuriyyah (kepentingan yang sangat penting) di dalam Islam.

Justeru, kami menasihati kepada saudara yang bertanya supaya merujuk dulu hal ini kepada bapa saudara untuk bertanyakan berkenaan hal yang sebenar, jika benar perkara tersebut, kami sarankan supaya saudara berbincang dengan abang saudara bagi menyelesaikan isu ini secara baik dan harmoni.

Kami juga mengesyorkan agar kita berhusnu zhan (bersangka baik) kepada ibu bapa kita. Sementelahan lagi peristiwa ini berlaku sudah puluhan tahun. Ketika itu, boleh jadi berlaku perkahwinan yang awal tetapi perkahwinan yang didaftar dan dirasmikan agak terlewat. Justeru, alangkah baiknya peristiwa seperti ini kita melihat ke arah hadapan. Apatah lagi, orang yang terbabit sudah meninggal dunia dan yang lain sudah uzur.

Semoga segala permasalahan yang dihadapi oleh saudara dan keluarga dapat diselesaikan dengan cara yang baik. Semoga Ibu dan bapa saudara diampuni dosa mereka atas kesilapan yang telah dilakukan suatu ketika dahulu. Kami akhiri dengan doa: 

اَللَّهُمَّ اغْفِرْلَنَا ذُنُوْبَنَا وَلِوَالِدَيْنَا وَارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانَا صِغَارًا

Maksudnya: “Ya Allah! ampunilah dosa kami dan dosa kedua orang tua kami dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihi kami sejak kecil.”

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 28 Jun 2023 bersamaan 9 Zulhijjah 1444 H

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *